Ufeel Prime telefon pintar kelas pertengahan


BUAT masa ini, Ufeel Prime hanya menawarkan warna antrasit dan emas untuk pasaran Malaysia.


MENGHAMPIRI usia setahun bertapak dalam pasaran Malaysia, jenama dari Perancis, Wiko Mobile baru-baru ini memperkenalkan Ufeel Prime susulan pelancaran siri Ufeel dan Ufeel Lite pada Jun lalu.

Peranti itu tampil dengan reka bentuk elegan dan ciri-ciri keselamatan yang ditambah baik untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Dalam hal ini, model itu dibina sedikit melengkung dan muat-muat di dalam genggaman serta kawalan operasi selesa dengan sebelah tangan.

Ufeel Prime menawarkan peningkatan spesifikasi dan beberapa fungsi baharu berbanding kedua-dua model sebelum ini dan boleh dipertimbangkan sebagai telefon pintar kelas pertengahan.

Paparan skrin

Dengan paparan skrin berukuran 5.0 inci, ia dilengkapi resolusi tinggi 1920x1080 piksel berbanding 1280x720 piksel sebelum ini.

Kadar kecerahan sehingga 460 nit sesuai untuk penggunaan di luar bangunan terutamanya pada waktu siang kerana dilengkapi perlindungan laminat penuh untuk memastikan warna optimum.

Ia juga mempunyai teknologi paparan CABC secara automatik untuk menyesuaikan kecerahan bagi kandungan tontonan berbeza yang menyumbang kepada penjimatan kuasa.

Ciri-ciri itu sesuai untuk pengguna yang gemar menonton video dengan kerap atau berkongsi imej bersama pengguna lain.

Selain itu, teknologi HD PS LCD disokong cip pemproses Octa-Core Qualcomm Snapdragon 430 dengan 4GB RAM membolehkan pengalaman menonton filem dan aplikasi permainan dinikmati dengan lancar serta mudah.


TEKNOLOGI HD IPS LCD membolehkan aktiviti permainan 3D dinikmati dengan lancar.


Kamera dan rakaman

Ufeel Prime memiliki lensa utama 13 mega piksel (MP) Sony IMX 258 dengan bantuan kilatan lampu diod pemancar cahaya (LED) manakala kamera hadapan yang beresolusi 8MP turut dibekalkan flash LED, sekali gus sesuai untuk penggambaran selfie ketika suasana cahaya rendah.

Ia juga dibekalkan penapis optik biru untuk menghasilkan imej lebih jernih dengan teduhan warna lebih baik dan tetapan boleh laras seperti pengesanan auto fokus, geo tagging, sentuhan fokus serta pengesanan wajah.

Tidak hanya mementingkan kualiti foto, ia juga mampu menghasilkan rakaman video dengan kualiti definisi tinggi (HD) setara dengan 1,080 piksel atau 30 bingkai sesaat.

Pengimbas cap jari

Ia turut menawarkan fungsi pengimbas cap jari untuk pengguna yang mementingkan aspek keselamatan gajet peribadi daripada diakses individu lain.

Kaedah perlindungan itu boleh digunakan untuk akses lima kandungan berbeza menggunakan lima jari berasingan bagi capaian seperti fail galeri dan nombor telefon tertentu terpulang kepada pilihan pengguna.

Bagaimanapun, kadangkala ia tidak dapat mengambil cap jari pada orientasi atau kedudukan berbeza tetapi prestasinya masih bagus kerana sensor cepat bertindak untuk mengimbas walaupun peranti berada dalam keadaan skrin terkunci.