Ceritera cinta Syamsul, Bella



Berbalut gelojak rasa, gembira, gementar mahupun ingin tahu semuanya dizahirkan Bella Dally tatkala digandingkan dengan Syamsul Yusof buat pertama kalinya.

Kekok bukan soal utama tetapi apa yang lebih penting, hasil kerja mereka dapat dinilai berdasarkan merit dalam sebuah karya yang disifatkan berkualiti.

Dua figura ini miliki fasa berbeza sejak karier mereka bermula. Seorang pelaku dari arena seni, seorang lagi ahli imaginatif di arena perfileman. Analoginya, Syamsul sukar untuk didekati, manakala Bella, pelakon muda itu bersifat ingin tahu dan mendambakan ilmu.

Ironinya dalam sebuah repertoir bernama Desolasi, si manis yang baru mengikat tali kebahagiaan bersama aktor Nazim Othman serta pengarah termuda, pada usia 26 tahun yang memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Evolusi KL Drift 2 itu disatukan.

“Sudah tentu saya berasa teruja bila dapat berlakon dengan pengarah dan pelakon hebat seperti dia (Syamsul). Tambahan pula saya masih junior. Jadi, bila digandingkan, saya kena tahu karakter dia macam mana. Bukan sahaja watak yang dimainkan tetapi juga karakter sebenarnya. Bukan apa, untuk mencari keserasian sahaja.

“Terus terang memang tidak senang nak rapat dengannya sebab dia tidak bercakap dengan saya. Saya tidak rasa dia sombong sebab melalui orang-orang yang rapat dengannya dia memang begitu dengan wanita,” ujar Bella yang terlibat dalam penggambaran filem arahan Syafiq Yusof itu pada dua tahun lalu.

Bukan sombong

Mendengar kata-kata Bella, Syamsul ketawa mengatakan memang begitu peribadinya jika berlakon di samping wanita.

“Bukan sombong, tetapi saya memang macam itu bila berlakon dengan perempuan,” jelasnya mengenai karya arahan adiknya serta terbitan bapanya, Skop Production Sdn. Bhd. itu.

Biarpun sukar untuk membina keserasian dengan Syamsul, namun Bella bersyukur kerana watak Maya yang dibawanya dalam Desolasi tidak begitu sukar.

“Alhamdulillah, lakonan saya semakin okey. Suka atau tidak, saya kena ikut cara lakonan Syamsul. Cuma, kalau diberi peluang untuk berlakon semula dalam filem Desolasi pada hari ini, saya rasa boleh buat lebih baik berbanding lakonan dua tahun lalu,” jelas pelakon berusia 25 tahun itu.

Pernah berlakon di bawah beberapa pengarah, tentu sahaja karya sentuhan Syafiq itu disifatkan Bella sesuatu yang unik dan kreatif.

“Saya kagum dengan bakat yang dimiliki Syafiq terutamanya dalam penggunaan CGI (imej janaan komputer) yang luar biasa walaupun usianya baru mencecah 24 tahun. Saya yakin Desolasi mampu memberikan anjakan baharu kepada peminat filem tempatan,” ujarnya mengenai filem yang bakal ditayangkan pada 8 Disember depan.

Bagi Syamsul pula, dewasa usia seni dalam karya matang yang dihasilkannya saban tahun, pelakon dan pengarah berusia 32 tahun itu mengakui teruja menyaksikan kedewasaan adiknya, Syafiq menghasilkan karya yang berbeza dengannya.




Paling menerujakan Syamsul, apabila CGI filem Desolasi dikatakan antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh industri perfileman tempatan saat ini.

“Bila baca skrip filem itu, saya akui memang cerita ini susah untuk divisualkan. Bahkan, saya berasakan ini cerita paling berat pernah dihasilkan Syafiq selain SAM: Saya Amat Mencintaimu,” jelasnya yang terpaksa mengetepikan ego seorang abang dan mengakui kehebatan adiknya menerusi teknik CGI dalam filem.

Turut mencabar diri memberikan yang terbaik dalam wataknya demi ketelitian hasil kerja adiknya itu, Syamsul mengakui perbezaan yang terdapat pada hasil kerja dia dan Syafiq memberi kepelbagaian bakat dalam keluarganya.

“Saya ada bagi idea dalam filem itu tetapi ditolak oleh Syafiq. Saya tidak terasa sebab saya tahu dia ada idea tersendiri. Tambahan pula, saya lebih cenderung mengarah filem yang realistik tentang kehidupan, manakala dia pula lebih tertumpu kepada filem CGI,” kata Syamsul lagi.

Mawaddah cinta

Selama dua tahun melayari alam rumah tangga bersama pelakon Putri Sarah Liyana, kehidupan Syamsul kini terisi dengan mawaddah cinta.

Paling manis, kandungan Sarah yang memasuki usia empat bulan itu ditatang Syamsul bagai minyak yang penuh.

“Sejak Sarah disahkan mengandung semula, saya tidak membenarkan dia untuk banyak bergerak termasuk pergi ke butik miliknya di Bangsar. Masakan tidak, Sarah pernah keguguran sebelum ini dan doktor juga meminta dia banyak berehat. Maka saya bimbang sekiranya terjadi apa-apa jika dia banyak bergerak,” ujar Syamsul yang mengakui hanya membenarkan Sarah ke butik sekali dalam seminggu.

Biarpun berharap dengan kandungan Sarah kali ini, namun Syamsul juga tidak menolak qada dan qadar Tuhan.

“Walaupun kandungan dia sudah empat bulan tetapi kita tidak tahu rezeki Allah. Ada yang mengandung sembilan bulan juga tidak ada rezeki dapat anak. Itu yang saya takutkan. Apa yang saya boleh buat dengan isteri adalah dengan menjaga kandungan elok-elok dan ikhtiar banyak-banyak. Selebihnya kami reda,” ujar Syamsul lagi.

Sementara itu, bagi Bella pula, sejak berkahwin dengan Nazim hampir dua bulan yang lalu, dia mengakui cukup bahagia.

“Sejak hidup bersama, kami lebih faham dan mengenali karakter dan kesukaan masing-masing. Malah, Nazim juga tidak pernah menghalang saya untuk selalu balik ke kampung di Sabah sebab saya memang rapat dengan keluarga. Cuma, jika dahulu saya selalu balik lama sehingga sebulan, namun sejak kahwin paling lama saya akan tinggal di Sabah hanya seminggu,” jelasnya yang turut bersyukur kerana suaminya tidak pernah memaksa dirinya untuk mengehadkan aktiviti seni selepas berkahwin.