Inspirasi makanan laut Ili Sulaiman

PENGALAMAN MANIS - Kongsi Ili, antara pengalaman manis yang tidak akan dilupakannya adalah ketika menjadi pasukan penyedia makan malam untuk resepsi Putera William dan Kate Middleton di Istana Buckingham pada 2011.


BERLATARBELAKANGKAN suasana berangin disapa angin pantai, sambil ditemani debur ombak yang sesekali laju dan kuat, seorang wanita berambut hitam panjang sedang rancak menyediakan bahan-bahan masakannya.

Bicaranya meluncur laju dan bibirnya tidak pernah lekang dengan senyuman. Itu yang bakal disajikan buat penonton saluran popular Asian Food Channel (AFC) di saluran 703 menerusi sebuah program masakan terbaharu, By The Sea With Ili bersama cef selebriti terkenal, Ili Sulaiman.

Berkongsi lanjut mengenai program yang menemui penonton bermula 10 November pada pukul 10 malam tersebut, Ili atau nama sebenarnya, Khalisah Sulaiman berkata, By The Sea With Ili memaparkan kepelbagaian masakan berasaskan hidangan laut dari tiga negara iaitu Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Program By The Sea With Ili menampilkan bagaimana Ili mempelajari cara memasak makanan popular di setiap bandar yang dilawatinya seperti Hoi An, Vietnam; Phuket, Thailand dan Pulau Perhentian, Terengganu.

Kongsi ilmu

Menerusi program yang disiarkan sebanyak enam episod tersebut, Ili turut berkongsi tentang bagaimana inspirasi olahan gaya masakannya tercetus, sehingga ia sesuai dengan cita rasa dan selera masyarakat tempatan.

“Saya dan kru produksi menghabiskan masa selama 30 hari untuk menyiapkan penggambaran di semua lokasi. Sepanjang episod, saya akan membawa penonton menelusuri kawasan bandar dan kampung yang dilawati untuk melihat kepelbagaian masakan berasaskan hidupan laut,” ujarnya.

Hasil daripada jelajah tersebut, Ili akan menyajikan resipi-resipi mengikut cita rasanya dengan cara baharu tanpa mengubah terlalu banyak bahan yang digunakan. Pendekatan sebegitu dibuat sebagai tanda hormat terhadap menu asal dari semua tempat yang dilawati.

“Ketika di Vietnam, saya belajar satu perkara bahawa masyarakat di sana sangat sukakan makanan pedas dan menggunakan cili yang banyak dalam masakan mereka,” ujarnya ketika ditemui pada sesi demonstrasi memasak di The Cooking House, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi wanita yang cukup mesra dan peramah itu, sebagai seorang cef selebriti, dia mahu menjadikan setiap momen menarik yang dialaminya sewaktu menjelajah ke tempat orang sebagai sumber inspirasi dalam masakan seharian.

“Setiap lokasi dilawati mempunyai makanan tradisi yang menjadi jati diri sesebuah masyarakat. Sama seperti di negara kita, setiap makanan mempunyai cerita di sebaliknya.

“Jadi, selain berpeluang merasa makanan terbaik di setiap lokasi terpilih, program ini juga memaparkan bagaimana saya menyingkap kisah-kisah menarik di sebalik makanan tersebut,” ujar juara program Food Hero 2015 itu ceria.

Pengalaman baharu




Berbicara lanjut mengenai konsep program terbaharunya, cef berusia 31 tahun itu menjelaskan, ia sebuah paparan tentang keserasian dan sikap saling bergantungan antara manusia dengan alam sekeliling, terutamanya hidupan laut sebagai sumber makanan.

“Sebenarnya, manusia sangat bertuah kerana dapat hidup di mana sahaja kerana punca makanan ada dalam banyak bentuk, sama ada di darat atau lautan, haiwan atau tumbuhan.

“Jadi, apabila diberi peluang meneroka hidupan laut, saya sangat seronok kerana boleh memasaknya dengan pelbagai cara dengan gaya tersendiri sesuai dengan selera tempatan,” ujarnya.

Menceritakan pengalamannya mengendalikan program berkenaan, Ili berkata, biarpun kali pertama mengendalikan penggambaran di luar negara, dia mampu menghadam suasana dengan baik atas sikap kerjasama yang diberikan kru produksi.

Antara cabaran utama yang perlu dihadapi ialah menjalani penggambaran selama 30 hari tanpa henti, namun pengalaman tersebut disifatkan sebagai satu perkara baharu, sekali gus memberi pengajaran menarik buatnya.

Semasa penggambaran untuk episod pertama contohnya, Ili sempat meneroka tapak warisan dunia iaitu bandar Hoi An, Vietnam. Di situ, dia bertemu seorang nelayan berusia 51 tahun dan berpeluang memburu landak laut.

Antara masakan tempatan bandar Hoi An yang dipelajari Ili ialah hidangan periuk panas kerang pedas, siput pedas dengan serai dan herba serta wantan udang goreng dengan sos ketam.

Di Thailand pula, Ili mempelajari cara untuk menghasilkan bubu tradisional dan menemui anggur laut eksotik dengan bantuan seorang nelayan.

Latar belakang

Mendekati Ili secara lebih dekat, siapa sangka, di sebalik kehandalannya memasak pelbagai jenis juadah di kaca televisyen, wanita kacukan Cina, Sri Lanka dan Melayu itu merupakan seorang graduan dalam bidang perniagaan.

Bersandarkan minat mendalam, Ili bagaimanapun berjaya menguasai teknik masakan dan kebanyakannya mendapat tunjuk ajar daripada neneknya.

“Selepas tamat pengajian, saya banyak melakukan kerja kulinari sebelum mencuba kerja di sebuah restoran makanan yang menyajikan pelbagai menu berat di London.

“Disebabkan minat terhadap bidang ini, saya tidak menoleh ke belakang apabila peluang yang ada terhidang di depan mata,” tutupnya mesra.