Graf cemerlang Janna Nick



Dunia Janna Nick sebagai seri panggung selama empat tahun berlangsung sederhana. Dua puluh empat jam dalam kehidupannya dihabiskan dengan rutin biasa, ke set penggambaran dan melayani keinginannya pada nasi kandar.

Pada lebihan waktu yang ada, pelakon berwajah comel itu akan muncul glamor dengan gaun meleret di majlis-majlis yang berkehendakkannya menjadi tetamu dan juga fotografi bagi majalah atau surat khabar.

Hakikatnya dia lebih suka bergaya santai dengan jean, kardigan dan mengenakan topi tanpa secalit solekan di wajah. Namun, mula ada suara-suara nakal mempertikaikan imej yang dibawa pelakon yang terkenal dengan drama Syurga Nur itu.

“Saya jenis tidak kisah orang cakap saya selekeh atau serabai. Kalau kawan-kawan yang sudah kenal saya lama, imej berambut pendek inilah diri sebenar saya,” ujar Janna membuka bicara.

Selesa menggayakan rambut pendek, Janna menganggap penampilannya dulu yang berambut panjang adalah semata-mata demi memenuhi kehendak penerbit drama.

“Sebagai artis saya kena ada identiti sendiri. Masa baru menapak dalam industri lakonan dulu, memang saya kena menyimpan rambut panjang demi memenuhi kehendak penerbit-penerbit drama. Namun, bila sudah ada nama saya fikir tiada masalah untuk saya berambut pendek. Lagipun saya selesa dengan imej begini,” jelasnya seraya menghambur tawa.

Dua tahun membina nama sebagai pelakon, mudah sahaja dia membeli jiwa penonton dengan lakonannya sebagai Nur Jannah dalam drama Syurga Nur pada 2014. Keserasiannya berlakon di samping Saharul Ridzwan dalam Kau Aku Kita pula membuatkan nama Janna berada dalam kelas tersendiri dengan jumlah pengikut sebanyak dua juta di laman Instagram tika ini.

Enggan hipokrit

Ironinya, dalam langkahnya itu, pelakon berusia 21 tahun itu dihimpit episod sensasi termasuk kisah perseteruannya dengan pelakon Ruhainies dan sikap acuh tidak acuh dengan seorang pengacara berpengalaman.


Janna mengaku seorang yang lantang jika ada perkara yang tidak kena di matanya.


Di teluk rasanya, dia mahu melabuhkan segala sensasi. Desis hatinya, layar hidup perlu diteruskan meski episod hitam itu akan sentiasa melingkari portfolio seninya. Atas gelojak rasa dan emosi yang pernah tumpah, Janna kini lebih serius mencorak perjalanan seninya.

“Kalau saya rasa benda itu tidak patut dan tidak sesuai dengan diri, saya akan bersuara. Ya, saya akui seorang yang lantang. Lebih-lebih lagi kalau melibatkan maruah saya dan keluarga.

“Namun, pada masa sama, saya akan pandang pada perspektif yang lebih luas. Kalau situasi menjadi lebih keruh jika saya bersuara, saya akan berdiam diri. Tetapi kalau saya rasa benda itu memakan diri saya akan bersuara,” ujar Janna berterus terang jauh sekali bersikap hipokrit.

Maka, bila ada yang melabelnya sudah berubah, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu segera menegaskan, dia sama sahaja seperti dulu.

“Saya sama sahaja dari dulu hingga sekarang, cuma lebih serius. Saya sudah berada di kedudukan yang senang untuk jatuh. Maksudnya, di tahap yang semua orang cuba menarik saya untuk jatuh.

“Disebabkan itu saya kena menjadi lebih serius. Saya tidak nampak perubahan saya itu ke arah negatif. Apa yang saya nampak, sikap serius itu mendorong kepada perjalanan karier yang berpanjangan,” ujarnya yang mengaku sangat menghargai karier lakonannya.

Ashraf Muslim

Atas sebab itu, skrip-skrip yang terhidang di depan mata dibaca dan ditelaah Janna demi sebuah graf lakonan yang bermutu. Itu satu keharusan buat pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah itu setiap kali menerima tawaran berlakon.


Janna Nick bakal muncul dalam drama terbaharu yang berjudul Biar Aku Jadi Penunggu di samping pelakon Ashraf Muslim.


“Untuk menjadi pelakon yang bagus, tidak kira sama ada 100 helai skrip diberikan, memang kena baca. Saya memang menitikberatkan pembacaan skrip dan faham jalan cerita sebelum masuk set penggambaran.

“Sebabnya, saya sangat menghargai seni lakonan dan sayangkan pekerjaan ini. Maka, segala peluang atau tawaran yang datang saya tidak mahu buat cincai, tetapi cuba berikan yang terbaik di setiap drama lakonan saya,” ujarnya yang bakal muncul menerusi drama Biar Aku Jadi Penunggu, di samping Ashraf Muslim, untuk slot Akasia, di TV3.

Menyifatkan gandingannya bersama Ashraf menghadirkan tali keserasian kerana pelakon itu seorang yang mudah diajak berbincang, namun Janna juga tidak menolak komen-komen nakal netizen yang mengatakan dirinya bakal menjadi suri hati ketiga dalam hidup pelakon yang mempunyai dua isteri itu.

“Bila kami melakukan promosi untuk drama tersebut, ada yang usik-usik mengatakan saya bakal jadi isteri nombor tiga. Sedangkan kami profesional berlakon dan juga mempromosikan drama itu. Sejujurnya mudah untuk kami membina keserasian kerana Ashraf jenis yang selamba dan tidak berlagak alim. Bahkan, isteri-isteri dia juga memahami kerja suaminya. Kami di set penggambaran Biar Aku Jadi Penunggu sudah seperti keluarga kerana hampir empat bulan bersama,” ujarnya mengenai drama yang bakal ditayangkan pada 26 Disember itu.