Impak pesona Siti Elizad

SINGLE - Usai menjuarai program Gempak Superstars, Elizad kini merealisasikan mimpinya untuk bergelar penyanyi menerusi single berjudul Hai Ya Ya.


Siti ELIZAD bukan orang baharu dalam dunia lakonan. Wajah pelakon itu terlebih dulu menghiasi layar lebar dalam filem Berlari Ke Langit dan Gangster sekitar awal tahun 2000. Namun, itu cerita lama. Hari ini, pada usia 32 tahun, perjuangan seni Elizad semakin ampuh dengan kehebatannya berlakon dalam naskhah-naskhah televisyen yang menyerlahkan portfolionya sebagai pelakon.

Selepas mencuri tumpuan dalam drama bersiri Teman Lelaki Upahan dan Lambaian Ramadan, Elizad kembali mencuri hati penonton dengan lakonan bersahaja yang diiterjemahkan dalam drama rantaian Si Kolot Suamiku.

Terbaharu, si jelita yang lebih mesra disapa Ejad itu akan menjalani penggambaran drama rantaian sebanyak 80 episod berjudul Papa Ricky.

“Saya telah menerima skrip bagi 20 episod pertama drama berkenaan tetapi masih belum memasuki set penggambaran. Justeru, bermula bulan ini saya akan sibuk menjalani penggambaran sehingga bulan April atau Mei tahun hadapan.

Anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, drama berkenaan bakal merungkai kisah kekeluargaan dan masyarakat.

“Dalam drama terbaharu ini, saya akan kembali memegang watak serius sebagai wanita sosial yang gemar berparti dan menunggang motosikal berkuasa tinggi,” ujarnya.

Berbicara mengenai karakter terbaharu dalam drama Papa Ricky, Ejad perlu melakonkan watak wanita muda yang telah melahirkan seorang bayi perempuan tetapi tidak dapat menerima hakikat tersebut, lantas membawa diri ke luar negara.

“Apabila pulang ke tanah air, dia telah kembali menjalani kehidupan sosial yang gemar berparti dan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Dalam satu babak, wanita berkenaan telah terserempak dengan anak perempuannya yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.

“Dia juga bertemu dengan bekas suaminya yang sudah mempunyai wanita lain dalam kehidupannya,” cerita Elizad yang sudah menghadam sebahagian daripada skrip yang telah diberikan kepadanya.

Dalam ramah, Elizad menambah, dia juga terpaksa memotong rambut bagi menghayati watak dalam drama berkenaan.

“Sebagai pelakon, saya perlu menggalas tugas sebaik mungkin dan memahami kehendak pengarah yang inginkan kelainan dalam penampilan drama berkenaan.

“Saya sama sekali tidak kisah apabila diminta untuk memotong rambut kerana ia akan tumbuh kembali,” ujarnya sambil mengukir senyuman.

Sebagaimana yang sudah menjadi amalannya dalam karier, kali ini juga Elizad tidak akan mengambil tawaran lain bagi memberi sepenuh komitmen terhadap terbitan syarikat Global Station Sdn. Bhd tersebut.

“Saya akan memastikan hanya memberi komitmen terhadap sebuah naskhah pada satu masa. Ini merupakan cara saya menterjemah watak yang diamanahkan sebaik mungkin tanpa gangguan.

“Menjiwai sesuatu watak dalam sesebuah naskhah drama mahupun filem bukan satu perkara mudah. Apatah lagi dalam memberi ‘nyawa’ kepada watak yang digalas untuk memastikan keberkesanan lakonan sehingga meninggalkan kesan kepada audiens,” katanya.

Terheret dengan topik watak lakonan, biarpun pelakon filem Coverina itu cukup sinonim memegang karakter serius, dia tetap berharap diberi peluang memegang lebih banyak watak komedi dan santai dalam lakonan.

“Bagi saya, menangis lebih mudah berbanding membuat orang gelak ketawa. Watak komedi sebenarnya lebih mencabar.

“Pelakon perlu lebih menjiwai watak dalam drama komedi kerana setiap babak memerlukan cara pertuturan dan reaksi muka tersendiri agar dapat mencuit hati audiens,” ujarnya.

Tambah Elizad, mungkin ada dalam kalangan peminat tidak mengetahui banyak lagi kemampuannya mempelbagaikan sisi karakter kerana sering diberi watak serius.

“Saya mahu mempelbagaikan watak dan akan berasa puas apabila dapat memberikan lakonan terbaik dalam setiap naskhah. Ia merupakan satu kepuasan kepada diri apabila dapat meninggalkan kesan kepada audiens,” tuturnya.

Wanita yang menyimpan impian untuk memegang watak wanita psiko itu menambah, dia juga sentiasa peka terhadap kritikan peminat bagi memperbaiki setiap kelemahan.

Tambah Elizad, suaminya Shamsul Baharin Rahman, 44, juga sentiasa memberi sokongan padu terhadapnya, bahkan merupakan pengkritik tetap yang sering melontarkan apa sahaja pandangan mengenai perincian dan keberkesanan kerja lakonnya di kaca televisyen.

Single sulung

Selain lakonan, bekas peserta realiti Gempak Superstar itu akan melebarkan sayap dalam lapangan seni. Dia bakal mewarnai seni suara dengan melancarkan single pertama berjudul HaiYaYa pada awal bulan ini.

“Usai program Gempak Superstar, saya telah dilamar syarikat pengurusan Paranormal Talent untuk merakamkan single pertama berjudul HaiYaYa. Saya Pelawaan berkenaan diterima dengan hati terbuka kerana ia merupakan sesuatu yang baharu dalam cabang seni saya.

“Saya tidak takut dengan pandangan atau kritikan yang bakal dilemparkan apabila berkecimpung dalam dunia nyanyian pula. Rezeki datang daripada Tuhan,” katanya.

Dengan nada teruja, dia memberitahu, lagu HaiYaYa berkisar seseorang yang telah menempuhi kegagalan dalam kehidupan tetapi bangkit semula demi menjalani kehidupan lebih baik.

Lagu yang digubah dan diolah oleh Omar K, Ezra Kong dan Faizul AF berkenaan secara tidak langsung memberi motivasi kepada pendengar agar tidak dibuai emosi kegagalan tetapi sentiasa bangkit untuk menempuh liku-liku kehidupan.

“Sebenarnya saya masih tidak memahami lenggok dunia seni nyanyian dan tetap meminati lakonan. Menerusi nyanyian, saya sekadar ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam karier.

“Sudah tentu saya tidak menyasarkan untuk memasuki mana-mana pertandingan. Begitupun, lagu ini mungkin boleh digunakan sebagai runut bunyi dalam drama kerana ia mempunyai jalan cerita yang bervisi,” katanya.

Memandangkan Elizad akan terikat dengan penggambaran drama yang panjang, dia sudah mempunyai rangka promosi single berkenaan, khususnya di laman media sosial sebelum dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

“Jadual penggambaran drama Papa Ricky tidak akan menghalang untuk promosi single pertama ini. Saya mungkin akan mengisi masa terluang memenuhi slot-slot mempromosikan lagu HaiYaYa.

“Buat masa ini, saya belum terfikir untuk menghasilkan sebuah album penuh. Keadaan ekonomi sekarang juga tidak menentu bagi penyanyi untuk melahirkan sebuah album penuh,” katanya yang akan memantau perkembangan dan penerimaan terhadap single sulungnya itu.

Maklum balas daripada peminat akan menjadi kayu pengukur buat Elizad merencanakan perincian langkahnya dalam dunia seni suara.