Bo-Peng bukan naskhah komedi klise


PERTAMA kali bergandingan dalam sebuah filem, Nabil dan Wanna mengakui mudah untuk mencipta keserasian.


ASALNYA bekerja sebagai penghantar piza, namun kerana cinta, kedua-dua sahabat baik Bo dan Peng terjebak dengan sebuah penyiasatan untuk menyelidik identiti seorang wanita misteri.

Segalanya bermula apabila Peng jatuh cinta dengan seorang wanita misteri menerusi panggilan telefon. Bagaimanapun, disebabkan tidak pernah bersua muka, Peng merancang menyiasat identiti kekasihnya itu.

Sepanjang penyiasatan tersebut, pelbagai kisah dan kejadian lucu serta mendebarkan terjadi. Itu antara intipati sebuah filem komedi terbaharu terbitan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. berjudul Bo-Peng yang akan menjengah pawagam pada 22 Disember ini.

Filem arahan Helmi Yusof itu dibintangi pelakon handalan seperti Johan A’sari (Peng), Nabil Ahmad (Bo), Zulin Aziz (wanita misteri) dan Wanna Ali (Wanna).

Bertemu pada satu sesi fotografi baru-baru ini, Nabil mengakui biarpun karakter yang dibawanya tidak jauh berbeza daripada kebanyakan filem lakonan terdahulu, namun Bo-Peng tetap memiliki sisi berbeza.

“Agak jarang kita lihat filem komedi disadur dengan bermacam unsur lain seperti Bo-Peng. Istimewanya dalam filem ini kerana ia mengandungi beberapa babak aksi yang mendebarkan serta wujudnya watak psiko iaitu (Sofi Jikan).

“Lebih menarik, aksi berlawan dalam filem ini dilakukan sendiri oleh saya dan Johan,” ujar pengacara berusia 33 tahun itu mesra.

Walaupun mengambil masa sedikit lama untuk ditayangkan namun Nabil percaya bahawa filem tersebut akan memberi kepuasan tersendiri kepada peminat.

“Penggambaran filem ini dilakukan pada tahun lalu, iaitu sebelum saya berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah haji pada bulan September.

“Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan tetapi saya pasti hasilnya akan memuaskan hati penonton kerana Bo-Peng bukan sekadar cerita komedi tetapi banyak unsur menarik lain apabila ramai karakter khas diwujudkan dalam naskhah ini,” ujarnya teruja.

Sementara itu, menurut pelakon dan penyanyi Wanna Ali, dia teruja untuk menantikan produk akhir filem tersebut di panggung wayang biarpun kemunculannya dalam naskah berkenaan tidak terlalu kerap.

“Saya memegang watak sebagai Wanna, seorang wanita gedik yang tiba-tiba jatuh cinta dengan Bo kemudian berkahwin. Kalau diikutkan, perkembangan watak saya dalam filem ini tidaklah besar mana, sebab watak itu dimatikan dengan pengakhiran yang bahagia bersama suami.

“Walaupun tidak banyak babak melibatkan saya dalam filem ini tetapi Alhamdulillah, saya teruja dan berbangga kerana dapat bergandingan dengan ramai pelakon hebat.

“Kesempatan sebegini membuka peluang untuk saya menimba lebih banyak ilmu lakonan daripada pelakon senior,” ujar pelantun lagu Jika Kau Benar itu ceria.