Penyesalan Gambit Saifullah


SEDUTAN babak lakonan Gambit sebagai Zaman dalam filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng yang akan ditayangkan pada 24 November ini.


SETELAH hampir dua tahun menghilangkan diri daripada kaca televisyen, pelakon Gambit Saifullah kini muncul dengan beberapa naskhah baharu seperti drama rantaian Isteri Tuan Ihsan dan filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng.

Membawakan watak seorang jejaka egois bernama Zaman, pastinya karakter tersebut tampak mudah buat Gambit sementelah watak sebegitu sering ditawarkan kepadanya.

Biarpun berpuas hati dengan lakonan menerusi filem animasi tersebut, pelakon berusia 31 tahun itu tetap berasa lakonannya masih banyak yang perlu dibaiki.

Berkongsi pengalaman hampir sedekad bergelumang dalam dunia seni, Gambit tidak menolak tanggapan negatif segelintir masyarakat terhadap sikapnya yang gemar bersuara lantang menyebabkan dirinya kurang mendapat perhatian.

Bagaimanapun, pelakon filem Karipap-Karipap Cinta itu tidak mudah mengalah, sebaliknya tetap berusaha gigih mengukuhkan kedudukan dalam persada hiburan tempatan.

Filem arahan Erma Fatima itu bakal menemui penonton bermula 24 November ini. Selain Malaysia, filem ini akan ditayangkan di Singapura dan Brunei. Ia turut dibintangi oleh Puteri Balqis, Sarah Ali, Awie, dan Remy Ishak.

KOSMO!: Setelah sekian lama tidak muncul di layar perak, Gambit kini kembali menerusi filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng. Boleh kongsikan tentang naskhah dan pengalaman sepanjang menjayakan penggambaran filem ini?

GAMBIT: Saya membawakan watak sebagai seorang lelaki kaya yang cuba merampas sebuah rumah anak yatim di bawah pengurusan Noreen lakonan Sarah Ali.

Bermula daripada itu, salah seorang penghuni rumah anak yatim tersebut bernama Aqish (Puteri Balqis) meminta pertolongan daripada Upin dan Ipin kerana terlalu meminati watak animasi tersebut.

Bercerita tentang pengalaman pula, disebabkan saya mengambil tempoh yang lama sekitar dua tahun untuk berehat, jadi agak sukar mendapat momentum saat ingin menjiwai watak.

Selain itu, saya juga berasa diri ini terlalu kecil dan mempunyai banyak kelemahan di depan kamera.

Justeru, pada pandangan peribadi, saya menilai tahap lakonan dalam filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng masih boleh diperbaiki kerana terdapat banyak kekurangan.

Sepanjang tempoh berehat daripada dunia lakonan, apakah yang anda lakukan?

Sekiranya tidak berlakon, saya terlibat dengan pembikinan program berbentuk travelog, sekali gus menerbitkannya sendiri. Terus terang saya gemar berehat selepas menyelesaikan sesuatu tugas tidak mengira sama ada dalam bidang lakonan mahupun penerbitan.

Apakah yang membuatkan anda mengambil masa untuk berehat selepas melakukan sesuatu pekerjaan?

Saya memilih untuk berehat selepas melakukan sesuatu pekerjaan itu adalah kerana masih belum mencapai kepuasan selepas melakonkan sesuatu watak selain mencari sasaran atau fokus dalam bidang lakonan.

Tidakkah tindakan berehat dalam tempoh yang panjang akan menyukarkan anda melakonkan sesuatu watak selain mudah dilupakan oleh peminat?

Tidak dinafikan perkara itu memang benar. Namun, buat masa sekarang saya ingin memberi fokus kepada bidang lakonan tidak mengira sama ada filem mahupun drama.

Selain itu, saya akui setiap anak seni pasti berdepan kegagalan sepanjang tempoh mencipta nama.

Justeru, masing-masing belajar daripada pengalaman terdahulu dalam mematangkan diri.

Apakah yang anda dapat pelajari berdasarkan pengalaman terdahulu?

Sekitar tahun 2010, saya kerap menolak tawaran berlakon kerana menerima banyak tawaran. Mungkin pada waktu itu usia masih muda menyebabkan saya terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mengetepikan pandangan orang lain.

Selain itu, saya juga berasa agak menyesal kerana bersikap sedemikian. Begitupun, saya berpendapat segala yang berlaku bukan rezeki.

Setelah menyesali perkara yang berlaku, adakah anda akan menerima segala watak tanpa bantahan?

Meskipun lahir perasaan menyesal dengan apa yang berlaku, saya tetap mengamalkan sikap selektif dalam soal pemilihan watak.

Hal itu kerana saya ingin melakonkan karakter yang dapat menyampaikan mesej positif, sekali gus meninggalkan kesan kepada penonton.

Selain filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng, apakah naskhah terbaharu lakonan anda?

Saya baru sahaja selesai sesi penggambaran drama rantaian Isteri Tuan Ihsan. Selain itu, saya juga muncul dengan telemovie Aku Dan Dia serta beberapa drama bersiri lain.