Brunei lakar kemenangan bergaya, benam Timor Leste 4-0

02/11/2016 11:13pm


Penjaga gol Timor Leste, Fernandes Aderito Raul menepis serangan pasukan Brunei ketika perlawanan pembukaan Piala Solidarity AFC di Stadium Sarawak Petra Jaya, di sini malam ini. Foto:MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA


KUCHING - Brunei Darussalam memulakan misi memburu kejuaraan Piala Solidariti AFC 2016 dengan kemenangan bergaya apabila menewaskan Timor Leste 4-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Sarawak di sini malam tadi.

Pemain gantian, Azwan Ali muncul wira pasukannya apabila meledakkan dua jaringan iaitu pada minit ke-62, sebelum menambah satu lagi jaringan selang enam minit kemudian.

Gol ketiga skuad Tebuan pula dijaringkan oleh Mohammad Shah Razen Said menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.

Penyerang sensasi, Adi Said melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya apabila meledakkan gol hasil sepakan percuma menarik dari jarak kira-kira 25 meter pada minit ke-80.

Tampil menguasai perlawanan, prestasi yang dipamerkan anak-anak buah Kwon Oh Son ternyata sukar digugat oleh pasukan lawan.

Keputusan 4-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Payam Heidari.

Sementara itu, Oh Son berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh anak-anak selepas berjaya melakar kemenangan bergaya tersebut.

"Tahniah buat para pemain saya kerana beraksi dengan cukup cemerlang dan menunjukkan persembahan yang menarik," katanya.

Jurulatih Timor Leste, Fabio Da Silva pula mengakui agak kecewa dan berang dengan aksi yang dipamerkan oleh anak-anak didiknya selepas kekalahan itu.

Katanya, para pemainnya perlu bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan seterusnya menentang Nepal pada Sabtu depan.

"Memang sangat kecewa, peluang gol yang hadir tidak diterjemahkan, tetapi itulah bola sepak dan kita perlu menerima keputusan ini," katanya. - K! ONLINE