Taipei kerah jet, kapal induk China masuki Selat Taiwan


REUTERS - KAPAL induk Liaoning menyertai latihan tentera di Laut China Selatan pada Disember 2016.


TAIPEI – Taiwan mengerah­kan jet pejuang dan kapal perang semalam selepas kapal pengangkut pesawat tunggal China belayar ke utara melalui Selat Taiwan, petanda terbaharu ketegangan memuncak antara Beijing dan Taipei.

Kapal Liaoning yang pulang dari menyertai latihan ketenteraan di Laut China Selatan tidak menceroboh perairan Taiwan tetapi memasuki zon identifikasi pertahanan udaranya (ADIZ) di barat daya pulau itu, kata kementerian pertahanan Taiwan.

Situasi itu mendorong Taiwan mengerahkan sejumlah jet pejuang dan kapal perang untuk ‘memantau dan mengawal’ laluan itu yang memisahkan antara Taiwan dan China.

“Kami mengawasi sepenuh­nya pergerakan Liaoning,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Cheng Chung-chi.

China sebelum ini menyatakan, Liaoning dan kapal-kapal pengiringnya melakukan latihan untuk menguji senjata dan peralatan di kawasan tuntutan bertindih di Laut China Selatan, manakala pergerakannya mematuhi undang-undang antarabangsa.

Latihan ketenteraan terbaharu itu membimbangkan jiran-jiran China terutamanya Taiwan yang diakui oleh Beijing sebagai miliknya.

China menuntut hampir kesemua perairan di Laut China Selatan yang menjadi laluan perdagangan bernilai kira-kira AS$5 trilion (RM22.3 trilion) pada setiap tahun.

Selain China, Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga mempunyai tuntutan di laut itu. – Reuters