Beijing tubuh polis alam sekitar


ORANG RAMAI melakukan senaman dalam cuaca berjerebu di Zhengzhou, wilayah Henan, China semalam. - REUTERS


BEIJING – Ibu kota China, Beijing yang dilanda jerebu teruk akan menubuhkan pasukan polis khas bagi menangani jenayah alam sekitar dalam usaha membersihkan udara di kota raya itu dan menangkap mereka yang melakukan pencemaran.

Agensi berita Xinhua memetik Pemangku Datuk Bandar Beijing, Cai Qi sebagai berkata pada Sabtu lepas bahawa polis jerebu itu akan membasmi akti­viti barbeku terbuka, pembakaran sampah, pembakaran biojisim dan habuk dari jalan-jalan raya.

“Tindakan melanggar peraturan ini berpunca daripada kelemahan pe­ngawasan dan penguatkuasaan undang-undang,” kata Cai Qi dalam satu mesyuarat kerajaan.

Pemerintah giat meme­rangi pencemaran selama hampir tiga tahun, namun sebahagian besar kawasan di utara China terus di­selubungi jerebu pada tahun baru dengan kualiti udara berbahaya dicatat­kan di bandar-bandar utama­ seperti Bejing, Tianjin dan Xian sekali gus memaksa orang ramai untuk tidak keluar rumah.

Asap jerebu yang melitupi bandar dan mengganggu penerba­ngan, operasi pelabuhan serta sesi persekolahan antara lain berpunca daripada peningkatan penggunaan arang batu untuk tujuan pemanasan pada musim sejuk.

Pemerintah sebelum ini berjanji akan mening­katkan penggunaan polis dan mahkamah untuk mendakwa syarikat dan pegawai tempatan yang melanggar peraturan alam sekitar.

Penguatkuasaan undang-undang alam sekitar juga dipertingkatkan sejak beberapa tahun lalu, namun pihak berkuasa terus­ berdepan masalah untuk menambah bila­ngan anggota yang diperlukan bagi tujuan itu.

Masalah itu diburukkan lagi oleh kebergantungan kepada bahan api fosil, terutamanya di bahagian utara negara itu sekali gus menjadikan usaha mena­ngani pencemaran semakin sukar, kata menteri alam sekitar, Chen Jining.

Beliau bagaimanapun optimis bahawa China mampu menyelesaikan masalah pencemaran le­bih cepat berbanding negara-negara Barat termasuk Jerman.

“Mereka memerlukan 20 hingga 40 tahun untuk menyelesaikannya. Saya percaya kita mampu melakukannya dengan lebih cepat,” ujar Jining. – REUTERS