Karya sulung refleksi diri Che E


CHE E menunjukkan karya sulungnya Nasi Lemak Kacang Lebih yang diilhamkan daripada pengalamannya bergelar motivator lebih sedekad lalu.


JIKA diikutkan, lelaki itu sudah lama kepingin untuk menulis buku sendiri mengenai pengalamannya selaku penceramah motivasi.

Manakan tidak, sejak menubuhkan AsasInsan Resourses & Training pada 2004, Muhammad Khairul Fuad Che Ab. Razak sudah berpuluh, malah mungkin beratus kali mengadakan ceramah motivasi di seluruh negara.

Rata-rata peserta programnya pula pelbagai, ada pelajar sekolah, pelajar universiti termasuk mereka yang sudah berkerjaya.

“Sebelum ini, setiap kali selepas program atau ceramah ramai peserta bertanya kenapa saya belum mempunyai buku sendiri.

“Lazimnya, saya berikan alasan belum bersedia. Bukan tidak mahu menulis, namun ketika itu saya merasakan pengalaman di dalam bidang ini masih belum mencukupi.

“Hanya tahun ini, saya rasa bersedia untuk menulis buku sehingga lahirnya Nasi Lemak Kacang Lebih,” katanya yang mesra disapa Che E, 40.

Berasal dari Sandakan, Sabah, Che E berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan buku tersebut yang diterbitkan pertengahan tahun lalu.

Katanya, pada peringkat awal dia agak kekok memandangkan hanya berpengalaman menulis artikel-artikel pendek yang disiarkan dalam pelbagai penerbitan termasuk akhbar.

“Disebabkan itu, saya banyak bertanya kepada mereka yang arif di dalam bidang ini, merujuk buku-buku yang berada di pasaran serta di internet untuk mendapatkan tip dan panduan menulis buku.

“Salah satu tip yang saya gunakan ialah menulis apa sahaja terlintas di kepala tanpa perlu berfikir mengenai kesalahan ejaan, tatabahasa atau laras bahasa yang digunakan bagi mengelak idea itu terhenti atau tersekat-sekat

“Saya praktikkan tip tersebut dan dan Alhamdulillah saya berjaya menyiapkan buku ini mengikut tempoh yang ditetapkan,” ujar bapa kepada empat cahaya mata itu.

Tambah Che E, biarpun begitu tidak bermakna ketiga-tiga aspek tersebut, tidak dititikberatkan di dalam buku tersebut cuma tanggungjawab tersebut diserahkan kepada penerbit yang mempunyai pengalaman dan kepakaran.

Potensi diri

“Saya akui pengalaman pertama menulis buku ini sangat mengujakan kerana selama ini hanya berpeluang membaca buku atau karya penulis lain.

“Menariknya, saya terlibat secara keseluruhan bagi buku ini, jadi apa jua hasilnya merupakan refleksi diri dan kerjaya saya sebagai motivator lebih dari satu dekad,” katanya yang merupakan lulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bercerita mengenai kandungan buku setebal 145 halaman itu, Che E berkata, ia lebih mengajak seseorang itu untuk meneroka potensi diri sebagai permulaan dalam mencari kebahagiaan dalam kehidupan mendatang.

Ini kerana di dalam diri terletaknya masa depan dan seseorang itu perlu seronok menjadi diri mereka sendiri untuk mengejar apa yang diimpikan.

Secara keseluruhan, katanya, buku itu membantu seseorang membina tahap diri yang tinggi, seperti harga diri, tabiat diri, ketuhanan, kekayaan, kepentingan masa dan perhubungan.

“Buku ini disusun mengikut keperluan pembaca sama ada mahu membacanya dari awal atau membaca setiap topik atau subtopik yang berkaitan sahaja.

“Misalnya, jika ada pembaca berhasrat untuk melakukan perubahan diri, mereka digalakkan membaca topik ketujuh iaitu Anda, Berubah Anda Bahagia kerana ia akan membentuk perspektif dengan lebih jelas tentang langkah perubahan diri.

“Selain itu, jika pembaca sedang mencari idea untuk menambah pendapatan boleh terus membaca topik Kekayaan Bermula Di Sini,” katanya.

Che E memberitahu, dia menggunakan bahasa mudah dan santai bagi memudahkan pemahaman pembaca di samping turut menyertakan pesanan daripada al-Quran dan hadis, kalangan ilmuan dan ahli akademik untuk merangsang minda.

Selain itu, terdapat juga pelbagai ilustrasi, aktiviti dan permainan yang ditawarkan kepada pembaca untuk mengelak mereka bosan.