Perisian komputer bantu siasatan forensik kandungan digital



PADA bulan Jun lalu, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menayangkan kelibat suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rakaman itu merupakan antara bukti penting yang dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek-suspek terlibat, seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Menyorot pula kisah yang berlaku kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dua tahun lalu, satu rakaman berkaitan skandal rasuah didakwa suara beliau telah disebarkan di YouTube.

Begitupun, rakaman yang muncul selang dua hari selepas parti yang diwakili Erdogan mula berkempen untuk satu pilihan raya tempatan itu disahkan palsu dan didakwa bertujuan menggulingkan beliau.

Persoalannya, apakah cara untuk mengesahkan maklumat berbentuk digital yang diketengahkan diambil daripada sumber sahih tanpa dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab?

Timbalan Dekan (Ijazah Dasar) Fakulti Sains Komputer Teknologi Maklumat Universiti Malaya, Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata, bahan digital semakin kerap digunakan di mahkamah sebagai cara untuk mengaitkan suspek dengan jenayah yang dilakukan.

Lantaran itu, sejak tahun 2010, beliau mengetuai penyelidikan bagi membangunkan sebuah perisian yang dapat membantu bidang penyiasatan forensik digital mengetahui sama ada bukti yang diperoleh itu boleh dipercayai atau tidak.

“Kewujudan pelbagai perisian dan alat menyunting kandungan digital yang mudah dikendali menyebabkan tugas ini sangat senang dilakukan.

“Bahan yang dipalsukan boleh digunakan untuk memberi gambaran yang salah tentang sesuatu kes atau untuk meningkatkan imej negatif mahupun positif seseorang,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Inovasi itu terbahagi kepada tiga modul iaitu AINQUIRE yang digunakan dalam analisa kandungan imej, AUDINQUIRE untuk bahan berbentuk audio dan GSCEENQUIRE khusus bagi video.

Ainuddin menjelaskan, bagi AINQUIRE dan AUDINQUIRE, objektif penciptaan kedua-dua perisian itu adalah memfokuskan pengesahan identifikasi dan sumber peranti yang digunakan.


AINUDDIN WAHID (tengah) menunjukkan demonstrasi penggunaan perisian teknologi forensik di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tiga peringkat

Katanya, hasil analisis mampu memadankan kandungan imej atau audio dengan peranti digital yang digunakan sama ada kamera, telefon pintar, komputer, alat pengimbas ataupun mesin cetak.

Ini kerana, setiap peranti mempunyai ciri-ciri unik tersendiri tanpa mengira adakah ia model peranti daripada pengilang yang sama ataupun model pengilang berlainan.

“Dalam proses mengambil gambar menggunakan kamera digital, terdapat tiga peringkat yang perlu diperhatikan iaitu lensa, sensor yang mengesan warna bagi setiap piksel dan pemprosesan imej terakhir kepada format tertentu seperti Kumpulan Pakar Fotografi Bergabung (JPEG).

Beliau berkata, setiap peringkat itu akan menghasilkan artifak berbeza pada imej akhir.

“Melalui kepintaran buatan ini, AINQUIRE mampu mengekstrak 72 ciri daripada imej JPEG yang diimbas seterusnya mengesan paten artifak berbeza bagi mengenal pasti daripada platform atau peranti apa ia dihasilkan,” katanya.

Tambahnya, selain mampu memadankan imej asal dengan peranti yang menghasilkan, ia juga dapat melakukan fungsi itu biarpun imej tersebut telah diubah meta datanya, disunting menggunakan perisian grafik atau dimampatkan failnya.

“Kami masih boleh mengesan kelainan pola itu walaupun ia adalah imej yang diperoleh daripada laman sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp atau seumpamanya.

“Menerusi medium itu, kami juga boleh mengenal pasti sama ada imej yang dianalisis telah diubah suai atau ditokok tambah,” katanya.

Katanya, bagi siasatan kandungan berbentuk audio, AUDINQUIRE mempunyai kebolehan mengekstrak karakter daripada audio yang dianalisis untuk tujuan identifikasi dan pengelasan gelombang bunyi yang dihasilkan


GAMBAR menunjukkan kronologi proses analisa imej dengan bahagian yang diubah suai ditunjukkan pada imej terakhir.


Gelombang

Menurutnya, setiap peranti yang menghasilkan audio, sama ada menggunakan kuasa bateri atau tenaga elektrik arus terus, ia mempunyai gelombang frekuensi rangkaian elektrik (ENF) yang berlainan.

“Jika terdapat unsur percampuran gelombang ENF yang berbeza dalam sampel audio yang dianalisis, kemungkinan besar ia telah disunting menggunakan perisian tertentu.

“Dalam analisis audio juga, kami boleh mendapatkan gambaran kasar tempat kejadian jenayah dan kedudukan individu yang bercakap berdasarkan jarak lontaran suara, nada tinggi rendah, jauh dekat dan seumpamanya,” katanya.

Mendapat tauliah selaku Penyiasat Forensik Penggodaman Komputer (CHFI), Ainuddin Wahid berkata, perkara sedemikian dapat meningkatkan kredibiliti bukti yang diketengahkan, sekali gus memberi keadilan kepada mereka yang berhak.

Sementara itu, rakan penyelidiknya, Dr. Mohd. Yamani Idna Idris berkata, GSCEENQUIRE mempunyai objektif yang sedikit berbeza dengan modul AINQUIRE dan AUDINQUIRE.

Katanya, ia mempunyai fungsi pengesanan bagi mengenal pasti latar belakang video sama ada menggunakan skrin hijau atau mengesahkan ia melalui proses suntingan mahupun tidak.

Teknologi skrin hijau merujuk kepada pencampuran dua gambar bertujuan menonjolkan objek utama dan menghapuskan latar belakang sebenar.

Warna hijau sering digunakan sebagai latar belakang kerana sensor gambar digital kamera video paling sensitif terhadap warna itu disebabkan ia mengandungi noise terkecil, sekali gus dapat menghasilkan ‘topeng’ latar yang paling bersih.

“Skrin hijau selalunya digunakan dalam pembikinan filem blokbuster atau sebagai prop dalam penyampaian berita ramalan cuaca.

“Dalam rakaman video melibatkan aktiviti militan atau pengganas, teknologi itu pula digunakan untuk mewujudkan latar belakang rekaan atas sebab tertentu.

“Justeru, GSCEENQUIRE akan mengimbas video secara bingkai demi bingkai untuk mengesahkan sama ada latar yang digunakan itu tulen atau menggunakan skrin hijau. Keputusan akan diperoleh dalam tempoh kurang daripada satu minit,” ujarnya.

“Gambar kandungan video termasuk rakaman litar tertutup juga boleh disunting, ditambah atau dibuang elemen tertentu bertujuan menghapuskan mahupun mencipta bukti palsu,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, beliau dan pelajarnya, Nor Bakiah Abd, Warif yang juga merupakan penuntut Ijazah Doktor Falsafah membangunkan satu lagi kaedah mengenal pasti imej yang telah diubah suai menerusi kaedah algoritma pengesanan pemalsuan.

Beliau berkata, sistem yang dicipta bukan sahaja boleh membuktikan imej yang dianalisis sudah diubah suai tetapi menunjukkan di bahagian mana elemen baharu dimasukkan atau dipinda.

Kumpulan penyelidik itu pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) di Kuala Lumpur dan pingat perak sempena Pameran Reka Cipta Antarabangsa di Seoul, Korea Selatan.