Perjuangan rock kampung Khalifah

MOTIVASI - Khalifah yang terdiri daripada (dari kiri); Tony, Yabang, Herry dan Moy mahu memberi motivasi kepada rakan seperjuangan lain agar jangan gentar menerbitkan album penuh seperti mereka.


Pada pandangan mata kasar, kumpulan Khalifah yang dianggotai Yabang selaku vokalis, Herry (gitar), Moy (bass) dan Tony (dram) kelihatan sama sahaja seperti kumpulan rock lain di Malaysia daripada segi penampilan dan genre muzik yang dibawa.

Namun, jika dihayati lagu-lagu mereka, setiap satu daripadanya mempunyai maksud dan cerita tersendiri yang kadangkala berkait dengan kehidupan seharian khalayak.

Mewakili anggota lain, Yabang atau nama sebenarnya, Muhammad Qidam Abdullah menjelaskan situasi berkenaan terzahir sebagai strategi Khalifah mencipta identiti sendiri dalam industri muzik iaitu membuat lagu berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Sebagai contoh paling dekat, lagu Hang Pi Mana sebenarnya sebuah lagu ringkas yang menceritakan bahawa seseorang itu tidak perlu malu untuk mengakui pekerjaan yang dijalani, selagi ia halal dan tidak menyalahi undang-undang.

Lagu tersebut mengisahkan seorang anak muda yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

Ironi, Yabang merupakan anak kelahiran Sabah, manakala tiga anggota Khalifah yang lain pula berasal dari Selangor.

Tanpa seorang pun memiliki latar belakang daripada negeri Kedah, mereka bagaimanapun mengangkat loghat dari negeri Jelapang Padi itu kerana berasa ia dekat dengan masyakarat Malaysia.

“Idea lagu Hang Pi Mana datang daripada pemain gitar kami, Herry yang mahu generasi muda sekarang tidak terlalu memilih kerja dan berhenti merisaukan ibu bapa apabila terlibat dengan perkara kurang bermoral.

“Kami memasukkan keunikan dialek yang mencerminkan bangsa, jadi kami berani mengetengahkan lagu-lagu menggunakan dialek Utara agar ia senang difahami dan tidak kedengaran terlalu serius,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album kelima Khalifah bertajuk Cerita Kita.

Cerita Kita

Sejak menubuhkan Khalifah pada tahun 2006 selepas Yabang dan Herry meninggalkan kumpulan Jinbara, 2016 menandakan satu dekad kumpulan itu bertapak dalam industri. Sepanjang tempoh itu, Yabang dan Herry yang bergabung dengan Moy dan Tony yang merupakan pemuzik bebas telah menghasilkan lima buah album termasuk yang baru dilancarkan, Cerita Kita.

Ketika ramai artis lain mengambil pendekatan selamat untuk menghasilkan single berbanding album penuh, Khalifah merasakan itu satu kerugian kerana mereka berkarya bukan untuk mempopularkan sebuah lagu sahaja.

Penghasilan Cerita Kita yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk diterbitkan menjadi bukti bahawa kumpulan itu tidak tunduk dengan kegawatan industri dan masih meletak sepenuh kepercayaan kepada peminat untuk membeli album fizikal yang dilancarkan.

Bukan tidak mempercayai kehebatan teknologi yang membolehkan peminat menyimpan lagu di dalam telefon tetapi Yabang berkata, cara tersebut menghakis nilai sentimental yang ada pada sesebuah album itu.

“Kecanggihan teknologi juga ada kekurangan seperti jika ada sistem yang rosak atau telefon perlu diformat, koleksi lagu-lagu boleh hilang begitu sahaja.

“Bagi saya, mengumpul album menjadi koleksi peribadi itu lebih bermakna dan ia akan kekal untuk tempoh masa lebih lama jika dijaga dengan cermat,” katanya yang menyifatkan setiap album yang diterbitkan adalah hadiah buat peminat setia mereka.

Bercerita tentang album baharu, Khalifah memilih untuk tidak menjadikan tajuk single sebagai judul album, tetapi memilih Cerita Kita untuk merangkumi semua lagu yang ada di dalamnya.

Tambah Yabang, mereka masih mengekalkan konsep sama dengan menyelitkan nasihat dan nilai-nilai murni secara tersirat dalam setiap lagu untuk album berkenaan.

“Kami bukan kumpulan budak-budak muda untuk menghasilkan lagu-lagu putus cinta dan air mata. Sekurang-kurangnya biarlah apa yang disampaikan kepada pendengar lebih terarah terhadap keinsafan dan pengajaran.

“Masih ada elemen cinta yang disuntik dalam penghasilan lagu-lagu kami, cuma kebanyakannya berkait dengan ketuhanan ibu bapa, sesama manusia dan bukannya cinta remaja,” jelasnya lagi.

Terdapat 10 buah lagu yang dimuatkan dalam album Cerita Kita iaitu Hang Pi Mana, Kerbau Di Payung, Jika, Shalala, Puteri, Tiada Esok, Satu Kalimah, Panji Hitam, Sebutir Bintang dan Assalamualaikum Ustazah.

Beralih ke arah isu yang sedikit sensitif, kecenderungan kumpulan Khalifah menghasilkan lagu yang berkaitan dengan masyarakat luar bandar, dialek dan juga gabungan muzik tradisional menjadikan mereka digelar kumpulan ‘kampung’.

Lagu ‘kampung’

Bukan sekali dua gelaran berkenaan singgah di cuping telinga kumpulan berkenaan tetapi tiada satu pun dianggap menyakitkan hati, sebaliknya diterima dengan penuh kebanggaan.

Kata Yabang, jolokan tersebut ada benarnya. Mereka memang kumpulan pemuzik kampung yang menyanyikan lagu-lagu rakyat kerana itu adalah pilihan mereka.

Bukan hendak meninggi diri tetapi lagu-lagu kampung mereka itulah yang sering menjadi siulan anak-anak muda dan mendapat tempat dalam carta-carta radio tempatan.

“Memang lirik dan melodi kami berbunyi ‘kampung’ tetapi persembahan muzik kami tetap rock dan mengikut peredaran zaman seiring dengan instrumen canggih dan terkini.

“Keunikan gabungan moden dan tradisional inilah yang membuatkan karya kami unik dan lain daripada lain. Jadi apalah sangat jika digelar kumpulan ‘kampung’ kerana orang kampunglah yang sering menyokong dan membeli album-album kami,” katanya lagi.

Selain lagu-lagu dialek negeri, Khalifah juga dalam perancangan membuat lagu dalam bahasa Orang Asli yang disifatkan lebih menyentuh jiwa dan mendalam liriknya apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu.