Nelayan hilang selepas terjatuh dari bot

12/01/2017 10:51am

JOHOR BAHRU - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot yang dikemudinya hilang kawalan lalu sebelum terjatuh ke dalam laut di perairan Tanjung Piai, Kukup, Pontian dekat sini petang semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika mangsa, Maslan Samedi,51, dalam perjalanan untuk mengambil pekerja pulau buatan di jeti nelayan Pangkalan Perpat Pungur.

"Sejurus sampai di 0.5 batu nautika kawasan perairan Tanjung Piai, mangsa yang mengemudi bot seorang diri dikatakan hilang kawalan sebelum botnya berpusing-pusing lalu terjatuh ke dalam laut.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal botnya berikutan keadaannya yang kurang sehat ketika turun ke laut," katanya di sini hari ini.

Iskandar berkata, sehingga kini mangsa belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan Maritim Malaysia bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin serta nelayan tempatan. - K! ONLINE