Skuad baharu Tok Gajah diumum 14 Januari


DOLLAH (dua dari kiri) akan mengumumkan senarai penuh skuad Pahang pada 14 Januari ini di Temerloh.


SELEPAS beberapa kali tertangguh, barisan pemain yang bakal menggalas cabaran Pahang pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini akan diumumkan secara rasmi pada Karnival Pahang Super Fans di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 14 Januari ini.

Ketua jurulatih, Dollah Salleh berkata, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) telah memilih venue tersebut bagi menghargai peminat skuad Tok Gajah yang terus setia menyokong pasukan tersebut dalam apa juga situasi sekalipun sebelum ini.

“Karnival itu nanti akan turut mempertandingkan permainan futsal, persembahan artis dan cabutan bertuah bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah malam,” kata Dollah kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh ma­lam kelmarin yang memihak ke­pada pasukan Pahang de­ngan keputusan 3-2.

Gol Pahang pa­­da perlawanan tersebut di­jaring­kan oleh Afif Amiruddin, Wan Zaharulnizam dan Mohamadou Sumareh.

Perlawanan tersebut menyaksikan skuad Tok Gajah membariskan empat pemain import iaitu Julius Oiboh, Francisco Insa Bohigues, Heo Jae Won dan Sumareh.

Jelas Dollah, semua pemain import baharunya telah mempamerkan kualiti permainan yang membanggakan dan ia membawa petanda buat pasukan Pahang yang melalui prestasi turun naik musim lalu.

“Para pemain mempunyai satu lagi peluang untuk mempamerkan prestasi sebenar apabila turun menentang Singapura di negara berkenaan pada 10 Januari ini,” katanya.

Tambahnya, seramai 31 pemain yang sedang menjalani latihan intensif dan sedang diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini melibatkan Mohd. Helmi Eliza Elias, Matthew Thomas Davies, Mohd Saifulnizam Miswan, R. Dinesh, J. Christie, Mohd Faisal Halim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Julius Oiboh dan Ahmad Syamim Yahya.

Pemain lain ialah Joseph Kalang Tie, Mohd. Faisal Rosli, Heo Jae Won, Nurridzuan Abu Hassan, Ahmad Nordin Alias, Afif Amiruddin, Mohd. Nor Azam Abdul Azin, Zubir Azmi serta Mohd Ashari Samsudin.

Turut disenaraikan un­tuk menjalani sesi pemilihan ialah Mohd. Saufi Mohd., Salamon Raj, Muslim Ahmad, Ean Azraie Wah Teh, Mohamadou Sumareh, R. Kogileswaran, Mohd. Ashar Al-AAfiz Abdullah dan Francisco Insa Bohigues.