Syahmi ‘aset baharu’ Selangor


SYAHMI permata baharu skuad Liga Super Selangor.


PEMAIN remaja berbakat, Mohd. Syahmi Safari mengakui peluang menyarung jersi keramat ‘Merah Kuning’ bagi musim 2017 umpama mimpi menjadi kenyataan.

Dia kini berharap agar keputusan tersebut akan melonjakkan lagi tahap permainannya selain membantu skuad Selangor mencabar gelaran Liga Super tahun ini.

Syahmi yang juga merupakan ketua pasukan skuad bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan percaya dia bersedia untuk menggalas tugas sebagai pemain utama memandangkan pengalamannya beraksi di pentas antarabangsa ketika di bawah kendalian Frank Bernhardt untuk pasukan B-19 dan Projek Sukan SEA 2017 tahun lepas.

Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu mengakui jurang antara kejohanan peringkat junior dan Piala Presiden adalah sangat besar jika dibandingkan dengan aksi Liga Super tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk merebut tempat khususnya dalam kesebelasan utama.

“Memang besar perbezaan antara Liga Super dan Piala Presiden tetapi saya tidak terkejut dan tertekan kerana pernah mendapat pendedahan de­ngan perlawanan antarabangsa kompetitif dan saya percaya pe­ngalaman tersebut dapat membantu saya beraksi pada peringkat senior.

“Apa yang penting, saya diterima baik oleh rakan-rakan sepasukan khususnya pemain senior kerana mereka banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan sejak diserapkan dalam skuad utama dalam kempen pramusim bermula dua minggu lepas,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sebagai rekod, Syahmi merupakan salah seorang daripada lapan pemain Piala Pre­siden yang dinaikkan pangkat oleh pengendali baharu skuad Gergasi Merah, P. Maniam selain daripada K. Kannan, A. Namathevan dan Muhd. Amir Asyraf Azhari.

Pemain kelahiran Kuala Selangor itu telah menjadi pilihan Maniam pada dua perlawanan persahabatan ketika menentang Sime Darby FC dan PDRM FA untuk mengisi posisi sayap kanan milik pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah yang masih belum pulang ekoran mengalami kecederaan.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi saya peluang dan mele­takkan kepercayaan kepada saya. Justeru, saya akui keyakinan untuk beraksi sema­kin meningkat tetapi saya perlu bekerja keras lagi khususnya pada sesi latihan untuk membuktikan saya layak dalam kese­belasan utama.

“Secara keseluruhan, kebolehan beraksi di pelbagai posisi seperti pemain pertahanan atau di bahagian tengah merupakan kelebihan saya dan saya akan bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya saya diarahkan bermain pada perlawanan liga nanti,” jelasnya lagi.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu akan memulakan kempen liga apabila dijadualkan bertemu Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 21 Januari ini.