SC lancar Pelan Tindakan Pengurusan Dana, Kekayaan Islam

12/01/2017 12:04pm

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Pelan Tindakan lima tahun Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan pasaran modal Islam Malaysia menjelang 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pelan Tindakan tersebut dapat memanfaatkan ekosistem pasaran modal Islam negara ini untuk menjadi pusat antarabangsa terulung dalam pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Beliau berkata, Pelan Tindakan berkenaan mempunyai tiga asakan strategi bagi mencapai matlamat tersebut.

"Strategi itu bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hub antarabangsa dana Islam dan menjadikan negara ini sebagai pusat kawasan penyeimbangan bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang Patuh Syariah.

"Seterusnya, membangunkan Malaysia sebagai pembekal perkhidmatan pengurusan kekayaan Islam," katanya ketika berucap merasmikan Pelan Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam di sini hari ini.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani. - K! ONLINE