TRW perkenal barisan pemain Liga M

20/01/2017 1:48pm


Annuar Musa (Kiri) beramah mesra dengan penyerang Kelantan Mohd. Norfarhan Mohamad pada majlis perlancaran jersi dan memperkenalkan pemain 2107.


KOTA BHARU - Juara trebel musim 2012, The Red Warriors (TRW) hari ini memperkenalkan barisan penuh pasukan itu yang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirainya esok.

Majlis itu disempurnakan oleh Penaja Utama TRW Tan Sri Annuar Musa di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC), di sini hari ini.

Musim ini Kelantan membawa masuk tiga tenaga import baharu bagi memperkuatkan pasukan iaitu Mamadou Danso, 33 (Gambia), Alessandro Celin, 27 (Brazil) dan bekas penyerang TRW musim 2012 dan 2014 Mohammed Ghaddar, 33 (Lubnan), mengekalkan Margano Gomis dari Senegal.

Pemain tempatan pula diketuai oleh Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Mohamad, Mohd. Farisham Ismail dan beberapa lain pemain yang sedia ada.

Selain itu, Kelantan turut membawa masuk pemain tempatan baharu untuk memperkuatkan pasukan iaitu Mohammad Ab Aziz Ismail (Melaka United), S.Subramaniam (Selangor), S Thinagaran (ATM), Hattaphon Bun An (Kuala Lumpur FA) serta empat tonggak dari skuad Piala Presiden.

Pada Majlis tersebut Annuar turut memperkenalkan barisan penaja TRW yang diketuai oleh Kumpulan Alhamra, Syarikat telekomunikasi RedOne, Chengal Jati, Moccis Furniture, Puspamara, Sinar Harian, Ekpres Mutiara dan Glow Glowing Skin Care.

Jersi baharu TRW turut diperagakan secara rasmi oleh pemain dengan mengembalikan semula warna keramat mereka iaitu merah bagi gelanggang sendiri dan biru untuk tempat lawan. - K! ONLINE