Klimaks kegilaan 7 Hari Mencintaiku



ENTAH kaedah lakonan jenis apakah yang digunakan oleh pasangan pelakon, Shukri Yahaya dan Siti Saleha sehingga mampu menyihir jiwa setiap penonton yang menyaksikan drama bersiri 7 Hari Mencintaiku sejak disiarkan pada 7 November lalu.

Seperti tercandu dek rentan egoistik watak Mia Adriana lakonan Saleha yang seringkali meruntun ketabahan suaminya, Khuzairi (Shukri), drama terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. tersebut cemerlang memaku khalayak sehingga berjaya mencapai 3.3 juta tontonan setiap kali episod baharunya ditayangkan.

Meminta pandangan Shukri mengenai kegilaan luar biasa audiens terhadap drama bersiri tersebut, pelakon berusia 28 tahun itu menyifatkan gandingan pelakon lain sebagai nilai tambah kepada 7 Hari Mencintaiku.

“Kebiasaannya, fokus utama bagi setiap drama akan tertumpu pada watak hero dan heroin. Sudah menjadi lumrah, setiap kali drama baharu mula ditayangkan, khalayak hanya akan bercakap mengenai dua tonggak utama itu sahaja.

“Namun, menerusi 7 Hari Mencintaiku, orang ramai bercakap mengenai semua watak yang terlibat. Saban hari, ada sahaja rentetan daripada setiap babak akan dibincangkan oleh penonton. Hal ini membuktikan mutu para pelakon lain turut mencetuskan daya penarik melalui gaya lakonan masing-masing,” katanya.

Ulasan Shukri mengenai kredibiliti barisan pelakon yang terlibat ada betulnya. Selain karakter Mia dan Khuzairi, beberapa watak antagonis yang diketengahkan dalam drama 28 episod itu juga mendapat perhatian daripada penonton.

Sebagai contoh, lakonan bersahaja Liza Abdullah dalam membawakan watak antagonis bernama Mak Leha cukup mudah membenihkan rasa benci penonton, begitu juga Faye Kusairi dalam menghidupkan karakter Syakilla.


Bergandingan buat kali ketiga selepas drama bersiri Asmara Luna dan Ruby, penyatuan Shukri dan Saleha dalam 7 Hari Mencintaiku meledakkan fenomena bukan hanya disebabkan lakonan mereka bahkan kekuatan skrip dan penceritaan.


Watak kanak-kanak lembam lakonan Mohd. Ariff, iaitu Buntat yang mati semasa pergaduhan antara Khalil (lakonan Ungku Haris) dan Mia juga mendapat perhatian umum sehingga mencetuskan viral di internet.

Tidak meletakkan sebarang harapan sewaktu mula-mula menerima skrip daripada pihak penerbit, Shukri berkata, cita rasa penonton pada masa kini, khususnya penggemar drama bersiri sangat sukar ditebak.

“Drama 7 Hari Mencintaiku merupakan sebuah naskhah yang sangat berat. Secara kasar, ia sangat bertentangan dengan drama bersiri jenis santai lain yang cukup popular sekarang.

“Pada mulanya, saya agak risau jika drama ini terlalu sukar dihadam khalayak. Namun, selepas ditayangkan, sambutan penonton dilihat cukup positif. Alhamdulillah, reaksi positif tersebut kekal sepanjang ia ditayangkan hingga hari ini,” jelas Shukri yang mengakui penat kerana terpaksa bermain dengan emosi sewaktu sesi penggambaran.

Melanjutkan bicara mengenai pengalamannya membawakan watak Khuzairi, Shukri berkata, ia tidak banyak beza dengan cara penjiwaan karakter yang dilakukan sebelum ini.

Cuma, teknik penghayatan lebih diperkemaskan agar gaya persembahan dalam naskhah arahan Jamal Khan itu tidak kelihatan serupa dengan watak-watak hero yang digalas terdahulu.

“Saya tidak mahu dilihat sama seperti watak-watak yang pernah dibawa dahulu.Nanti, ada pula yang mengatakan saya tidak mampu berlakon pelbagai watak pula,” ujarnya dalam nada berseloroh.

Bercerita mengenai perkembangan terkini, Shukri yang baru sahaja menimang cahaya mata pertamanya, Aaira Ameena pada bulan Ogos lalu bakal melalui fasa sibuk pada tahun hadapan.

“Ada beberapa projek yang bakal dijayakan dan sejujurnya, saya agak sibuk sehingga sekitar pertengahan 2017.

“Namun, sesibuk mana pun jadual, masa dengan anak tetap menjadi keutamaan,” katanya yang baru sahaja pulang daripada bercuti bersama anak dan isterinya, Tya Adnan dari Cameron Highlands, Pahang semalam.

Dialog

Sementara itu, Saleha pula berpendapat, rantaian dialog sinikal yang tajam hasil garapan penulis skripnya, PGRS Team, Rozie Rashid dan Ainaa Hanez itu merupakan salah satu faktor mengapa drama 7 Hari Mencintaiku cukup kuat membekas di kotak fikiran penonton.




“Dialog ditulis oleh penulis skrip dengan gaya yang sangat sinis, sama seperti perbualan harian kita.

“Secara tidak langsung, ia membantu saya ketika berada di hadapan kamera kerana dengan lontaran dialog sahaja sudah cukup kuat untuk memperkenalkan watak Mia sebagai wanita biadab,” ujar Saleha yang sebelum ini terkenal dengan lakonannya menerusi naskhah-naskhah berat.

Mengulas mengenai watak Mia Adriana, Saleha berkata, dia berasa agak gentar sewaktu menerima skrip berkenaan kerana karakter anak orang kaya tersebut sungguh bertentangan dengan gaya sopan santun wanita Melayu.

“Saya takut kebiadaban Mia menerusi layar kaca memberi kesan secara tidak langsung kepada saya. Sebelum ini, ramai pelakon dibenci kerana watak jahat yang dibawakan.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami semua itu. Malah, ramai yang memuji kebolehan saya membawakan watak tersebut tanpa kelihatan canggung,” katanya.

Terlanjur bicara mengenai keberkesanan lakonan yang dipersembahkan oleh adik kepada Sam Bunkface itu, rata-rata penonton dilihat memberikan pujian terhadap peningkatan mutu lakonannya menerusi watak Mia Adriana.

“Sejujurnya, saya gembira mendengar maklum balas positif daripada penonton.

“Segala penat lelah ketika berada di lokasi penggambaran terbayar apabila membaca atau menerima pujian daripada penonton,” ujar Saleha yang turut menerima pujian menggunung daripada bapanya.

Berpindah mengenai topik keserasian, pemilik nama lengkap Siti Saleha Mohd Baharum, 26, itu meluahkan rasa senang hatinya sewaktu bekerjasama dengan Shukri dalam 7 Hari Mencintaiku.

“Saya mengenali Shukri sekitar empat tahun lalu. Kami pernah bergandingan bersama dalam drama Ruby dan Asmara Luna.

“Dia sangat profesional sewaktu sedang bekerja dan saya sendiri berasa sungguh bangga apabila menyaksikan peningkatan dirinya sebagai seorang pelakon dalam tempoh waktu yang sangat singkat,” katanya lagi.

Ditanya adakah naskhah berat masih mempunyai pengikut dan mampu bersaing dengan naskhah lain, respons Saleha: “Masa depan drama-drama bertema berat masih ada.

“Cuma, para pelakon perlu bijak memilih drama yang ingin dilakonkan agar watak-watak yang digalas tidak berada dalam satu jalur serupa,” tutup Saleha.