Faiz terima insentif RM200,000


FAIZ bersama isternya, Norzawanis dan dua anak mereka, Akif Fayyadh dan Aqil Zayyan diberi sambutan meriah sebaik tiba di KLIA, Sepang semalam.


PEMENANG Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd. Faiz Subri menerima insentif keseluruhan bernilai RM200,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri Pulau Pinang dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Faiz menerima RM100,000 daripada KBS, RM50,000 (kerajaan negeri Pulau Pinang) dan RM50,000 daripada FAM.

Insentif tersebut merupakan penghargaan daripada KBS, kerajaan negeri Pulau Pinang dan FAM atas kejayaan pemain tengah Pulau Pinang itu yang meraih Anugerah Puskas FIFA 2016 pada satu majlis yang berlangsung di Zurich, Switzerland awal pagi Selasa lalu.

Faiz yang meraih 59,46 undi, mene­waskan dua lagi pencabarnya iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86 peratus) dan pemain wanita skuad kebangsaan Venezuela, Daniuska Rodriguez (10.01 peratus).

Undi tersebut dilakukan oleh para peminat sukan bola sepak di seluruh dunia.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, insentif sebanyak RM100,000 daripada KBS itu akan menjadi pencetus semangat buat Faiz agar terus bekerja keras mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang.

Jelas Khairy lagi, beliau benar-benar gembira dengan kejayaan pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu yang menjadi wakil pertama dari Asia memenangi trofi berprestij FIFA.

“Saya berharap kejayaan ini akan mendorong para pemain bola sepak negara agar terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi masing-masing, sekali gus mengubah imej pasukan bola sepak negara.

“Ini merupakan kali pertama Malaysia mencipta kejayaan luar biasa pada pe­ringkat dunia. Saya yakin, bukan hanya para penyokong skuad bola sepak Pulau Pinang dan Kedah sahaja yang berasa bangga tetapi seluruh rakyat Malaysia turut berbangga dengan kejayaan ini. Terima kasih Faiz kerana kamu telah mengharumkan nama negara.

“Jarang sekali kita mendapat berita sehebat ini dalam bola sepak. Saya berharap kejayaan Faiz ini akan menjadi petanda kebangkitan sukan bola sepak kita.

“Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Faiz atas kemenangan yang luar biasa ini. Ini adalah kemenangan pertama Malaysia pada peringkat dunia,” kata Khairy ketika ditemui pada majlis sambutan ketibaan Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor semalam bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 29 dan dua orang anak mereka, Akif Fayyad, 4, dan Aqil Zay­yan, 8 bulan semalam.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah turut menemani Faiz ke Zurich.

Afandi dalam kenyataan ringkasnya memaklumkan bahawa insentif seba­nyak RM50,000 daripada FAM itu merupakan pengiktirafan badan induk tersebut terhadap kejayaan Faiz yang membantu menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Afandi tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan kategori anugerah jaringan tercantik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang sete­rusnya bertindak sebagai pendorong kepada pemain tempatan untuk mengulangi pencapaian yang dilakar Faiz.

Beliau bagaimanapun memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Football Malaysia Limited Lia­bility Partnership (FMLLP) yang merupakan badan pentadbir Liga Malaysia serta penganjur bersama ABK.

Pada majlis ringkas di KLIA semalam, Faiz turut menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Wong selepas menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah daripada FIFA.

Beliau turut menerima sijil penghargaan daripada FAM yang disampaikan oleh Afandi.

Terdahulu, suasana di Pentas Utama Balai Pelepasan KLIA bergema dengan sorakan hampir 250 peminat bola sepak tempatan yang menyambut kepulangan pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 itu.

Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya itu selepas melakukan jaringan paling cantik sepanjang 2016 dan ia hasil daripada sepakan percuma ketika menjaringkan gol ketiga pasukan Pulau Pinang yang menewaskan Pahang 4-1 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, 16 Februari tahun lalu.

Faiz dalam ucapan ringkasnya melahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya yang hadir seawal pukul 2 petang semalam.

“Terima kasih kepada penyokong yang hadir serta pengundi saya untuk memenangi anugerah ini,” katanya ringkas sebelum bergegas untuk mengambil penerbangan seterusnya ke Pulau Pinang pada pukul 7 malam tadi.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang disambut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, para penyokong serta ahli keluarga pemain berkenaan.