WooGo dibuka di Wisma Sentral


SMOOTHIE WooGo diperbuat daripada sorbet buatan sendiri menggunakan buah-buahan dan yogurt rendah lemak.


SMOOTHIE California terkenal sebagai minuman sejuk yang kaya dengan buah-buahan segar dan enak dinikmati di bawah cahaya matahari di tepi pantai.

Bagi penggemar rasa autentik smoothie dari Barat itu kini boleh dinikmati di Malaysia.

Jenama WooGo menembusi pasaran tempatan mulai 1 September lalu dengan pembukaan francais pertamanya di Wisma Sentral, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menyelak lipatan sejarah penubuhannya, WooGo mendapat nama daripada terjemahan bahasa Cina, wu yang bermaksud lima dan ge iaitu saudara.

Ia merupakan simbolik kepada ikhtiar lima orang anak muda yang berasal dari Taiwan, California dan Mexico iaitu pasangan adik-beradik, Jay Chen, Adam dan Tim; Robbie serta Sagiv.

Pada awalnya, mereka berkenalan di California dan bertemu lagi di Taiwan selepas itu. Pada suatu hari selepas melakukan aktiviti senaman di gimnasium, Sagiv dan Robbie ingin menikmati smoothie sejuk seperti yang terdapat di California.

Malangnya, hasil carian menunjukkan minuman tersebut masih tidak terdapat di Taiwan. Justeru, setelah berbincang dengan adik-beradik Chen, mereka sepakat untuk mewujudkan kios smoothie dengan nama WooGo pada tahun 2013 dengan Taiwan dipilih sebagai lokasi pertama.

Salah seorang pengasas WooGo California Smoothie Malaysia, Freddy Sia, berkata, smoothie WooGo diperbuat daripada sorbet buatan sendiri menggunakan buah-buahan segar serta yogurt rendah lemak.

Menurutnya, ia bukan sahaja enak, malah baik untuk kesihatan termasuk mereka yang sedang mengurangkan berat badan.

“Kami berharap lebih ramai orang dapat menikmati rasa asli smoothie dari California tanpa perlu memikirkan nilai nutrisi yang ada padanya.

“Pada masa yang sama, kami turut berharap pelanggan dapat merasai keterujaan, kegembiraan dan keceriaan yang sekian lama menjadi moto WooGo sejak ia diperkenalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Selari dengan pengenalan sulung jenama smoothie terkenal Taiwan di negara ini, beberapa pilihan menu bercirikan Malaysia turut diperkenalkan.

Antaranya smoothie Apple Khabar dan jus Orangutan Mix California.

Smoothie Apple Khabar merupakan signatur yang mencerminkan kebudayaan Malaysia kerana menggunakan homofonik ‘apa khabar’ iaitu ucap selamat yang sinonim dengan rakyat negara ini.

Selain smoothie, pelanggan juga boleh menikmati pilihan minuman secara panas atau sejuk.