Cabang rezeki Adriana

On Air - Adriana pernah mengikuti kelas On Air kendalian Datuk Aznil Nawawi selama lima bulan yang banyak membantu memantapkan lagi skil dan bakat sedia ada dalam dirinya.


Bagi pengikut rancangan hiburan HLive!, kepetahan bicara pengacara bernama Adriana Adnan ketika mengendalikan program tersebut pasti menarik perhatian kerana dia kelihatan begitu selesa di hadapan kamera walaupun masih lagi baharu dalam dunia penyiaran.

Siapa tahu, di sebalik sosok tinggi lampai dan kejelitaannya itu, dia mewarisi bakat daripada ibunya, Zamzarina Zambri iaitu seorang pengacara popular RTM.

Terbiasa melihat ibunya yang sering muncul di kaca televisyen sejak kecil, situasi tersebut secara tidak langsung mencambahkan minat dalam diri Adriana untuk condong ke arah dunia media dan pengacaraan.

“Saya tidak menolak pengaruh kerjaya mama yang bermula sebagai pembaca berita, hos Selamat Pagi Malaysia dan Apa Kata Wanita telah mewujudkan satu semangat bahawa satu hari nanti, saya akan turut mengikut jejak langkahnya muncul dalam televisyen.

“Jadi, sebaik sahaja tamat pengajian diploma dalam jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tapah tahun lalu, saya mencuba nasib dalam rancangan Pencarian Wajah Baharu HLive! dan Alhamdulillah, saya dimurahkan rezeki apabila terpilih bersama seorang lagi peserta iaitu Donna Muslim,” tuturnya sewaktu bertamu ke sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Lakonan

Memulakan tugasan sebagai wartawan lokasi selama kira-kira sebulan sebelum diberi mandat mengendalikan program bual bicara pagi A.M Live, bakat Adriana berkembang lagi apabila ditawarkan watak di dalam drama yang sedang hangat di tevisyen sekarang, Suri Hati Mr. Pilot.

Memegang karakter sebagai Jannah yang menjadi rakan baik Warda lakonan Neelofa, si manis berusia 21 tahun itu dilihat menjiwai watak dengan baik, malah mampu mencuit hati penonton dengan dialog-dialog bersahaja yang dituturkan di dalam drama tersebut.

Pertama kali mempertaruhkan nasib dalam bidang lakonan, Adriana tidak menyangka percubaannya membawa hasil yang positif.

Mulanya dia sekadar memenuhi peluang depan mata ketika pengarah Suri Hati Mr. Pilot, Micheal Ang mengadakan sesi uji bakat terbuka di Astro. Daripada situ, jendela seni anak kelahiran Selangor itu terkuak lebar. Bakat terpendam yang selama ini tidak diketahuinya cukup menyerlah.

“Sebenarnya tiada istilah laluan istimewa untuk saya berlakon memandangkan saya seorang petugas HLive!. Uji bakat itu dibuka untuk semua staf Astro.

“Saya cuma membaca dua baris skrip ketika sesi pemilihan dan Micheal Ang terus memberikan reaksi memberangsangkan. Tidak lama selepas itu, dia menawarkan watak Jannah untuk saya,” katanya yang menganggap lakonan sebagai rezeki terpijak dan tidak patut dilepaskan.

Tambah Adriana, peluang berlakon bersama Neelofa juga sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana aktres itu sangat banyak membantunya dalam pembacaan skrip dan penghayatan watak.

Paling menarik, tiada jurang yang wujud di antara mereka. Sikap profesional Neelofa sepanjang bekerja juga cukup memberikan inspirasi kepada Adriana dan menambahkan kekagumannya kepada selebriti yang baru dijulang sebagai Bintang Paling Popular 2015 itu.

Hala tuju

Menerokai bidang kewartawanan, pengacaraan dan lakonan secara serentak sedikit sebanyak telah mendatangkan kejutan kepada anak sulung daripada tiga beradik itu.

Dalam masa sama, status sebagai pelajar separuh masa jurusan perakaunan di UiTM Shah Alam yang disandang, menambahkan lagi bebanan komitmen Adriana ketika ini.

Dek tekanan kerja dan pelajaran, banyak kali dia terfikir untuk memutuskan hanya satu komitmen yang harus diteruskan.

Namun, Adriana segera bangkit dan mengingatkan diri bahawa tidak semua orang menerima kelebihan yang dimilikinya sekarang. Jika dia menyerah kalah begitu sahaja, maka usaha yang dilakukan selama ini, gagal dalam sekelip mata.

“Saya masih muda dan itulah yang sering dibisikkan pada diri sendiri setiap kali terasa mahu mengangkat bendera putih dalam meneruskan perjuangan. Lagipun ini adalah jalan saya pilih sendiri dan tiada sesiapa pun yang memaksa. Jadi, mengapa perlu merungut.

“Buat masa sekarang, saya akan terima apa sahaja peluang kerja daripada bidang pengacaraan atau lakonan selagi ia tidak bertembung dengan jadual kelas.

“Mungkin selepas tamat belajar barulah saya akan membuat pilihan tentang bidang manakah yang akan diberikan fokus,” katanya yang masih berbaki empat tahun untuk menggenggam segulung ijazah sarjana muda.

Saat ditanya adakah kemungkinan hati dan memilih bidang perakaunan sebagai kerjaya tetap selepas tamat pengajian, Adriana dengan pantas memberitahu, jiwa sudah terikat dalam dunia seni.

Tegasnya, kegigihan menyambung pelajaran adalah untuk membuktikan bahawa kejayaan seseorang wanita tidak hanya bersandarkan wajah cantik, tetapi pendidikan yang tidak kurang hebatnya.

“Mungkin selepas 10 atau 20 tahun nanti, saya sudah bosan dengan industri, maka saya akan berubah angin. Tetapi, untuk tempoh lima tahun pertama ini, saya memasang matlamat untuk pergi jauh dalam dunia penyiaran dan hiburan,” luahnya penuh keyakinan.