Kualiti, pesona vokal 3 Juara


Dari kiri: Pemenang 3 Juara kategori juara Rock, Kudien, juara Balada (Salma) dan juara Irama Malaysia (Azizul) yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi 3 Juara.


Berlangsung Ahad lalu, program realiti 3 Juara akhirnya menobatkan tiga pemenang iaitu Salma dalam kategori balada, Kudien (rock) dan Azizul (Irama Malaysia).

Tidak seperti yang dibayangkan, kemenangan tiga juara setiap kategori itu tidak berakhir di situ. Mereka sebaliknya akan berentap sesama sendiri pada Pentas Epik 3 Juara, Ahad ini.

Pada persembahan Ahad lalu, Salma yang pernah bergelar juara Mentor 5 pada 2011 cemerlang menundukkan pesaingnya, Hady dengan persembahan mantap menerusi lagu solo Hanyalah Satu (nyanyian asal Nora) dan persembahan battle secara medley, Dirgahayu (Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza) serta Tiada Lagi Kidungmu (Lefthanded).

Kudien yang menyanyikan lagu solo berjudul I Don’t Want To Miss A Thing (Aerosmith) dan medley Teguh (Wings) dan Rock You Like A Hurricane (Scorpions) bergelar juara kategori rock selepas mendapat tentangan sengit finalis, Eva Maria.

Azizul pula menyerlahkan kehebatan menundukkan Nura dalam kategori Irama Malaysia selepas mendendangkan lagu secara solo, Aduh Saleha (Mawi) dan lagu battle secara medley iaitu Tak Seindah Wajah (Allahyarham Tan Sri SM Salim) dan Jelmakanlah Ayumu (Siti Nurhaliza).

Ketiga-tiga juara tersebut membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM50,000 berserta trofi setiap seorang.

Bakal bertarung dengan dua juara lain bagi merebut gelaran takhta juara Pentas Epik 3 Juara Ahad ini, Salma tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang, sebaliknya nekad mahu melakukan yang terbaik.

“Alhamdulilah, saya tidak sangka menjuarai kategori balada kerana pesaing saya, Hady merupakan vokalis yang sangat hebat. Untuk Pentas Epik 3 Juara nanti, saya hanya mahu melakukan yang terbaik.

“Konsep konsert akhir nanti sedikit berbeza kerana ia akan menguji kemampuan menyanyi dalam genre berlainan,” kata Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis.

Pemilik nama sebenar Muhammad Ariffuden Mohd. Rafee, 21, yang menjuarai kategori rock turut gementar untuk bersaing pada konsert terakhir, namun harus bersiap sedia dari segala segi.

“Sebenarnya, saya bukan bermula sebagai penyanyi rock tetapi rezeki bergelar juara untuk kategori ini. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai penyanyi versatil walaupun kepakaran saya lebih tertumpu dalam irama rock,” ujar Kudien.

Buat juara kategori Irama Malaysia, Azizzul Haqim Md. Anuwar, 28, walaupun kategori irama berkenaan diklasifikasikan sebagai genre yang tidak komersial berbanding balada dan rock, dia tetap berbangga untuk terus memperjuangkan irama tersebut.

“Saya tidak kisah kalau orang kata menyanyi lagu Irama Malaysia tidak boleh pergi jauh. Saya gemar dan tidak pernah penat menyanyikan lagu genre ini dan akan terus menyanyikannya sehingga ia menjadi genre mempunyai nilai komersial seperti waktu dahulu,” ulas Azizul yang merupakan bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Kualiti

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif 3 Juara, Muhammad Suffian Isa berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif tentang kualiti bakat yang diketengahkan dalam program berkenaan.

“Ini adalah musim pertama. Saya percaya ramai orang yang masih tidak boleh hadam dengan konsep program ini. Bagaimanapun, pihak kami mendapat banyak pujian mengenai kualiti peserta bertanding walaupun ia sebuah program baharu.

“Program ini adalah untuk penyanyi profesional yang benar-benar mempunyai bakat muzik. Justeru, tidak hairan ramai yang terpesona dengan kualiti bakat peserta sehingga ada mengatakan kesemua mereka layak masuk ke peringkat akhir,” ujar Muhammad Suffian.