‘Lelaki itu obses dengan Wawa’


Rumah tangga wawa dan Aeril Zafrel tetap utuh biarpun ada desas-desus mengenai kerapuhan hubungan mereka.


Nama Aeril Zafrel dan Wawa Zainal kembali panas minggu ini. Semuanya gara-gara seorang peminat fanatik lelaki mengaku dia kekasih Wawa dengan menghantar kiriman WhatsApp kepada aktor drama Putusnya Sebelah Sayap itu.

Pengakuan berserta paparan skrin yang menunjukkan komen balas Wawa terhadap lelaki itu, menghiriskan perasaan Aeril terhadap isterinya.

Rumah tangga pasangan sama cantik, sama padan itu nyaris berantakan disebabkan lelaki misteri itu.

“Saya menerima kiriman WhatsApp daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya kekasih kepada Wawa. Apa yang mengejutkan saya, dia turut menghantar paparan skrin perbualannya bersama isteri saya,” ujar aktor berbakat itu ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Selepas diselidiki dan bertanya terus kepada Wawa, rupa-rupanya peminat ‘sakit’ itu membuat akaun Facebook palsu dengan menggunakan nama dan wajah Wawa.

“Wawa mengenali lelaki itu sebagai peminatnya. Cuma, sampai satu tahap dia terlalu obses terhadap Wawa. Dia sanggup mencuri gambar di akaun Facebook sebenar Wawa untuk menghasilkan akaun Facebook palsu atas nama Wawa Zainal.

“Dia cuba menipu saya dengan menunjukkan komen balas Wawa terhadap akaun Facebook miliknya, sedangkan akaun tersebut adalah palsu,” jelas Aeril yang tidak mahu membuat laporan polis kerana lelaki itu tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah lebih agresif.

Ironinya, kisah ini sudah berlaku lama, cuma ia kembali dibangkitkan berikutan pasangan itu sekali lagi berdepan dengan kontroversi rumah tangga apabila Wawa didakwa cemburu dengan keserasian lakonan suaminya dengan Ummi Nazeera dalam drama Patahnya Sebelah Sayap.

Biar berkali-kali dilanda badai, pasangan itu semakin mengukuhkan kepercayaan dan menyimpul ikatan kasih antara satu sama lain.

“Saya menganggap apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah untuk menjadikan kami suami isteri saling mempercayai antara satu sama lain.

“Saya percaya, ujian dan bisikan syaitan tetap akan ada. Cuma, kami lebih matang menanganinya selepas ini,” ujar Aeril yang berkahwin dengan Wawa pada 25 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 3, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 1.

Dalam perkembangan lain, Aeril bakal muncul menerusi drama Nahu Rindu pada bulan Februari dan dia digandingkan sekali lagi dengan Ummi.

Selain itu, lakonan pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu juga bakal menghiasi telemovie berjudul Protagonis (TV3), filem KL Vampires dan filem Indonesia yang berjudul Mualaf.