Cinta Kucing Parsi kisah masyarakat majmuk


ADELINE TSEN (tengah) yang memegang watak Sharon menjadi pendorong kepada Alex dan Jamal berubah diri.


Malaysia sememangnya terkenal dengan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Situasi itu jugalah yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia. Biarpun berbeza agama dan budaya, perkara itu tidak pernah menjadi penghalang untuk kita semua terus hidup dalam suasana harmoni dan aman sentosa.

Begitulah yang cuba ditonjolkan dalam telefilem khas, Cinta Kucing Parsi yang bakal menemui penonton esok sempena sambutan Tahun Baru Cina. Menampilkan barisan pelakon Nadzmi Adhwa, Sean Lee dan Adeline Tse, drama arahan sutradara Zamri Zakaria itu menonjolkan kehidupan dua sahabat, Alex dan Jamal yang kurang bernasib baik apabila terpaksa menjadi penganggur.

Bagi Adhwa, pembabitannya dalam naskhah itu yang membawakan watak sebagai Jamal disifatkan sebagai sesuatu yang unik. Ini kerana, kata Adhwa, dia merupakan satu-satunya pelakon berbangsa Melayu yang menjayakan telefilem berkenaan.

“Drama itu memang dibuat khusus untuk tayangan khas sambutan Tahun Baru Cina. Walaupun saya seorang sahaja yang Melayu, cerita itu masih lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan.

“Seronok dapat bekerjasama dengan semua pelakon lain kerana drama ini memaparkan imej Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang kaum,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Memandangkan ia merupakan sebuah telefilem edisi khas Tahun Baru Cina, kata Adhwa, penonton akan turut dihidangkan dengan paparan budaya dan adat bagaimana sambutan itu diraikan. Secara tidak langsung katanya, ia memberi input berguna kepada penonton.

Dalam pada itu, katanya, semangat setiakawan yang terdapat dalam naskhah itu juga dapat dilihat dengan jelas. Ia dipaparkan menerusi watak Jamal dan Alex yang merupakan dua sahabat baik yang sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.

“Saya memegang watak Jamal, manakala Alex pula dilakonkam oleh Sean Lee. Dalam cerita itu, Jamal dan Alex ini merupakan anak muda yang menganggur. Dek kerana tidak ada kerja, banyak masa dibuang begitu sahaja.


DRAMA arahan Zamri Zakaria ini memaparkan budaya sambutan Tahun Baru Cina.


“Sehinggalah kami bertindak melakukan kerja gila sehingga sanggup membuat cubaan untuk merompak sebuah kedai kerana tidak mempunyai duit.

“Daripada situlah jalan cerita telefilem ini berkembang apabila sewaktu melarikan diri kami terlanggar dengan seorang wanita yang akhirnya membawa kepada momen percintaan,” katanya yang memberitahu penggambaran dilakukan sekitar Lembah Klang.

Demi memenangi hati wanita bernama Sharon lakonan Adeline Tsen, kata Adhwa, kawannya itu kemudian mula berubah perangai. Sebagai seorang sahabat, dia banyak memberi sokongan kepada temannya untuk menjayakan misinya dalam memenangi hati Sharon.

“Cerita ini bergenre komedi. Jadi, akan ada babak-babak yang mencuit hati melihat gelagat kami berdepan pelbagai konflik.

“Ia sebuah karya yang ringan tetapi sarat dengan mesej dan pengajaran berguna yang cukup dekat dengan kehidupan seharian kita,” kongsinya.