Realiti kehidupan dalam Pekak

BOLEH disifatkan sebagai naskhah yang mengandungi banyak sisi liar dan di luar batas normal kehidupan remaja, Pekak bagaimanapun menyampaikan kritikan sosial yang harus ditelan.


SAAT pihak penerbit Lightbulp Pictures & Grand Brilliance Sdn. Bhd. memilih untuk meletakkan Pekak sebagai judul filem, bagi penulis ia satu yang berani. Masakan tidak, judul Pekak itu sahaja sudah menyampaikan mesej yang jelas kepada audiens naskhah tersebut adalah tentang orang pekak. lroni judul asalnya adalah Uda & Dara yang lebih kedengaran seperti sebuah percintaan romantis.

Namun, menjatuhkan hukum hanya berdasarkan judulnya sahaja itu tidak adil. Justeru, apabila penulis berpeluang menonton sendiri filem Pekak baru-baru ini, secara tidak langsung ia telah memberi rasa yang baharu yang tidak dapat diperoleh dalam filem komersial lain.

Pengarahnya, Mohd. Khairul memilih untuk mengangkat sebuah subjek tabu seperti dadah dan seksual dengan begitu berani dan jujur.

Maka, terhasil sebuah filem kritikan sosial yang menarik untuk ditonton tetapi realitinya cukup pahit untuk ditelan. Disebabkan itu, biarpun Pekak menggunakan khidmat pelakon komersial seperti Zahiril Adzim (Uda), Sharifah Amani (Dara), Sharifah Sakinah (Melur), Amerul Affendi (Azman Picasso) dan Iedil Putra (Kamil) ia tetap penuh dengan rasa seperti sebuah karya alternatif.

Walaupun judulnya Pekak, ia bukanlah cerita tentang orang pekak semata-mata. Sebaliknya, ia cerita tentang kehidupan lima watak yang berbeza latar belakang tetapi bertemu kerana dadah.

Di sinilah penonton diheret untuk mengenali setiap watak dengan lebih dekat. Biarpun sekadar watak sampingan, pengarah tetap memberi momen untuk diingati penonton.

Pekak bermula dengan membawa penonton mengenali watak Uda seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat pendengaran yang begitu ghairah dengan keindahan bunyi bising. Oleh itu, terdapat syot Uda menikmati kebisingan di landasan kereta api. Pengarah menggunakan babak berkenaan untuk membawa penonton terjun ke dunia pekak Uda.

Kemudian, penonton dibawa lebih mengenali Uda dengan imbasan ke belakang waktu. Di situ terjawab mengapa dia berada dalam posisi sebagai penjual dadah kerana sejak dari mula memerlukannya berdikari apabila ditinggalkan keseorangan ketika kecil.



Sepanjang proses menjual dadah, Uda bertemu dengan Dara seorang remaja dahagakan kasih sayang secara tidak sengaja. Uda serta-merta tertarik dengan Dara kerana sama-sama meminati lagu klasik Rintihan Hati nyanyian Othman Hamzah.

Persamaan tersebut pantas menjadikan mereka akrab meskipun Dara sebenarnya mempunyai kekasih bernama Kamil, seorang pemuda kaya, namun rendah nilai moralnya.

Tanpa sebarang dialog, hanya berdasarkan ekspresi wajah, Zahiril berjaya membawa penonton dalam dunia pekaknya. Justeru, tidak hairanlah mengapa dia terpilih sebagai Aktor Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Rusia baru-baru ini.

Menambahkan lagi keindahan filem ini ialah watak Melur lakonan Sakinah sahabat baik kepada Dara. Babak Melur mempergunakan agama untuk mengaburi mata bapa Dara antara momen yang diingati dalam filem ini. Lakonan Sakinah cukup cemerlang dan bersahaja, tidak dipaksa-paksa untuk kelihatan jahat mahupun baik.

Aktor Amerul Affendi pula cukup hidup sebagai Azman Picasso, kekasih Melur yang juga seorang penagih dadah. Amerul benar-benar kelihatan seperti seorang penagih dadah yang gilakan seks. Secara keseluruhan setiap pelakonnya wajar diberi pujian kerana tidak mempedulikan rupa paras mereka (tanpa solekan) di layar perak, sebaliknya hanya fokus kepada sebuah lakonan yang berkesan.

Bagaimanapun, penulis tidak bersetuju andai filem ini dilihat ‘halal’ sebagai medium untuk menyampai mesej kepada penonton.

Babak menghisap dadah dan hubungan seksual yang dipaparkan secara jelas benar-benar mengganggu penulis. Timbul persoalan bagaimana penerimaan golongan remaja yang baru mengenal dunia.

Adakah timbul kesedaran serta-merta atau timbul keinginan mencuba segala macam ‘ilmu’ yang dipertontonkan dalam filem ini?

MENGGANDINGKAN Zahiril dan Sharifah Amani buat pertama kali di layar lebar, Pekak diterjemahkan dengan baik dalam dua watak utama yang digalas mereka.


Mungkin sebab itu, filem yang diberi klasifikasi sebagai 18 oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia tidak diluluskan tayangan di Brunei atas alasan tidak memberi pendidikan dan penuh dengan pengaruh buruk.

Meskipun begitu, Pekak masih sebuah karya yang indah seninya. Sesekali perlu ada sebuah filem realiti seperti ini sebagai cermin kepada masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya realiti itu cukup pahit untuk ditelan apatah lagi dihidangkan sebagai hiburan di panggung wayang. Cuma pesan penulis, tontonlah dengan minda terbuka.