Kegagalan terbesar dalam hidup



CINTA tidak pernah bersyarat. Sekelumit rasa bisa hadir dalam masa sesaat biar jarak bukan dekat waima detik dah terlewat.

Andai mahu menyelongkar kisah cinta sang gadis bernama Mira Filzah, nescaya seantero dunia masih tertanya-tanya siapa yang empunya gerangan berupaya membikin hati primadona ini tidak keruan serta tersenyum menawan.

Bukan seorang dua hadirnya nama-nama lelaki membayangi pesona perjalanan seni pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, sebaik mula mewarnai layar kaca sekitar dua tahun lalu.

Asalkan terbitnya mana-mana repertoir, ada saja bertebaran kisah cinta Mira bersama sang jejaka, cuma tiada satu pun yang mutakhir bagi mencerminkan kisah dua insan bercinta.

“Saya sudah biasa dengan cerita sebegitu, mungkin kerana masih solo. Apabila gosip timbul bermakna keserasian itu ada.

“Selagi tidak melampaui batas, saya lebih selesa menganggapnya sebagai promosi pemasaran secara percuma,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Jujur mengakui tidak pernah penat dan rimas dengan situasi tersebut, tidak keterlaluan juga menyifatkan aktres ini sebagai contoh terbaik mengendalikan lumrah seni sebegini.

Cuma pada masa sama, Mira yang kali pertama memegang watak antagonis dalam telefilem terbaharunya, Dosa Perempuan tidak pernah memiliki sentimen peribadi ketika bergandingan dengan mana-mana teraju utama biar sering dimomokkan dengan cerita sedemikian.

“Saya memang suka berlakon de­ngan gandingan berlainan dalam setiap drama kerana banyak perkara baharu boleh belajar bersama setiap hero berbeza.

“Saya masih muda, mahu mengejar cinta belum tentu ia jodoh kita. Jadi, saya tidak akan bercinta lama, sebaliknya akan terus mendirikan rumah tangga.

“Tambahan pula dengan kerja sebegini, sudah tentu pelbagai dugaan melanda. Buat masa sekarang, saya belum ada sesiapa dan selesa berkawan dengan semua orang,” ungkapnya jujur.

Tidak hairanlah, gadis manis ini sentiasa memegang erat falsafah seni yakni sentiasa berpijak di bumi nyata selepas dua tahun berada dalam industri hiburan tanah air.

Sementelahan pula apabila memiliki ‘pengintip’ iaitu kedua-dua ibu bapa yang sentiasa memantau pergerakannya sebagai anak seni, Mira memanjat rasa syukur kerana terus diselimuti perasaan selamat lantaran cuma dia saja dalam kalangan keluarga yang menjadikan lakonan sebagai tunas rezeki.

Pengintip no. 1

“Ibu dan bapa memang pengintip nombor satu, restu mereka amat penting buat saya. Sehingga sekarang, saya masih di bawah tanggung jawab keluarga.


ANDAI diberikan peluang, Mira teringin untuk berlakon filem berorientasikan percintaan Islamik.


“Mereka akan terus menghubungi saya jika ada membuat sesuatu yang tidak kena seperti memuat naik gambar yang kurang sesuai di Instagram, selain selalu merujuk kepada mereka ketika menerima skrip mana-mana drama,” jelas Mira yang mesra dipanggil Angah dalam kalangan keluarga.

Hos program 3 Juara itu memberitahu, hakikatnya pelakon datang bersilih ganti, justeru Mira sendiri tidak memiliki jawapan berapa lama akan mampu bertahan.

“Segalanya bergantung kepada rezeki, nescaya ada hikmah-Nya jika sentiasa bersedia. Andai tidak lagi bergelar pelakon, sudah tentu saya akan menjadi usahawan kerana cukup meminati dunia bisnes sejak zaman sekolah,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara itu.

Kegagalan terbesar dalam hidup

Dalam pada itu, sengaja mengajak figura ini berkongsi sesuatu mengenai perihal peribadi yang tidak diketahui umum, ini jawapan jujur Mira.

“Saya banyak mendiamkan diri ketika marah ataupun stres, jadi saya akan memandu sendirian bagi meredakan tekanan sebelum segalanya kembali okey.

“Selain aktif bermain hoki ketika zaman sekolah, saya juga mudah terkena selesema jika tidak mendapat tidur secukupnya,” getusnya yang turut memiliki produk kecantikan iaitu Miracle Flawless By MF.

Bakal muncul dengan beberapa drama terbaharu seperti Kelip Kelip Kota London dan Din Sardin The Series termasuk bergandingan bersama Randy Pangalila dalam drama digital berjudul Randy Mira yang menjalani penggambaran di Bali, Indonesia dan Istanbul, Turki, dramatis ini juga memasang impian untuk berlakon dalam filem berorientasikan percintaan Islamik.

Cuma pada masa sama, wanita ini tidak akan sesekali meneroka cabang berbeza bagi mencuba nasib dalam bidang seni suara.

“Saya memang tidak boleh menyanyi. Bukan tidak mahu mencuba, namun suara memang tidak sedap, setakat karaoke bolehlah.

“Mungkin, ia boleh dianggap sebagai kegagalan terbesar dalam hidup,” ungkapnya melentur tawa seraya menoktah bicara.