Seelan Paul optimis lawan survival radio


BERADA di kerusi utama penggerak RRMP, Seelan Paul sentiasa ligat mencuba pendekatan terkini agar produk radio terus relevan di telinga pendengar.


Dunia penyiaran radio yang semakin kompetitif menuntut stesen-stesen radio tanah air harus peka dengan perubahan dan permintaan pendengar.

Penggunaan teknologi moden seperti media sosial dan digital juga menjadi antara penyumbang saingan sengit, sekali gus mampu menarik lebih ramai pendengar.

Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) yang mempunyai empat stesen radio iaitu Hot FM, Kool FM, Fly FM dan One FM turut mengadaptasi teknologi terkini, terutama media baharu dalam operasi harian agar tidak ketinggalan dibuai arus perdana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Seelan Paul menjelaskan, media baharu banyak memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan harian pendengar hari ini malah menjadi elemen utama mempengaruhi keputusan rakan pengiklan.

Seelan yang menerajui RRMP sejak 2005 memberitahu, banyak perubahan perlu ditempuh sepanjang 11 tahun, termasuk daripada segi perubahan teknologi.

KOSMO!: Adakah Seelan Paul melihat dunia penyiaran radio masih relevan pada hari ini?

SEELAN PAUL: Sudah pasti dunia penyiaran radio masih relevan dalam dunia hari ini, apatah lagi dengan kelahiran teknologi yang semakin canggih.

Para pendengar bukan sahaja dapat menggunakan platform secara tradisional tetapi kini boleh mendengar program radio di mana-mana sahaja melalui telefon pintar, tablet, malah komputer meja dan komputer riba mereka.

Justeru, RRMP akan sentiasa mencari resipi terbaik dalam memastikan kita tidak ketinggalan bagi memberi kandungan bermanfaat dan menghiburkan kepada pendengar.

Apakah yang anda rasakan penting bagi survival sesebuah stesen radio agar terus diminati pendengar?

Stesen radio perlu mencari pengisian yang menepati cita rasa khalayak.

Visi RRMP ialah untuk menjadi jenama memberikan pengisian segar dan kreatif untuk muzik, hiburan serta gaya hidup yang relevan buat pendengar setiap stesennya.

Bagaimana teknologi canggih membantu penyampaian kandungan radio, sekali gus melonjakkan populariti stesen-stesen radio?

Umum sedia maklum, dunia penyiaran radio sudah mengalami evolusi sejak beberapa tahun lalu apabila terdapat pelbagai platform seperti media sosial dan digital.

Sejajar perubahan landskap penyiaran yang semakin kompetitif, RRMP turut menitikberatkan peranan media sosial dan digital ini dalam operasi harian.

Kami menyahut cabaran dalam menyampaikan pengisian lebih baik bukan sahaja melalui radio tetapi platform media sosial dan pengisian video menarik di YouTube.

Mengapa anda merasakan peranan media sosial dan digital penting dalam operasi harian?

Pihak RRMP sentiasa memandang ke hadapan, platform media sosial dan digital ini merupakan antara yang popular pada hari ini dalam kalangan pendengar.

Cuba kita hitung, berapa kali kita akan melihat dan memegang telefon pintar dalam tempoh sehari. Banyak bukan? Pendek kata, teknologi ini merupakan lonjakan paradigma dalam dunia penyiaran radio dan perlu digunakan sebaik mungkin. Ia terbukti apabila statistik menunjukkan jumlah terkumpul bagi pengikut laman sosial rasmi bagi empat stesen radio berkenaan iaitu Hot FM, Kool FM, Fly FM dan One FM sudah mencecah lebih 7.7 juta pengikut.

Statistik ini jelas menunjukkan kekuatan media baru dalam mempengaruhi kehidupan harian pendengar serta menjadi elemen utama dalam mempengaruhi keputusan rakan pengiklan di RRMP.

Bercerita berhubung media baharu, boleh nyatakan beberapa segmen di dalam media ini?

Sebagai contoh, pada bulan ini di laman sosial Facebook Hot FM terdapat segmen Rock Hot yang menampilkan kumpulan-kumpulan rock terkenal tanah air.

Melalui segmen selama satu jam ini, para pengunjung laman sosial berkenaan boleh menonton kumpulan kegemaran mereka secara langsung malah bertanya soalan secara interaktif. Ia memberi tarikan kepada penonton kerana bukan sahaja dapat berhibur tetapi mendekati kumpulan kegemaran mereka.

Ini merupakan antara contoh kandungan yang dapat menghiburkan penonton sambil berinteraktif.

Apakah platform terbaharu yang RRMP gunakan dalam mendekati pendengar?

Bagi sentiasa dekat bersama pendengar, mereka boleh berinteraksi secara langsung dengan penyampai bertugas melalui aplikasi WhatsApp rasmi di setiap stesen radio berkenaan.

Perhubungan dan interaksi amat penting apatah lagi bagi pendengar kerana dapat berinteraksi bersama penyampai radio kegemaran mereka.

Selain itu, RRMP juga adalah rangkaian stesen radio yang pertama di Malaysia menggunakan applikasi ini untuk berhubung secara langsung dengan pendengar mereka dalam masa sebenar.

Apakah perancangan baharu RRMP untuk terus relevan kepada pendengar?

Sekitar Mac atau April tahun depan, RRMP akan memperkenalkan produk baharu. Kali ini, kita akan menggunakan platform podcast.

Ia tidak melibatkan muzik tetapi lebih kepada pengisian fail digital kepada pendengar. Melalui platform ini, RRMP mungkin akan memperkenalkan segmen-segmen menarik seperti Bersama Wartawan dan Bertanya Kepada Ustaz. Menariknya, produk yang masih belum mempunyai jenama itu melibatkan kandungan yang tidak akan disiarkan menerusi radio.

Tetapi, pengguna boleh mendengar kandungan yang terdapat dalam produk terbaharu ini di mana-mana sahaja. Pihak RRMP akan memastikan ia dapat memberi manfaat dan menghiburkan pengguna.

Boleh nyatakan tentang hala tuju RRMP?

Ia bergantung kepada evolusi dunia penyiaran radio. Apa sahaja yang akan dilakukan haruslah terkini dan menepati cita rasa agar terus relevan kepada mereka. Kami bersedia menempuh apa sahaja perubahan iklim penyiaran radio.