Kereta persendirian jadi kereta sewa


Tiga orang anak muda tampil melalui platform Moovby untuk membolehkan orang ramai menyewa kereta pada harga yang berpatutan dan mudah.


BAGI kebanyakan individu, kereta merupakan keperluan asas yang digunakan sebagai medium pengangkutan bagi memudahkan perjalanan harian terutamanya ke tempat kerja.

Ini kerana, dengan memiliki kenderaan sendiri, ia mampu menjimatkan masa ke tempat kerja selain memudahkan pergerakan ke mana-mana sahaja.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari, tempoh waktu bekerja sekurang-kurangnya lapan jam setiap hari bagi kebanyakan individu menyebabkan kenderaan mereka hanya tersadai di petak parkir tempat kerja selain tidak bergerak sepanjang tempoh waktu tersebut.

Perkara tersebut menyebabkan tiga anak muda, Mohd. Nadzri Sazali, 22; Muhammad Syahmi Ismail, 24, dan Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil, 27, mengambil pendekatan untuk mewujudkan sebuah platform yang membolehkan pemilik-pemilik kenderaan menyewakan kenderaan mereka kepada orang ramai ketika ia tidak digunakan.

Menurut Mohd. Nadzri, idea untuk mewujudkan platform yang dikenali sebagai Moovby diperoleh sekitar awal tahun lalu ketika masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di sekitar Lembah Klang.

“Pada waktu itu saya mendapat panggilan kecemasan daripada keluarga yang menyatakan nenek telah kembali ke rahmatullah.

“Berita sedih tersebut memerlukan saya bergegas pulang ke kampung halaman yang terletak di Johor Bahru dengan segera untuk urusan pengurusan jenazah.

“Disebabkan pada waktu itu saya hanya mempunyai motosikal sahaja, jadi usaha untuk pulang ke kampung tergendala seketika kerana mana mungkin saya mampu tiba ke destinasi menggunakan motosikal dalam tempoh waktu yang singkat.

“Satu-satunya cara yang boleh dilakukan untuk sampai dengan cepat ke sana ialah dengan menyewa kereta,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujar Mohd. Nadzri, bagi tujuan tersebut, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk mencari perkhidmatan kereta sewa yang mudah dan cepat sebelum berjaya bergerak pulang ke kampung halaman.

Sewa kereta

Kesukaran tersebut lantas menjadi ilham buat Mohd. Nadzri dan dua rakannya untuk mewujudkan Moovby bagi memudahkan orang ramai menyewa kenderaan dengan mudah dalam waktu yang singkat.

“Sebenarnya di luar sana perkhidmatan kereta sewa sudah banyak dan wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Bagaimanapun, Moovby berbeza dengan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut kerana kami menyediakan perkhidmatan dengan kiraan jam selain secara harian.

“Bukan itu sahaja, kami juga menggunakan kemudahan aplikasi dan web yang membolehkan orang ramai terus menempah kenderaan yang ingin disewa secara dalam talian tanpa perlu berurusan di kaunter perkhidmatan seperti yang dilakukan oleh kebanyakan perkhidmatan kereta sewa yang lain.

“Menerusi kaedah yang digunakan ini, mereka hanya perlu menempah kenderaan yang diinginkan dan membuat pembayaran. Mereka hanya akan berurusan dengan pemilik kereta yang disewa secara langsung ketika kenderaan tersebut ingin diambil,” jelasnya.

Biarpun pemilik bebas menyewakan kenderaan mereka, bagaimanapun hanya kenderaan yang berusia kurang daripada enam tahun sahaja dibenarkan untuk disewakan.

Kaedah tersebut digunakan bagi memastikan setiap penyewa memperoleh kenderaan sewaan yang berkualiti selain bagi mengelakkan sebarang masalah ketika digunakan.

Ujar Mohd. Nadzri lagi, lebih memudahkan orang ramai ialah apabila pemilik kenderaan akan menghantar sendiri kenderaan mereka kepada penyewa.

Bagaimanapun, jika jarak antara pemilik dan penyewa melebihi dua kilometer, penyewa akan dikenakan caj tambahan.

Jana pendapatan

Ceritanya lagi, sehingga ke hari ini, mereka mempunyai lebih daripada 11 kenderaan untuk disewakan dan di antaranya ialah Proton Saga, Exora, Toyota Vios dan Kia Optima.

Kesemua kereta tersebut boleh disewa dengan harga serendah RM6 sehingga RM22 bagi setiap satu jam penggunaan.


Setiap penyewa bertanggungjawab terhadap kenderaan sewaan melalui kontrak perjanjian yang telah ditandatangani.


Daripada hasil bayaran tersebut, 85 peratus daripadanya akan diberikan kepada pemilik kenderaan, manakala baki sebanyak 15 peratus akan dibayar kepada Moovby.

“Walaupun kenderaan di sini tiada had sewaan maksimum, namun setiap penyewa perlu menyewa kenderaan pemilik sekurang-kurangnya tiga jam.

“Selalunya, dengan harga serendah RM6, individu boleh menyewa sebuah Perodua Viva selama satu jam,” jelasnya.

Jelas Mohd. Nadzri lagi, kenderaan-kenderaan sewaan Moovby mendapat permintaan hangat terutamanya pada hujung minggu.

Sehingga kini, mereka menjalankan operasi di sekitar Lembah Klang dengan menyasarkan lokasi tumpuan pelajar dan lokasi-lokasi yang kurang akses pengangkutan awam.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Syahmi Ismail, 24, kewujudan Moovby merupakan antara langkah untuk orang ramai mendapat pendapatan sampingan selain daripada mengurangkan lebihan pengangkutan terutamanya di bandar-bandar besar.

“Daripada kereta itu dibiarkan parkir di tempat letak kenderaan, lebih elok jika kita menyewakan kepada orang awam kerana setidak-tidaknya dalam tempoh lapan jam bekerja, individu mampu menambah pendapatan sampingan tanpa perlu mengeluarkan modal ataupun tenaga.

“Bukan itu sahaja, ia juga merupakan langkah untuk memudahkan urusan orang ramai terutamanya mereka yang terdesak untuk menggunakan kenderaan pada waktu-waktu tertentu,” jelasnya.

Prosedur khas

Dalam pada itu, menurut Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil, 27, biarpun ramai yang meragui keselamatan kenderaan mereka ketika berada di tangan penyewa, namun menurutnya, dengan kaedah yang digunakan oleh Moovby, ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan masalah yang tidak diingini daripada berlaku.

“Kita mempunyai prosedur khas bagi setiap penyewa dan pemilik kenderaan iaitu mereka perlu mengisi butir-butir peribadi ketika ingin berurusan.

“Selain itu, kita juga akan menyemak latar belakang penyewa dan melihat sama ada mereka pernah disenarai hitam oleh syarikat perkhidmatan kereta sewa yang lain atau pun tidak.

“Jika semuanya berada dalam keadaan baik, barulah kami akan mengakses mereka kepada kenderaan yang diinginkan,” jelasnya.

Ujar Nik Muhammad Amin lagi, penyewa juga perlu menandatangani kontrak sewaan dan patuh kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Lazimnya, setiap kecelakaan yang berlaku terhadap kenderaan sewaan, penyewa perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Menurutnya lagi, sepanjang terlibat dalam perkhidmatan tersebut, kereta-kereta pemilik yang disewakan mereka tidak pernah terlibat di dalam mana-mana kes jenayah seperti kecurian mahupun kemalangan jalan raya.

Biarpun begitu, menurut Nik Muhammad Amin, mereka masih lagi berhadapan dengan stigma masyarakat yang sukar untuk mempercayai keselamatan kenderaan mereka ketika berada di tangan penyewa.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, pihaknya sedang berusaha untuk mewujudkan satu alat sistem kedudukan global (GPS) yang boleh mengesan, mengawal dan mengunci kenderaan sewaan dari jauh.

Melalui perisian itu juga, mereka tidak perlu menggunakan interaksi antara manusia kerana semuanya dibuat secara dalam talian dan ia juga boleh mengelakkan daripada isu menduakan kunci.