Istiadat Bersejarah Rejimen Renjer Diraja

Mohd. ZAKI (depan) bersama pegawai dan anggota 1 RRD dan 6 RRD selepas majlis istiadat perbarisan serah terima Panji-Panji Rejimen di Kem Wardieburn.


TARIKH 18 Ogos lalu merupakan hari bersejarah kepada Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang merupakan salah satu daripada Kor Infantri Tentera Darat (TD).

Ini berikutan perbarisan serah terima panji-panji rejimen antara 1 RRD dan 6 RRD yang berlangsung di padang kawad 1 RRD, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur.

Perbarisan yang bermula pukul 8 pagi itu melibatkan seramai 24 pegawai dan 293 anggota lain-lain pangkat antara kedua-kedua kor terlibat yang menyaksikan perpindahan silang antara dua rejimen berkenaan.

Istiadat perbarisan itu telah diketuai Pegawai Memerintah Batalion 1 RRD, Leftenan Kolonel Irwan Ibrahim dan Pegawai Memerintah Batalion 6 RRD, Leftenan Kolonel Mohd. Adlie Mohamad.

Pada majlis yang penuh istiadat ketenteraan itu turut melibatkan penyerahan Truncheon (alat kemegahan seperti belantan) bagi 1 RRD yang disempurnakan oleh Panglima Medan Timur TD merangkap Pengerusi Kor RRD, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Menurut Mohd. Zaki, pertukaran atau penyerahan panji itu adalah bersesuaian dengan pasukan 1 RRD selaku pasukan tertua di dalam RRD setelah ditempatkan di kem 1 RRD di Ulu Tiram, Johor sebelum ini.

“Tujuan pertukaran panji ini adalah bagi menyeragamkan peranan pasukan di dalam RRD kepada tugas-tugas rejimental dan istiadat.

“TD berpendapat adalah sesuai pasukan 1 RRD selaku pasukan tertua atau terkanan di dalam RRD ditempatkan di Kem Wardieburn dan bertanggungjawab terhadap penugasan rejimental.

“Serentak dengan perbarisan ini, 6 RRD yang berpangkalan di Kem Wardieburn di Kuala Lumpur akan mengambil alih kem 1 RRD di Ulu Tiram,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan baru-baru ini.

Rejimen 1 Renjer yang ditubuhkan pada 16 September 1963 di Kem Baird, Ulu Tiram sehari selepas pembubaran Sarawak Renjer merupakan sebuah rejimen yang pernah digeruni musuh negara satu ketika duhulu.

Berpaksikan kepada slogan Agi Idup Agi Ngelaban ataupun Selagi Hidup Selagi Melawan, 1 RRD telah menempah tempoh kegemilangan dan kejayaan dengan membunuh 91 pengganas dan menawan lapan musuh negara, merupakan rekod terbaik bagi unit infantri di bawah TD pada tahun 60-an hingga 80-an.

Truncheon

Mohd. Zaki menambah, atas kecemerlangan tersebut, kerajaan negeri Sarawak juga telah menganugerahkan Truncheon pada 19 November 1966 yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama, Tun Abang Openg Abang Sapiee.

Selain itu, batalion 1 RRD turut dianugerahkan Panji-Panji Rejimen pada 8 Oktober 1979 di Kem Terendak oleh Kolonel Yang Dipertua RRD, Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan dan pengorbanan pasukan 1 Renjer.

“Truncheon adalah sebahagian daripada pengenalan sesebuah pasukan dalam TD selain panji-panji.

“Selama ini, Truncheon itu tidak pernah dipertontonkan kepada orang ramai. Ia hanya dipertontonkan pada sambutan Jubli Emas RRD pada tahun 2013 yang turut diarak bersama Panji-Panji RRD,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaki menegaskan, fokus dan peranan RRD adalah seperti Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kor Infrantri dalam melakukan tugas-tugas khas terutama melibatkan acara istiadat.

“Penubuhan RRD tetap mengekalkan tahap kesiapsiagaan dan tempur seperti kor lain dalam tentera namun mereka mempunyai tambahan rejimental di peringkat wilayah dan negara.

“Ini termasuklah dalam mempamerkan ketampilan, kesegakan serta mutu kawad dalam pelbagai istiadat melibatkan acara kebajikan, kematian atau diraja,” jelasnya.