Percutian bajet ke Eropah


Tempahan penerbangan awal memberi kelebihan mendapatkan tiket lebih murah. – Gambar hiasan


TAHUN baharu bakal membuka tirai dalam masa dua hari sahaja lagi. Pastinya banyak perancangan yang sudah disusun sepanjang tahun 2107 termasuk agenda percutian mengelilingi dunia.

Antara lokasi percutian yang mungkin termasuk dalam senarai tersebut ialah negara di benua Eropah. Pastinya tip yang dikongsikan ini berguna buat mereka yang bercadang untuk menikmati percutian menyeronokkan di negara empat musim tersebut dalam bajet rendah dan terkawal.

1. Kaji musim setempat

Sebelum merancang sesuatu perjalanan, kenal pasti musim semasa di negara yang ingin dilawati itu terlebih dahulu terutama jika ingin melancong ke negara empat musim.

Ia penting dalam menentukan jenis pakaian yang perlu dibawa dan merancang destinasi setempat yang boleh dilawati.

Misalnya, jika seseorang itu merancang untuk ke Amsterdam, sebaiknya negara yang terkenal dengan bunga tulip itu dilawati pada musim panas supaya berpeluang untuk melihatnya secara dekat.

2. Tempah tiket awal

Membuat tempahan tiket penerbangan lebih awal memberi kelebihan kepada pelancong untuk mendapatkan harga yang jauh lebih murah. Tempahan yang dibuat beberapa bulan lebih awal memungkinkan pelancong menikmati pengurangan harga tiket penerbangan sebanyak lebih 50 peratus berbanding biasa.

Pelancong juga boleh merujuk lama web Skyscanner atau Cheapflights untuk membandingkan harga lebih murah yang ditawarkan oleh beberapa syarikat penerbangan yang mengambil bahagian.


Kenal pasti musim setempat supaya anda dapat menikmati keistimewaan tempat tersebut secara dekat. – Gambar hiasan


3. Penginapan bajet

Bagi mereka yang ingin memanfaatkan percutian dengan meneroka destinasi menarik setempat termasuk makanan, budaya dan estetika kesenian, pastinya tidak banyak masa yang dihabiskan di tempat penginapan. Justeru, tempat penginapan yang murah seperti hotel bajet atau hostel pengembara beg galas antara pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh pelancong.

Bukan sahaja dapat menjimatkan wang untuk digunakan ketika melancong, malah pelancong juga berpeluang untuk berkenalan dengan rakan baharu di situ.

4. Aplikasi mesra pelancong

Masalah utama yang dihadapi di negara asing ialah akses terhadap internet yang terbatas hanya di kawasan yang menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar Wifi melainkan pelancong melanggan khidmat panggilan terus antarabangsa.

Justeru, pelancong yang pertama kali tiba di negara Eropah disarankan untuk memuat turun aplikasi peta bandar atau pengangkutan awam termasuk jadual perjalanan bas atau kereta api secara luar talian.

Antara aplikasi yang sering menjadi rujukan ialah MetrO, Digitourist dan VisitEurope.