Setem istimewa wira Paralimpik


KHAIRY (dua dari kiri) bersama Ziyad (kiri), Ridzuan (tiga dari kiri) dan Abdul Latif (dua dari kanan) ketika pelancaran setem wira Paralimpik negara keluaran Pos Malaysia di Kuala Lumpur semalam.


POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) semalam mengeluarkan koleksi setem ‘Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016’ sempena meraikan pencapaian wirawan sukan negara pada temasya tersebut.

Setem tersebut memaparkan wajah atlet acara 100m T36, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) meraikan detik memenangi pingat emas Paralimpik 2016 di Brazil pada September lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ia menjadi penghormatan terbesar yang diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Pos Malaysia untuk memberi pengecualian meletakkan wajah atlet yang telah mengharumkan nama negara.

Menurut Khairy, ini kerana peraturan sebelum ini hanya membenarkan wajah-wajah ketua negara dan Raja-raja Melayu dicetak di atas setem.

“Sebenarnya, peraturan tidak membenarkan kita meletakkan wajah sebenar kecuali ketua negara serta Raja Melayu, jadi ia merupakan suatu penghormatan yang amat besar diberikan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan koleksi setem berkenaan di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak kerana telah memberi pengecualian supaya wajah atlet dapat diletakkan di atas setem,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ziyad melahirkan perasaan terharu dan berterima kasih atas penghormatan yang diberikan.

“Saya kagum melihat setem berkenaan kerana hasilnya amat cantik dan reka bentuk yang memukau. Ia suatu penghargaan buat kami bertiga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy menjelaskan, pembinaan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan bagi acara berbasikal trek untuk Sukan SEA tahun depan berjalan lancar.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dijangka akan menyerahkan kunci velodrom berkenaan selewat-lewatnya pada Mac depan,” katanya. – Bernama