Rekaan industri, minimalis taruhan Avere Suites

KEWUJUDAN pembahagi ruang membantu memisahkan tempat tidur dengan ruang tamu selain memberi lebih privasi kepada tetamu.


CELIK sahaja mata tersaji pemandangan Menara Kuala Lumpur yang tersergam indah berdiri di atas puncak Bukit Nanas. Jelas kelihatan dari salah sebuah unit studio Avere Suites, mercu tanda ibu negara itu semestinya menjadi antara daya tarikan pengunjung khususnya pelancong luar negara ke premis berkenaan.

Pun begitu, dekorasi tersendiri yang diketengahkan Avere Suites menjadi taruhan utama sehingga ia boleh dikatakan mampu berdiri sebaris dengan jenama hotel-hotel terkemuka di kawasan segi tiga emas itu.

Pengarah Avere Suites Enterprise, Eliayes Hamzah berkata, premis yang dijadikan rumah tamu itu menampilkan dekorasi berlainan dalam setiap unit yang ditawarkan.

“Kami menawarkan rekaan industri bagi kediaman dua bilik, moden kontemporari untuk kediaman satu bilik dan suntikan dekorasi minimalis bagi unit studio.

“Sentuhan dekorasi inilah yang menjadikan kami lain daripada lain kerana mana-mana pengunjung pasti berasa selesa seperti berada di kediaman sendiri,” katanya.

Terletak di bangunan Mercu Summer Suites, Kuala Lumpur, Avere Suites mendapat namanya daripada perkataan Latin ‘avere’ yang membawa maksud ‘untuk memiliki’.

“Di sini kami mempunyai keseluruhan 14 unit Avere Suites dengan enam buah daripadanya adalah studio, empat buah lagi merupakan unit satu bilik, manakala selebihnya unit dua bilik,” ujar Eliayes sambil memberitahu, ia mula beroperasi sejak November tahun lalu.


ELEMEN industri terus digarap menerusi penataan kerusi dan meja tinggi di ruang makan.


Sorok katil

Bercerita lanjut tentang konsep dekorasi, Eliayes berkata, unit studio yang berkeluasan 39 meter persegi ditata rias ringkas agar ruang sempit kelihatan lebih luas.

Menurutnya, unit tersebut diberi suntikan warna putih dengan kemasan simen pada salah satu bahagian dinding bagi mewujudkan feature wall yang bertindak sebagai titik tumpu ruang.

“Susun atur perabot juga sengaja diberi kelainan. Kalau ke hotel-hotel biasa, perkara pertama yang kita nampak sebaik pintu dibuka adalah katil tetapi di sini kami sorokkannya di belakang pembahagi ruang,” ujarnya.

Kewujudan pembahagi ruang itu bukan sahaja membantu memisahkan tempat tidur dengan ruang tamu malah secara tidak langsung memberi lebih privasi.

Mendapat sentuhan dekorasi daripada pasukan perunding hiasan dalaman Avere Suites Enterprise, unit satu bilik berkeluasan 51 meter persegi pula dihias dengan rekaan moden kontemporari.

Bagi unit dua bilik berkeluasan kira-kira 78.9 meter persegi, rekaan industri dengan tema warna putih, kelabu dan hitam menguasai dekorasi.

“Unit ini agak luas jadi untuk mengelakkan ia kelihatan terlalu kosong, kami sengaja memilih warna gelap untuk membuatkan ruang ini tampak sedikit kecil,” jelas Eliayes.


LAMPU mentol yang disambung menggunakan batang paip PVC memberi cita rasa industri kepada kediaman.


Trend semasa

Di ruang tamunya, dinding dengan palitan cat kelabu gelap bersama hiasan lampu unik daripada batang paip polivinil klorida (PVC) menyuntik kelainan. Kesenadaan terus dicipta menerusi penggunaan sofa, meja televisyen dan permaidani berwarna kelabu.

Menyentuh aspek pencahayaan, elemen industri terus dikekalkan dengan penggunaan lampu kuning yang dipancarkan dari perumah mentol yang digantung untuk menerangi setiap ruang.

Bagi bilik tidur pula, rona hitam mendominasi ruang dengan penataan warna tersebut pada langsir, katil, lampu tidur dan meja sisi.

Meskipun rona gelap itu sering dikaitkan dengan aura kesuraman, ia sedikit pun tidak kelihatan sedemikian, bahkan paduan nuansa hitam dan kelabu berjaya menyerlah nilai eksklusif kepada dekorasi unit berkenaan.

“Ini adalah antara unit paling laris di Avere Suites memandangkan konsep industri ini digemari ramai selain menepati trend semasa yang sering diguna pakai sejak akhir-akhir ini,” ujarnya.

Kesemua 14 buah unit di Avere Suites dilengkapi kemudahan seperti internet berkelajuan tinggi, televisyen, peti ais, mesin basuh, pendingin hawa, seterika, pemanas air, ketuhar gelombang mikro dan perkakas dapur.

Tambah Eliayes, selain pelancong solo dan bekeluarga, pihaknya juga menyasarkan golongan ekspatriat serta ahli korporat yang mengembara atas urusan perniagaan.

“Kebanyakan pelanggan kami mengembara selama berminggu-minggu lamanya, jadi sudah tentu mereka mahukan lokasi penginapan yang selesa dan berpatutan.

“Di sini, mereka bukan sahaja dapat berehat malah boleh beriadah sebagai pengisian lain sepanjang menginap di sini.

“Mereka boleh memanfaatkan masa senggang itu di kolam renang sambil menikmati pemandangan bangunan pencakar langit atau bersenam di gimnasium yang disediakan,” katanya.