Cakna isu semasa tambah nilai graduan


PARA pelajar seharusnya peka dengan perubahan kebolehpasaran graduan terkini agar menjadi rebutan majikan. – Gambar hiasan


CAKNA tentang isu semasa ada faedahnya. Penulis masih ingat, beberapa tahun yang lalu penulis mendapat tip supaya memperbanyakkan bacaan akhbar, majalah dan mendengar siaran berita yang disiarkan di televisyen serta radio sebagai sumber untuk mengayakan pengetahuan tentang isu semasa.

Alhamdulillah, tip itu betul-betul ‘menjadi’ apabila penulis dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh panel penemu duga dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Kadangkala kita mungkin mendapat tip supaya sentiasa bertenang apabila menjalani sesi temu duga dan menanggap setiap soalan daripada penemu duga dengan menggunakan kemahiran ‘goreng’.

Bukan menggoreng lauk atau makanan tapi ‘menggoreng’ jawapan yang disoal dalam temu duga. Dalam konteks yang lebih mudah untuk difahami, setiap soalan yang ditanya oleh panel dijawab secara hentam kromo atau secara cuba jaya asalkan kita tidak diam seribu bahasa ketika disoal.

Sekiranya calon temu duga memberi jawapan secara hentam kromo, itu bermakna calon tersebut tidak membuat sebarang persiapan yang rapi sebelum menghadiri sesi temu duga.

Panel temu duga mempunyai persepsi yang tersendiri terhadap pemohon kerja yang hadir ke temu duga dengan persediaan ala kadar. Persepsi utama ialah calon temu duga tidak serius untuk mendapatkan kerja.

Soal gaji

Kita wajar menyedari hakikat bahawa di luar sana ramai graduan institusi pengajian tinggi (ijazah atau diploma) yang mencari sedang mencari pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik yang dimiliki terutamanya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.

Justeru, sekiranya graduan ingin memohon sesuatu pekerjaan, mereka wajib membuat homework serba serbi tentang pekerjaan yang dipohon termasuklah gaji.

Kebanyakan pemohon kerja mungkin hanya memikirkan soal gaji sebagai perkara pokok berbanding dengan apakah skop dan prospek pekerjaan berkenaan.

Bagi graduan yang baru sahaja menamatkan pelajaran, jangan terlalu menitikberatkan soal gaji hingga akhirnya terpaksa menjadi penganggur.

Memang kebiasaannya graduan hari ini agak sukar untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akademik kerana persaingan yang agak sengit.


Graduan mesti membuat persediaan yang rapi sebelum menghadiri sesi temu duga. – Gambar hiasan


Namun, graduan seharusnya ada kesedaran diri bahawa kalau hendak menunggu kerjaya yang sesuai, sampai bila-bila pun tidak akan bekerja.

Oleh yang demikian, cubalah luaskan ufuk pemikiran dengan melihat konteks yang lebih besar. Dunia pekerjaan di luar sana banyak memerlukan kemahiran yang praktikal, bukan semata-mata teori.

Justeru, untuk sentiasa lebih relevan dan berjaya menambat hati bakal majikan, maka kemahiran yang versatil amatlah diperlukan. Sekiranya pekerjaan yang dipohon adalah peringkat eksekutif, ada kemungkinan majikan pada masa tertentu akan mengarahkan juga tugasan sebagai kerani.

Keupayaan seorang pekerja untuk menerima tugasan yang rencam dari semasa ke semasa adalah satu kriteria penting yang majikan kehendaki kerana majikan terutamanya daripada sektor swasta mementingkan kecekapan serta kepantasan bekerja.

Belajar

Majikan kebanyakannya tidak kisah mengambil pekerja yang kurang berpengalaman asalkan ada kesanggupan untuk belajar. Kaedah untuk belajar terserah kepada pekerja itu sendiri sama ada bertanya kepada mereka yang lebih senior atau meneroka sendiri bidang tugas yang dilakukan.

Kaedah self-learning (belajar sendiri) mungkin semakin mudah kerana kemajuan teknologi maklumat iaitu rangkaian internet yang boleh diakses di merata-rata tempat sepanjang masa.

Dengan menaipkan kata kunci, maklumat yang hendak dikehendaki di enjin carian Google, maka jutaan hasil carian akan dipaparkan. Keadaan ini menjadi satu fenomena yang melibatkan semua peringkat umur termasuklah kanak-kanak.

Kandungan internet seperti media YouTube dan sebagainya merupakan rujukan penting untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Namun, kaedah pembelajaran sendiri seharusnya diperkukuhkan dengan kemahiran menganalisis (analytical skill) bagi menyaring ketepatan maklumat yang diterima.

Sejajar dengan status sebagai lepasan institusi pengajian tinggi, maka para graduan sepatutnya lebih cermat dan bersikap memilih bagi memastikan maklumat serta pengetahuan yang diperoleh benar-benar bermanfaat untuk seluruh masyarakat.