Memulihara pokok bakau di Semporna


PESERTA program bergambar bersama selepas penanaman semula anak pokok bakau.


DALAM mengejar arus pemodenan pembangunan dan teknologi yang semakin berkembang, ungkapan pemuliharaan alam tidak seharusnya dipinggirkan.

Menyedari kepentingan alam semula jadi, Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dengan kerjasama YSEALI YOUnified, 1Malaysia for Youth (1M4U) dan Pejabat Perhutanan Semporna telah menganjurkan program #Mangrove4U di Pulau Omadal, Samporna, Sabah baru-baru ini.

Bertemakan pemuliharaan dan perlindungan bakau melalui pendidikan dan aktiviti penanaman bersama komuniti, program itu disertai seramai 100 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan serta sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Projek #Mangrove4U, Muhd. Adzmin Ab. Fatta berkata, program itu merupakan salah satu program terpilih tajaan YSEALI YOUnified yang dilancarkan serentak di seluruh rantau ASEAN pada 3 Disember lalu.

Katanya, terdapat 100 projek berkonsepkan alam sekitar, pendidikan, sosial dan kebudayaan, latihan kemahiran yang dilaksanakan di 10 buah negara termasuk Malaysia.

“#Mangrove4U merupakan salah satu inisiatif di bawah Project RAW: Protect Mangroves, Protect Us yang saya rangka bersama para peserta yang menghadiri YSEALI Generation Ocean Workshop di Jakarta, Mac lalu.

“Ia merupakan satu komitmen penting kami terhadap usaha yang dibawa oleh YSEALI bertujuan menggalakkan golongan belia di rantau ini terlibat dalam aktiviti sukarelawan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Manfaat

Tambah Muhd. Adzmin, terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang #Mangrove4U seperti ceramah alam sekitar, aktiviti interaktif dan penanaman semula anak pokok bakau.

Katanya, pokok bakau dipilih kerana ia merupakan tumbuhan semula jadi yang banyak memberi manfaat kepada hidupan di atas muka bumi.

“Kawasan paya bakau berfungsi untuk melindungi pesisir pantai daripada hakisan ombak, penampan semula jadi ketika ribut taufan dan tempat perlindungan beberapa spesies flora serta fauna.

“Pada masa yang sama, ia juga merupakan lokasi penting bagi burung-burung residen dan hijrah mencari makanan serta bersarang.

“Selain itu, ia juga menjadi ekosistem kepada hidupan marin seperti terumbu karang dan rumpai laut dan anak-anak ikan,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 200 anak pokok bakau yang disumbangkan oleh Pejabat Perhutanan Semporna berjaya ditanam sepanjang program itu.

Jelasnya, pelaksanaan program itu juga merupakan salah satu usaha mendidik dan menyedarkan masyarakat untuk melibatkan diri dalam usaha pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar banyak dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Justeru itu, sumbangan masyarakat untuk mempraktikkan amalan mesra alam memberi impak yang besar dalam memelihara ekosistem dan habitat semula jadi flora dan fauna di negara ini.

“Matlamat kami ialah untuk memastikan kelestarian kawasan pesisir pantai di negara ini terutamanya di Sabah sentiasa terpelihara.

“Justeru, pemuliharaan dan kesedaran tinggi masyarakat adalah diperlukan bagi melindungi pokok bakau daripada sebarang ancaman,” katanya.


PROGRAM penanaman anak pokok bakau diadakan di Pulau Omadal, Samporna, Sabah.


Memupuk kesedaran

Sementara itu, Pengerusi Kelab Anak Belia Taritipan (Anbatar), Sabarudin Samba berkata, kesedaran terhadap alam sekitar merupakan proses utama yang penting dalam apa jua usaha pemuliharaan.

Sabarudin yang merupakan salah seorang penceramah pada program itu turut menegaskan kepentingan memelihara kawasan paya bakau daripada dimusnahkan.

“Pokok bakau yang dimusnahkan untuk kepentingan individu tertentu bukan sahaja menjejaskan ekosistem alam semula jadi tetapi sumber ekonomi penduduk tempatan khususnya golongan nelayan.

“Disebabkan itu, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab memulihara ia bagi memupuk kesedaran di samping menyemai rasa sayang terhadap khazanah alam yang paling berharga itu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Wanita Pulau Omadal, Roziah Jalalid berkata, dia berasa bangga dengan usaha yang dilakukan YSEALI dalam melindungi alam semula jadi di rantau ini khususnya di Malaysia.

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa NGO mempunyai peranan yang besar dalam mendidik masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara kawasan pesisir pantai menerusi paya bakau.

“Ini merupakan kali pertama masyarakat setempat di kawasan ini khususnya di Samporna terlibat dalam program pemiliharaan pokok bakau.

“Secara tidak langsung, ia menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan mereka untuk melindungi kawasan pantai daripada terhakis,” katanya.

Roziah berkata, program itu juga berjaya memupuk tanggungjawab sosial menjaga alam sekitar dalam kalangan belia dan generasi muda.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat mengambil bahagian dalam membantu usaha murni pemuliharaan hutan paya bakau dengan menyumbang kepada penanaman pokok itu di kawasan perairan negara,” katanya.