Rekod keampuhan peribadi Siti Nurhaliza



‘CINTA dirgahayu, cinta kau dan aku.’ Seperti bait lirik lagu Dirgahayu yang mengharapkan sebuah kelangsungan cinta berpanjangan, begitulah juga pengharapan besar dua penyanyinya, Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir dalam kemudi karier seni masing-masing.

Cinta Siti dan Faizal terhadap muzik tidak pernah bernoktah. Usaha demi usaha terus dilakukan oleh penyanyi yang kedua-duanya mewakili lapangan muzik berbeza itu demi melihat industri hiburan serta karya nukilan anak tempatan kekal cemerlang di mata khalayak.

Buktinya, dua nama yang sering berkolaborasi menerusi lagu dan konsert itu terus melakar sejarah apabila berjaya mengungguli Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam Ahad lalu.

Memecahkan rekod peribadi sepanjang 20 tahun bergelar penyanyi, Siti kekal gemilang apabila diumumkan sebagai penerima anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) untuk kali yang ke-13.

Mengakui bersyukur dengan pengiktirafan tersebut, Siti, 37, menyifatkan kemenangan menerusi lagu Menatap Dalam Mimpi sebagai lanjutan daripada usaha keras beberapa individu yang turut menyokong karier nyanyiannya.

Ia termasuk keprihatinan komposer dan penerbit, Aubrey Suwito yang menuntun dinamik vokalnya dalam setiap karya agar kedengaran sempurna.

“Tidak bermakna produser lain kurang bagus, tetapi saya sangat selesa bekerja dengan Aubrey kerana dia faham keupayaan saya sebagai penyanyi,” katanya.

Selain kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Siti turut menerima beberapa pengiktirafan lain seperti Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Menatap Dalam Mimpi), Lagu Nasyid Terbaik (Mikraj Cinta) dan Penyanyi Pilihan Malaysia.


REKOD PERIBADI. Siti Nurhaliza memecah rekod peribadi sepanjang 20 tahun bergelar penyanyi apabila menjadi penerima anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) untuk kali yang ke-13 dalam AIM22 dan Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Mikraj Cinta.


Menambah manis, Siti turut menerima anugerah bagi kategori utama iaitu Album Terbaik menerusi album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged (Unplugged) pada acara berprestij tersebut.

Kejayaan berkenaan telah meletakkan beliau sebagai penyanyi pertama yang mengungguli kategori Album Terbaik AIM sebanyak lapan kali dengan tiga daripadanya adalah album rakaman secara langsung.

Mengulas mengenai pemilihan album Unplugged sebagai album terbaik pada AIM kali ini, Siti berpendapat, sebuah album yang dirakam secara langsung lebih menonjolkan kredibiliti penyanyi.

Lebih istimewa, album tersebut turut menyelitkan momen terakhir beliau bersama mentornya, Allahyarham Adnan Abu Hassan.

“Beliau merupakan insan pertama yang nampak bakat saya sebagai penyanyi. Sejujurnya, saya sangat terharu kerana dia dalam tempoh 20 tahun kemudian, kami berkongsi pentas dan beliau sudi bermain piano bagi mengiringi persembahan saya,” katanya.

Ditanya apakah harapan untuk 20 tahun mendatang, jawab Siti: “Dalam tempoh itu, usia saya sekitar 57 tahun. Saya tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku, tetapi jika diberi kesihatan dan kekuatan, saya akan terus menyanyi.

“Kemungkinan juga, saya akan sibuk dengan bisnes dan bekerja di belakang tabir. Namun, tidak kira apa status karier ketika itu, saya tetap di sini, membantu melestarikan industri muzik negara,” ujarnya.


KEMBALI. Menebus kehilangannya selama ini, Faizal Tahir kembali menjulang trofi Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Sejati.


Percubaan

Seperti Siti yang meletakkan jiwa, raga dan seluruh kehidupannya terhadap muzik, Faizal Tahir juga berkongsi hiperbola yang serupa.

Menurut Faizal, 38, biarpun berjaya merangkul anugerah Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi karya ciptaannya, Sejati, ia sedikit pun tidak meletakkan jurang perbezaan antara karya tersebut dengan karya eksperimentalnya sebelum ini.

Lagu-lagu yang dipetik daripada album ketiganya, Faizal Tahir seperti Vortex dan Mati sebelum ini gagal memenangi hati pendengar mahupun sidang juri majlis-majlis anugerah.

“Biarpun menerima kemenangan berganda, saya tidak pernah mengklasifikasikan karya saya mengikut skala komersial. Benar, saya sering mencuba sesuatu perkara baharu dalam berkarya tetapi Sejati juga sebuah percubaan yang berisiko. Saya tidak tahu reaksi umum terhadap lagu ini sebelum ia diterbitkan,” tutur Faizal yang sebelum ini pernah memenangi anugerah bagi kategori Album Terbaik pada AIM16 dan AIM18 masing-masing menerusi album Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin.

Ditebak dengan kemungkinan album yang menjadi perumah buat Sejati iaitu Anatomi bakal mengulang sejarah dua album terdahulu, penghibur yang mula mencipta nama menerusi program One In A Million itu tersenyum lebar.

“Saya menyanyi dan menulis muzik dengan hati. Justeru, anugerah terbesar saya setakat ini adalah peluang untuk terus menggubah lagu dan berkongsi karya dengan masyarakat.

“Trofi hanyalah bonus. Tanpa sebarang pengiktirafan sekalipun, ia tetap tidak memadamkan semangat dan keghairahan saya untuk terus menghasilkan muzik,” ujar Faizal.


KEMENANGAN SULUNG. Kumpulan De Fam menjulang trofi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu pada AIM22 membasuh skeptikal ramai yang memandang sinis terhadap keupayaan mereka selama ini.


Kualiti

Selain Siti dan Faizal, AIM22 turut menyaksikan kemenangan sulung bagi beberapa pendatang baharu. Antaranya, Syamel yang menerima anugerah Artis Baru Terbaik, De Fam (Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu) dan vokalis Akim & The Majistret (Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu - Lelaki).

Meneruskan tradisi, malam berprestij tersebut turut menyampaikan Anugerah Sri Wirama dan Anugerah Kembara edisi tahun ini yang diberikan kepada Datuk Sheila Majid dan Yuna.

Bercakap mengenai dua anugerah khas tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22. Rosmin Hashim berkata, pemilihan Sheila dan Yuna dibuat berdasarkan pencapaian mereka mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

“Sepanjang 30 tahun Sheila Majid bergelar penyanyi, banyak kejayaan yang telah dicapai beliau begitu juga dengan Yuna. Tiada siapa yang boleh menyangkal pencapaiannya sekitar dua tahun kebelakangan ini dalam mengukir nama ke peringkat dunia,” katanya yang memberi jaminan bahawa AIM akan kembali diadakan secara tahunan bermula tahun depan.

Melihat secara keseluruhan, AIM yang kembali berlangsung selepas dua tahun direhatkan tersebut tampil dalam atmosfera sederhana, termasuklah percaturan meletakkan Adibah Noor dan manusia paling lucu di dunia, Harith Iskander selaku pengacara. Mereka sekadar biasa-biasa dan tidak memberi impak di pentas AIM22.

Walaupun diangkat sebagai acara tahunan muzik terbesar, AIM masih gagal menarik kebanjiran perhatian penggiat muzik tanah air bagi mengisi kerusi tetamu. Sokongan daripada peminat juga kurang berbanding penganjuran anugerah tersebut sekitar 10 tahun lalu.

Daripada segi teknikal pula, AIM22 seperti terlupa memenuhi keperluan media bertugas apabila skrin televisyen yang diletakkan di belakang pentas tidak berfungsi sekitar 40 minit pertama acara berlangsung.

Di sebalik semua itu, kualiti pemenang pada tahun ini bagaimanapun berjaya menutup kelemahan-kelemahan tersebut. Penganjuran AIM22 sekali gus memberi bayangan bahawa industri muzik kekal hidup dengan variasi bakat dan karya penggiat muzik tempatan.