Jabal Ajyad perkampungan komuniti Melayu di Mekah


Gelagat tiga kanak-kanak berketurunan Melayu yang dirakam di perkampungan Melayu Mekah.


Mekah merupakan sebuah kota utama di Arab Saudi yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.

Mekah juga merupakan kota suci bagi umat Islam dan tempat lahirnya nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Malah, Masjidilharam yang menempatkan Kaabah iaitu kiblat bagi orang Islam juga sentiasa menerima kunjungan puluhan ribu orang setiap hari untuk melaksanakan pelbagai ibadah.

Namun, di sebalik kunjungan ke Mekah untuk melaksanakan ibadah di masjid agung itu, tidak ramai para jemaah termasuk dari Malaysia yang mengetahui bahawa terdapat sebuah penempatan masyarakat Melayu di kota Mekah.

“Hampir setiap hari, saya akan bertemu dengan jemaah umrah yang datang dari Malaysia kerana sebahagian daripada mereka mengambil pakej untuk mendiami hotel-hotel yang terletak kurang 500 meter dari Masjidilharam.

“Apabila saya bercerita tentang kewujudan sebuah perkampungan masyarakat berketurunan Melayu di Mekah, sebahagian besar mereka tertanya-tanya adakah ia benar-benar wujud.

“Sebenarnya, perkampungan itu memang wujud dan ia terletak tidak jauh dari sini (Masjidilharam),” jelas Saifudin Masodi, 55, yang merupakan warga Malaysia berasal dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Saifudin berpindah ke Mekah bersama keluarganya sejak lapan tahun lalu selepas mendapat tawaran meluaskan kerjanya sebagai pensyarah di Universiti Umm Al-Qura di kota itu.

Lereng bukit

Bagaimanapun, beberapa tahun lalu, Saifudin mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan. Kini, dia merupakan antara warga asing di kota Mekah yang menjalankan perniagaan perhotelan di sekitar Masjidilharam secara tender.

Bercerita tentang perkampungan Melayu di Mekah, Saifudin memberitahu, ia terletak di kawasan lereng bukit di Jabal Ajyad iaitu kurang satu kilometer dari Masjidilharam.

Terdapat antara 5,000 hingga 6,000 penduduk di perkampungan itu yang kesemuanya berketurunan Melayu berasal dari Nusantara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand. Mereka merupakan antara kira-kira 40,000 hingga 50,000 orang Melayu yang menetap di sekitar Mekah.


Perkampungan Melayu di Jabal Ajyad yang terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidilharam.


“Orang Melayu sebenarnya telah bermastautin di Mekah sejak kira-kira 200 tahun lalu dengan kebanyakannya datang untuk menunaikan ibadah haji dan umrah sebelum mengambil keputusan menetap terus di situ bagi mendalami ilmu agama.

“Ada antara mereka yang berjaya menjadi ulama Nusantara tersohor seperti Sheikh Daud al-Fathani, Syeikh Abdus Samad Al-Falembani dan Syeikh Mohammad Said Al-Linggi yang sangat terkenal di Mekah suatu ketika dahulu.

“Dahulu, penempatan masyarakat Melayu adalah di sekitar Masjidilharam iaitu berhadapan Pintu Raja Fahad dan antara aktiviti yang dilaksanakan oleh mereka ialah menguruskan kemasukan jemaah haji dari negara masing-masing,” kata Saifudin.

Ketika itu katanya, penempatan masyarakat Melayu di Mekah dikenali dengan beberapa nama seperti Rumah Selangor, Rumah Kelantan, Rumah Kedah dan Rumah Pattani mengikut asal-usul keluarga mereka.

Namun jelas beliau, selepas pemerintah Arab Saudi membuat keputusan untuk melaksanakan pembesaran Masjidilharam secara besar-besaran, penempatan tersebut terpaksa dipindahkan ke beberapa kawasan lain dan antara lokasi yang ditawarkan ialah di Jabal Ajyad yang menjadi penempatan sebahagian daripada mereka sehingga kini.

Malah katanya, keputusan kerajaan Arab Saudi memperkenalkan Muassasah Thawaffah iaitu sebuah badan khas yang diwujudkan untuk melayani jemaah haji yang datang dari luar Arab Saudi sejak tahun 2000 telah menghapuskan peranan yang dimainkan oleh masyarakat Melayu di Mekah dalam menguruskan kemasukan jemaah haji setiap tahun.

Justeru katanya, sebahagian besar masyarakat Melayu Mekah terpaksa menceburi kerjaya lain bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka di kota suci itu.

Cara hidup

Dalam pada itu, seorang pemuda berketurunan Melayu Pattani, Hassan Ismail Abdul Latif, 26, ketika ditemui memberitahu, sebahagian besar daripada penduduk di Perkampungan Melayu di situ sudah meninggal dunia selain ada antara mereka yang mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal.

“Kami masih mengamalkan cara hidup Melayu termasuklah cara pakaian dan hidangan makanan.

“Malah, pertuturan seharian kami di sini juga masih menggunakan bahasa Melayu terutama ketika berkumpul semasa kami. Cuma, apabila bertemu dengan bukan Melayu, kami lebih kerap menggunakan bahasa Arab kerana ia merupakan medium komunikasi utama di sini,” katanya yang dilahirkan di Mekah dan memiliki taraf pemastautin tetap Arab Saudi.

Kata Hassan Ismail lagi, kanak-kanak berketurunan Melayu di Mekah juga dibenarkan untuk menerima pendidikan di sekolah-sekolah Arab milik kerajaan.

Justeru, tidak hairanlah jika kesemua orang Melayu di Mekah fasih berbahasa Arab.

– RIZAM ZAKARIYA