Keberanian Rosli tiada tandingan

JENAZAH Rosli yang disemadikan di Penjara Kuching, Sarawak digali semula untuk dipindahkan ke Makam Pahlawan Sibu.


DENGAN laungan Allahuakbar, seorang anak muda berusia 17 tahun yang hanya berbekalkan senjata tradisi dikenali badik, pantas menikam Gabenor Kedua Sarawak, Sir Duncan Stewart pada pukul 9.30 pagi, 3 Disember 1949.

Meskipun baru sebulan menggalas tanggungjawab sebagai Gabenor Sarawak, keangkuhan Stewart memakan diri sendiri.

Disebabkan rasa sombong itu, ‘maharaja’ yang menyimpan angan-angan untuk merampas hasil bumi Sarawak tersebut akhirnya rebah di tangan pemuda bernama Rosli Dhoby.

Seketika, suasana menjadi senyap sepi dan semua orang termasuk bala tentera Stewart terpaku melihat darah merah mengalir membasahi pinggiran anak Sungai Rajang di Bandar Sibu.

Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, Gabenor itu dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Singapura bagi tindakan selanjutnya, namun selepas tujuh hari bertarung nyawa, penjajah itu menemui ajal.

Rosli dan tiga lagi rakannya, Morsidi Sidek, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong ditangkap serta-merta selepas menikam Stewart. Keempat-empat hero itu reda menjalani hukuman di atas perbuatan menentang penjajah tersebut.

Pada 15 Disember 1949, keempat-empat wira itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan Rosli bersama Morsidi pula menemui ajalnya pada 2 Mac 1950 manakala Awang Rambli dan Bujang digantung pada 23 Mac 1950.

Kesemua mereka menjalani hukuman penggantungan di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching dan dikebumikan tanpa batu nisan.

Bagaimanapun, kematian itu mengundang banyak persoalan selepas tengkorak, gigi, tulang dan rambut Rosli tidak dijumpai semasa proses penggalian semula kubur Hero Melayu Sarawak itu di Penjara Pusat Kuching pada 1996.

“Di dalam kubur itu, tiada apa-apa bukti berkaitan jasad Rosli, yang ada hanyalah tanah dan papan keranda,” tutur Bolhassan Aninnie Dhoby, anak saudara Rosli yang turut berada di kubur itu ketika proses penggalian semula tersebut berlangsung.

Katanya, penggalian itu tidak menemui sebarang bukti bahawa jasad bapa saudaranya pernah dikebumikan di situ.

Bolhassan dan beberapa orang yang berada di lokasi itu mula kehairanan, masing-masing bertanya-tanya ke mana perginya tanda-tanda bahawa jasad Rosli dikebumikan di situ?

Misteri


Rosli (kiri) bersama tiga lagi rakannya Awang Rambli (atas), Bujang (tengah) dan Morsidi dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah menikam Stewart.


Keadaan pelik itu turut berlaku di tiga lagi pusara rakan Rosli yang dikebumikan di situ pada Mac 1950.

“Banyak persoalan yang tercetus seperti benarkah Rosli digantung? Benarkah Rosli dibawa ke London?,” kata Bolhassan yang menceritakan semula persepsi orang ramai selepas misteri itu tercetus kira-kira 20 tahun lalu.

Mengimbau detik itu, Bolhassan yang dianggap sebagai pewaris Rosli berkata, memori itu menjadi peristiwa paling bernilai dalam susur galur keluarga mereka.

“Dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai darah pejuang dan nama Rosli menjadi antara watak-watak penting negara ketika zaman menuntut kemerdekaan dahulu, ia merupakan pengiktirafan yang tidak ternilai.

“Saya dan ahli keluarga lain bangga kerana hero itu lahir daripada keluarga sendiri sehinggakan kisah-kisahnya diceritakan dalam pelbagai genre buku,” katanya yang begitu semangat persis keperwiraan bapa saudaranya itu.

Meskipun tidak sempat mengenali Allahyarham, Bolhassan memberitahu, doa adalah jambatan untuk mereka mengenang pemergian bapa saudaranya sejak lebih 60 tahun lalu.

Maka dengan itu, barang-barang pusaka yang mempunyai nilai sejarah terutamanya baju kemeja berwarna hijau dan sekeping surat bernada rindu kepada kedua orang tua yang ditulis Rosli semasa meringkuk di penjara menjadi kenangan.

Baginya, kedua-dua peninggalan itu adalah pusaka berharga yang menjadi memori abadi kepada seluruh ahli keluarganya.

“Memang ada pihak yang ingin menyimpan kedua-dua barang ini tetapi kami tidak memberi keizinan kerana ia mempunyai nilai sentimental yang sangat berharga.

“Kami juga tidak mahu ia disalahgunakan pihak tertentu. Jadi, lebih baik kami menyimpannya sendiri sebagai harta pusaka yang paling berharga,” ujarnya.

Inspirasi


ROSLI menjadi pelajar di Sekolah Methodist Sibu dan mengajar pada waktu petang di Sekolah Rakyat.


Sebagai contoh, pihak muzium sendiri cuba memujuknya untuk menjadikan barang itu sebagai koleksi pameran, namun ditolak secara baik ekoran bimbang ‘harta’ itu akan hilang.

Jelasnya, biarlah baju dan warkah itu kekal dalam simpanan ahli keluarga bagi mengelak ia terlepas ke tangan orang lain.

“Terlalu sukar untuk saya menyerahkan barang-barang ini kerana hanya ada satu di dunia, biarlah kami simpan sebagai kenangan abadi seluruh keluarga,” jelasnya.

Lagipun, dia memberitahu, barang peninggalan itu juga sebagai pembakar semangat kepada mereka untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang terutamanya pelajaran.

Bolhassan memberitahu, semua waris sentiasa mencontohi keperwiraan dan keberanian Rosli yang tiada tandingan itu.

Maka, nilai itulah yang memberikan inspirasi kepada perjuangan orang-orang Melayu untuk berjaya, sekali gus berani dalam menghadapi sebarang cabaran.

“Setiap kali saya diundang untuk memberi ceramah atau motivasi, baju dan surat ini mesti dibawa.

“Saya hendak memberi mereka inspirasi tidak kira kepada pelajar mahupun sesiapa yang mahu menjadi lebih berani dan tampil yakin,” jelasnya.Pada masa sama, hati Bolhassan tetap berbangga kerana sekurang-kurangnya nama bapa saudara itu masih disebut sehingga kini.

Buktinya, Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby di Bandar Sibu, Bulatan Rosli Dhoby dan makam pahlawan menjadi mercu tanda penghargaan kepada adi wira itu.

Tambahnya, setiap kali tibanya Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, air mata lelakinya menyembah bumi tatkala mengimbau kembali jerih perih pejuang terdahulu membela agama, bangsa dan negara.

“Saya mengagumi keberanian dan kepahlawanan bapa saudara serta rakan-rakannya. Malah, mereka yang berani berkorban untuk negara.

“Jujur, setiap kali mendengar laungan merdeka, air mata saya mengalir terharu dan bangga kerana nama bapa saudara terpahat dalam salah satu sejarah kemerdekaan negara,” ujarnya.

Biarpun hanya tinggal baju dan warkah rindu, ia sudah cukup untuk Bolhassan menyatakan rasa kasih sayang kepada bapa saudaranya itu.