Prinsip kebersamaan Akim & The Majistret

UTUH: Hampir tiga tahun bersama sebagai sebuah kumpulan, Akim & The Majistret yang dianggotai oleh (berdiri dari kiri) Gjie, Wan, Afiez, Faoq dan Beby, manakala Akim dan Zimie (duduk di depan) masih kekalbersama dan tidak menolak kemungkinan untuk menambah ahli band pada masa akan datang.


Menginjak usia tiga tahun sejak ditubuhkan pada 2014 yang pada mulanya berakarkan projek eksperimen, tiada siapa menjangka bahawa band rock Akim & The Majistret telah melangkah sejauh hari ini dengan kejayaan demi kejayaan yang membanggakan.

Kumpulan yang dianggotai tujuh jejaka iaitu Akim selaku vokalis, Zimie (gitaris utama), Beby (gitaris kedua), Gjie (gitaris ketiga), Faoq (bass), Afiez (keyboard) dan Wan (dram) pernah dikritik hebat apabila menghadirkan persembahan kurang memuaskan pada pentas Separuh Akhir Muzik Muzik menerusi lagu Mewangi pada 2014.

Gagal melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu walhal peminat meletakkan harapan setinggi gunung, ditambah dengan tekanan populariti lagu terbabit, mereka akhirnya terpaksa akur. Ternyata, pada waktu tersebut rezeki belum berpihak kepada mereka. Bukan itu sahaja, keserasian bersama dalam kalangan ahli band masih belum dibelai sewajarnya.

Setahun kemudian, mereka kembali mempertaruhkan lagu Potret dan berjaya menjunjung kemenangan, sekali gus menutup suara-suara sumbang mencela persefahaman di antara mereka. Cerita kurang enak tentang Akim & The Majistret tidak mampu membuat persembahan secara langsung juga segera berlalu.

Kini, pintu tahun 2017 diketuk sempurna Akim & The Majistret yang bakal beraksi pada pentas AJL31 melalui single ketiga daripada album Patriot berjudul Obses. Tidak terhenti dengan gegaran yang mungkin diledakkan di pentas AJL, pada tanggal 20 Februari nanti band tersebut akan melangsungkan sebuah konsert perdana di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Buang ego


KONSERT DI DFP: Konsert yang bakal berlangsung di DFP pada 20 Februari depan menyaksikan persembahan pertama Akim & The Majistret di pentas berprestij tersebut.


Bertemu dengan tiga daripada kesemua anggota band popular itu, Akim, Zimie dan Gjie pada sidang akhbar konsert di DFP bau-baru ini, banyak perkara yang dibicarakan antaranya menyentuh tentang persefahaman sebagai sebuah band, AJL31, konsert dan kebergantungan di antara satu sama lain.

Membuka bicara, Akim meletakkan perkara pertama yang dipraktikkan mereka selama ini ialah membuang ego sejauh mungkin. Pemilik nama sebenar Afiq Hakim Ahmad itu menjelaskan, amalan sedemikian adalah rahsia kejayaan band mereka sehingga ke hari ini.

“Akim & The Majistret ditubuhkan dengan kesemua anggota mempunyai komitmen muzik masing-masing. Freddy masih bersama Hyper Act, Zimie dan Faoq (Sofaz) , Gjie ( 6ixth Sense). Beby (Hyper Act) dan Afiez (New Boyz).

“Jadi, kami mempunyai komitmen dan perangai tersendiri. Memang kami sendiri tidak menyangka masih mampu bertahan sebagai sebuah kumpulan sehingga ke hari ini. Sebenarnya ia bukan sesuatu yang mudah,” ujar Akim.

Tambah Zimie pula, setiap anggota kumpulan bukan sahaja menyanyi atau bermain muzik di studio dan di atas pentas ketika persembahan, sebaliknya mereka mempunyai kepakaran masing-masing.

“Akim & The Majistret terdiri daripada individu yang bergelar penggubah lagu, penulis lirik, penyusun muzik dan penerbit. Jadi, setiap seorang daripada kami sedar tentang tanggungjawab sebagai sebuah band.

“Kebergantungan terhadap satu sama lain membuatkan kami semakin akrab hari demi hari. Apapun yang berlaku, komitmen sebagai anggota Akim & The Majistret tetap menjadi keutamaan paling atas.

“Sejak awal penubuhan, saya sudah mengingatkan setiap anggota supaya membuang sikap keras kepala jauh-jauh kerana tidak mahu band ini bertahan hanya bertahun setahun dua,” jelas Zimie yang bertindak sebagai ketua kumpulan.

AJL 31, DFP


AJL31: Pernah menggungguli AJL30, Akim & The Majistret tidak meletakkan harapan besar untuk menang pada AJl31 Ahad ini, sebaliknya hanya ingin meraikan muzik dengan persembahan terbaik.


Bakal beraksi buat kali kedua di pentas AJL31 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Ahad ini, Gjie mewakili rakan-rakannya, tidak meletakkan harapan besar untuk memang tetapi tekad untuk melakukan persembahan yang terbaik.

“Memang tekanan atas bahu kami kerana edisi lalu kami menang. Apa yang lebih penting pada malam itu adalah nanti adalah melakukan persembahan yang terbaik. Saingan tahun ini memang hebat belaka. Jadi kami perlu berlatih lebih keras.

“Saya gembira kerana band-band seperti Projector Band dan Khalifah akan turut bertanding. Muzik yang kami bawa amat berbeza dan itu akan memberikan warna untuk persembahan menjelang Ahad nanti,” ulas Gjie.

Menyaksikan kebangkitan bakat-bakat baharu di pentas AJL31, Akim menyifatkan senario tersebut sebagai suatu evolusi yang sangat positif.

“Tidak kisah penyanyi solo atau berkumpulan, saya sangat gembira dengan penglibatan bakat-bakat baru di pentas besar seperti AJL. Ia mengingatkan kami ketika Akim & The Majistret mula-mula ditubuhkan dahulu.

“Ini suatu perkembangan positif untuk industri muzik tanah air. Hari demi hari, banyak bakat dan muzik baharu dilahirkan. Cuma bagi saya sendiri, kalau seseorang penyanyi solo itu gemar membuat persembahan bersama band, itu lagi hebat,” kata Akim yang bakal bergelar bapa hujung Februari ini.

Mengulas tentang konsert di DFP, Akim & The Majistret bakal mempersembahkan kira-kira 15 buah lagu dalam persembahan berdurasi sejam. Menariknya, konsert pada 20 Februari nanti akan dipersembahkan secara akustik tanpa pemuzik orkestra.

“Bukan sahaja lagu-lagu daripada Akim & The Majistret, bahkan lagu solo Akim akan turut berkumandang. Lagu-lagu band seperti Sofazr dan Hyper Act akan turut dipersembahkan sebagai simbolik kebersamaan setiap anggota.

“Konsep pada malam persembahan nanti adalah bersifat santai. Namun, akan ada naratif perjalanan Akim & The Majistret dari awal hingga kini. Ia akan mencatat suatu lembaran baharu dalam sejarah penubuhan band ini,” kata Akim.

Tiket berharga RM120 dan RM150 boleh didapati dengan menghubungi talian 03-2331 7007 atau e-mel ke [email protected]