MRT mula operasi hari ini

Najib bersama Tiong Lai (dua dari kiri) dan Syed Hamid (dua dari kanan) menaiki perkhidmatan MRT dari Stesen Kwasa Damansara ke Sungai Buloh semalam.


PETALING JAYA – Sistem pengangkutan awam di negara ini membuka satu lembaran baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan perasmian operasi perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa pertama semalam.

Perkhidmatan MRT fasa pertama di negara itu menghubungkan Sungai Buloh, Selangor ke Semantan, Kuala Lumpur melibatkan laluan sepanjang 21 kilometer (km) dengan 12 buah stesen.

Stesen tersebut ialah di Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr. Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Pada majlis perasmian itu, Perdana Menteri turut mengumumkan berita gembira bahawa pengendali MRT, Rapid Rail Sdn. Bhd., anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) memberikan perkhidmatan MRT dan bas pengantara percuma di stesen selama sebulan bermula hari ini sehingga 16 Januari depan.

“Ini sebagai hadiah tahun baru kepada rakyat dan memberikan mereka peluang untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien,” kata Najib ketika merasmikan pelancaran operasi fasa pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di Stesen Kwasa Damansara di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.