THR Gegar radio nombor satu di Pantai Timur

13/10/2016 5:17pm


Barisan penyampai radio THR Gegar bersama dengan Nadira Azizan (tengah) di Malam Gemilang Astro di Hotel Perdana Kota Bharu malam tadi.


KOTA BHARU - Stesen radio, THR Gegar sekali lagi muncul stesen radio nombor satu dan paling popular di negeri Pantai Timur apabila mencatatkan kejayaan mendadak meraih sebanyak 2.8 juta pendengar seminggu.

Berdasarkan statistik dibuat Pengukuran Pendengar Radio (GfK), stesen radio tersebut berjaya menambat pendengar di Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan menyajikan pelbagai segmen yang menarik untuk pendengarnya.

Sementara itu, rancangan sarapan pagi, Celoteh Pagi dikelolakan oleh Shah dan Zura pula menjadi produk terbaik ditawarkan stesen radio tersebut dengan jumlah pendengar mencecah 1.6 juta orang.

Pengurus Kandungan THR Gegar, Nadira Azizan berkata, pencapaian tersebut disifatkan luar biasa memandangkan pihaknya sebelum ini menyasarkan sekitar 2 juta pendengar setiap minggu.

"Ini merupakan kejayaan cukup besar bagi seluruh tenaga kerja THR Gegar yang bertungkus lumus menjayakan pelbagai program. Program yang baru dilancarkan baru-baru iaitu Jajahan Gegar yang berlangsung di Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dihadiri lebih 6,000 pengunjung," katanya yang ditemui ketika menghadiri Majlis Gemilang Astro Radio membabitkan THR Gegar, Sinar FM dan Era FM, di sini malam tadi. - K! ONLINE