Hikmah, kelaziman jodoh tidak kesampaian



Jika benar jodoh, tiada siapa yang mampu menghalang. Jika benar takdir, tiada apa yang dapat mengubah selain kuasa Tuhan. Manusia diciptakan di dunia ini secara berpasang-pasangan, cepat atau lambat bertemu dengannya, itu kerja Sang Pencipta. Sebagai hamba-Nya, tiada apa yang mampu dilakukan selain sentiasa ikhtiar untuk bersatu dengan jodoh yang pasti.

Terjerumus dalam dunia glamor, banyak perkara yang perlu diambil kira. Segala tindak-tanduk menjadi perhatian ramai. Budi yang baik mungkin mudah melekat dalam benak pemikiran masyarakat apatah lagi perkara kurang enak didengar. Itu lebih mudah menjadi judul perbualan di kedai kopi.

Gempar satu Malaya apabila hos dan bekas deejay popular, Fara Fauzana membatalkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan yang hanya ingin dikenali sebagai Mohammed Hafiz, menjelang dua minggu hari bersejarah tersebut berlangsung. Fara dan Hafiz merancang berkahwin pada 17 September ini.

Bagaimanapun, Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd. Fadzil, 36, yang membatalkan perkahwinan mereka awal minggu ini memberitahu bahawa pembatalan tersebut terpaksa dilakukan atas sebab-sebab yang tertentu.

“Jujur saya akui, keputusan untuk membatalkan pernikahan ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk saya ambil.

“Namun setelah memikirkan perkara ini dengan sedalam-dalamnya, juga memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT serta membincangkan perkara ini bersama kedua-dua orang tua, saya tekad untuk tidak meneruskan pernikahan. Saya percaya keputusan ini adalah yang terbaik,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Mengenali anak seni berwawasan besar bernama Fara atau lebih mesra disapa sebagai Fafau dalam kalangan media, dia bukanlah seorang wanita yang mudah menjaja hal peribadinya terutama berkaitan perihal cinta.

Justeru, apabila dia memaklumkan kepada khalayak pada 1 Ogos lalu bahawa hatinya sudah terisi dan ingin dicantumkan melalui satu ikatan yang sah dengan jejaka pilihan, tiada lain yang menderu bersama keputusan tersebut selain doa yang berpanjangan daripada ramai.

Sejujurnya, masih terbayang-bayang senyuman lebar pengacara program Muzik Muzik itu saat mendedahkan tentang majlis perkahwinan dirinya tempoh hari. Maka benarlah kata orang, walau digenggam kuat, andai ia bukan milik kita, ia terlepas jua. Walau ditolak ke tepi, ia mendatang jua. Itulah nama jodoh.


SELEPAS putus tunang, Amyra Rosli akan berkahwin dengan Amar Bahrin pada bulan November depan.


Hikmah

Jika diselak kembali jalur masa serta jilid kisah ‘jodoh tidak menjadi’ dalam kalangan selebriti, banyak daripadanya menarik perhatian khalayak dan menjadi letusan kontroversi.

Bagi generasi 1990-an, pastinya cinta antara vokalis kumpulan Wings, Awie dan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira bukan rahsia bagi mereka. Malah, beberapa buah filem yang dilakonkan bersama seolah-olah memberi bayangan bagaimana hangatnya percintaan mereka yang akhirnya terkandas di tengah-tengah jalan.

Acap kali digabungkan di layar perak sebagai pasangan kekasih, Awie dan Erra mengikat tali pertunangan pada 1996, namun jodoh tidak memihak kepada mereka apabila memutuskan pertunangan pada tahun1998. Dengan itu, harapan rakyat Malaysia untuk menyaksikan perkongsian hidup di antara pasangan romantik itu berkecai begitu sahaja.

“Memang ada peminat yang masih bertanya mengenai hubungan kami, tetapi saya anggap itu sebagai gurauan memandangkan hubungan kami dulu hanya tinggal kenangan. Masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.

“Kisah cinta kami dahulu tidak perlu diungkit kembali. Kami pernah melalui perkahwinan dan perceraian yang hampir sama. Secara tidak langsung ia mematangkan kami dan juga hubungan persahabatan kami,” ujar Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 42, dalam satu temu bual baru-baru ini.

Biarpun tidak bersatu sebagai suami dan isteri, ikatan persahabatan dua figura berpengaruh itu tetap utuh sebagai rakan. Untuk rekod, Erra dan Awie masing-masing pernah mengharungi episod dua kali perceraian. Erra bercerai dengan Yusry KRU pada 26 April 2006 dan juga Engku Emran pada 17 Februari 2014, sementara Awie berpisah dengan Arni Nazira Arni Nazira pada 2006 selepas lapan tahun berkahwin sebelum perkahwinan terakhirnya dengan Rozana Misbun turut berakhir dengan penceraian.

Siapa sangka, hubungan cinta di antara Awie dan Erra yang boleh diumpamakan seperti harapan melihat pasangan ideal Bollywood iaitu Shah Rukh Khan dan Kajol sebagai pasangan suami isteri sebenarnya mempunyai jalan cerita yang berbeza dan masih panjang untuk dijalani.

Rancanglah jodoh secermat mana sekali pun, jika tidak tertulis di Luh Mahfuz, ia tidak akan berlaku dan pastinya ada insan yang lebih baik diciptakan untuk seseorang pada masa depan.


BINTANG terkenal Erra Fazira dan Awie pernah menjadi pasangan yang bertunang pada awal pembabitan karier mereka, namun berpisah sebelum mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing.


Gelaran selebriti

Kisah cinta Awie dan Erra mungkin di antara lambakan yang masih segar di minda peminat. Bagaimanapun, banyak lagi selebriti yang berdepan dengan tekanan jodoh tidak menjadi tetapi ditunjukkan jalan yang lebih indah supaya tidak mengalah menunggu jodoh yang sempurna untuk diri masing-masing.

Pelakon kacak, Saharul Ridzwan bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, 28, selepas hubungan baik mereka terputus di tengah-tengah jalan beberapa tahun lalu disebabkan komitmen kerjaya masing-masing.

Diasak dengan pelbagai spekulasi yang bukan hadir daripada bibirnya sendiri tentang majlis perkahwinannya, hero drama Hati Perempuan itu tenang dan faham dengan tuntutannya sebagai seorang selebriti.

“Saya dan bakal isteri pernah menjalin hubungan sebelum ini namun terputus disebabkan kesibukan kerjaya masing-masing. Semakin meningkat usia, perasaan untuk mendirikan rumah tangga dan menjalan tanggungjawab sebagai seorang suami itu mula timbul.

“Saya mengerti status sebagai selebriti. Apabila hari bahagia sudah semakin dekat, semakin banyak ujian yang perlu ditempuhi. Bagi saya, perpisahan sementara dengan bakal isteri sebelum ini merupakan proses untuk kami menjadi lebih matang sebelum melangkah ke alam perkahwinan,” ujarnya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan pemilik butik Wrap tersebut di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Putrajaya pada 16 September depan.

Dalam pada itu, aktres jelita Amyra Rosli turut pernah menerima ujian apabila dua minggu sebelum perkahwinannya dengan aktor Dazrin Kamarudin berlangsung, dia memutuskan pertunangan.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun, Amyra berpaut cinta dengan pelakon Amar Bahrin apabila mengikat tali pertunangan pada Julai lalu dan akan disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah pada 11 November depan.

“Saya tahu ada yang menganggap fasa pertunangan sebagai fasa yang getir buat pasangan. Tapi sepanjang tempoh (dengan Amar) saya bahagia melaluinya tanpa masalah.

“Bukan mudah untuk mencari lelaki yang mempunyai kriteria idaman. Saya tidak mengharapkan kesempurnaan tetapi cukuplah andai kata kami saling lengkap melengkapi,” katanya.

Persepsi

Sementara itu, pendakwah Ustazah Norhafizah Musa yang juga pensyarah di Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur berpendapat, bukan senang untuk menggalas jawatan sebagai selebriti terutama pada saat untuk memutuskan perkara penting dalam hidup.

“Mungkin ia kedengaran klise tetapi benar bahawa jodoh, pertemuan dan ajal semuanya adalah kehendak Ilahi.

“Sebagai individu yang hidupnya sentiasa menjadi perhatian ramai, hak mereka untuk tidak mendedahkan terlalu terperinci soal majlis perkahwinan terutama apabila mereka adalah daripada golongan wanita,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menyentuh tentang pembatalan majlis pertunangan atau perkahwinan, beliau berpendapat itu sebagai perkara normal yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Bezanya, berita itu mudah menjadi buah mulut ramai kerana status sebagai selebriti.

“Hidup pada zaman teknologi moden memang banyak cabarannya. Semua perkara mudah tersebar dengan hanya satu klik di papan kekunci komputer mahupun telefon pintar.

“Apatah lagi apabila anda berstatus orang terkenal, memang orang tidak akan berhenti bercakap melontarkan persepsi terutama di media sosial seperti Instagram dan Facebook,” getusnya.

Pada hemat Norhafizah lagi, dalam bab memilih jodoh ni, beliau memiliki kepercayaan dan keyakinan sendiri yang dipegang iaitu jika mahu jodoh yang terbaik, mohonlah dengan Allah.

“Semakin lama kita melalui kehidupan, semakin terserlah bahawa jodoh itu sememangnya suatu misteri. Pada akhirnya, semuanya akan bersama secara berpasangan-pasangan,” ungkapnya mengakhiri perbualan.