Urutan fisioterapi penawar pneumonia

Urutan fisioterapi mampu memberi keselesaan bernafas kepada pesakit pneumonia.


SEORANG ibu di Abidjan berdepan detik-detik cemas apabila bayi lelakinya diselamatkan oleh ahli fisioterapi dengan menekan dada dan abdomen untuk memberi bantuan pernafasan bagi memastikan dia terus bernyawa.

Keupayaan pegawai perubatan itu memberi bantuan pernafasan sekali gus menyelamatkan nyawa bayi tersebut menyebabkan wanita tersebut kagum dengan kecekapan mereka.

Fisioterapi pernafasan sangat diperlukan di Ivory Coast kerana pneumonia merupakan pembunuh nombor dua bayi dan kanak-kanak selepas malaria. Badan Amal Agis yang diasaskan pada tahun 2010 oleh Aboubakar Sylla iaitu seorang ahli terapi telah melatih teknik urutan kepada para sukarelawan untuk berkhidmat di kawasan perumahan miskin di ibu negara dan pedalaman Afrika Barat.

“Kurangnya kesedaran pencegahan menyebabkan kes tersebut tidak dapat dibendung dan ia amat dikesali,” kata Sylla ketika mengambil bahagian dalam kempen Badan Amal Agis di daerah termiskin Abidjan iaitu Koumassi.

Tunjuk ajar

Sylla bertanggungjawab membawa doktor untuk mengambil bahagian dalam kempen dianjurkan oleh Badan Amal Agis bagi memberi tunjuk ajar kepada kaum wanita cara memberi urutan kepada anak mereka.

Bagaimanapun, katanya, fisioterapi bukanlah rawatan utama penyakit pneumonia.

“Orang ramai perlu berjumpa doktor. Ubat adalah kaedah rawatan utama manakala fisioterapi adalah pelengkap kepada perkara itu.

“Kajian menunjukkan fisioterapi dan rawatan ubat-ubatan mampu mempercepatkan pemulihan malah memberi keselesaan pernafasan kepada kanak,” katanya.

Kerja sukarelawan itu berkaitan dengan perundingan perubatan dan sekolah untuk para ibu iaitu mengajar wanita cara melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan dan merawatnya ketika jatuh sakit.

Dana merupakan masalah utama untuk membantu kanak-kanak yang menghidap pneumonia.

Badan amal itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan sukarelawan kakitangan perubatan yang berkhidmat seluruh bandar itu dan kebanyakan dana diperoleh daripada derma syarikat swasta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan jangkitan pernafasan pada tahun 2015 telah meragut nyawa lebih 900,000 orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun seluruh dunia.

Di Ivory Coast, jangkitan tersebut dianggarkan telah membunuh lebih daripada 11,000 orang kanak-kanak pada tahun 2012.

Laporan Tahunan Situasi Kesihatan (RASS) antara tahun 2014 dan 2015 menunjukkan bilangan jangkitan pernafasan akut telah meningkat kepada lebih 202 kes pada setiap 1,000 kanak-kanak pada tahun 2015 daripada 165 orang pada tahun 2014.

Jangkitan pernafasan

Ujar seorang doktor, Max Valere Itchi yang bertugas di CHU, Cocody iaitu hospital utama di Abidjan, jangkitan pernafasan merupakan penyakit kedua kanak-kanak dirawat selepas malaria.

“Di kawasan pedalaman angka kematian semakin meningkat kerana kekurangan dana dan peralatan. Kanak-kanak hanya dibawa ke hospital apabila keadaan mereka sangat serius,” katanya.

Di halaman hadapan hospital besar bandar itu, beberapa orang ibu datang pada awal pagi dengan menggendong bayi mereka di belakang untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut.

Sementara itu, Esthetician Monique Zabia merupakan orang pertama menemui kaedah fisioterapi telah merawat dua orang kanak-kanak pada awalnya.

“Setiap hari mereka selesema dan mengalami hidung berair tetapi selepas menjalani teknik urutan itu keadaannya semakin pulih,” tuturnya.

Cerita seorang ibu, Linda Akele, dia telah membawa anak perempuan berusia tiga tahun berjumpa Zabia selepas mengalami selesema serta batuk untuk mencuba kaedah itu. Ternyata ia sangat berkesan.

Tidak lama selepas itu, kakitangan kesihatan datang ke bandar dan kawasan kampung memberi nasihat kepada para ibu untuk menggunakan teknik serupa bagi merawat kanak-kanak.

Seorang lagi ibu muda, Saly mendengar dengan penuh tekun apa yang diajarkan oleh jururawat sukarelawan itu sambil memeluk erat bayinya berusia 14 bulan.

“Jangan menggendong anak di belakang anda ketika menyapu rumah atau menyalakan api kerana habuk serta asap boleh menyebabkannya selesema,” pesan jururawat itu kepada para ibu. – AFP