Janna positif telan kontroversi


BIARPUN berdepan dengan kontroversi Janna mengamalkan sikap tidak mudah melatah atau bermusuh dengan mana-mana pihak demi menegakkan pandangan peribadi.


DIHIMPIT dengan pelbagai kontroversi, pelakon yang sedang hangat menerusi drama rantaian Biar Aku Jadi Penunggu, Janna Nick tetap positif dan tidak mudah melatah mendepani kerenah khalayak.

Baru sahaja terjebak tohmahan bersikap diva dan didakwa menolak mentah-mentah pakaian tajaan seorang pereka fesyen saat diminta untuk menggayakannya, Janna juga pernah dikecam kerana dikatakan menyombong diri sewaktu berada di lokasi pengambaran.

Menelan semua pahit sebagai sempadan, Janna atau Nurul Jannah Muner cekal meneruskan misinya dalam bidang seni. Biarpun isu tersebut seumpama batu yang menyemak dalam fikiran, ia tidak menjadi alasan untuk Janna meratapi bebanan.

Nampak tenang, namun akuinya Janna, insiden tersebut secara tidak langsung mencetuskan pandangan negatif umum terhadap dirinya.

Tidak mahu terus hanyut dalam ‘lautan’ kontroversi, Janna optimis merencana agenda seninya selain memberi fokus terhadap bidang nyanyian.

KOSMO!: Awal Januari lalu Janna dihebohkan dengan perang dingin bersama seorang pereka fesyen gara-gara anda enggan menggayakan pakaian rekaan pereka itu. Adakah insiden tersebut memberi impak kepada kerjaya anda?

JANNA: Saya tidak mahu mengulas panjang perkara tersebut dan biarkan ia dijadikan iktibar pada masa akan datang. Sejujurnya, saya juga ingin memohon maaf kepada pihak yang terlibat dan diharapkan dia juga akan memaafkan saya.

Seiring populariti sejak setahun lalu, nama anda juga melekat dalam fikiran ramai akibat rentetan kontroversi, bagaimana anda menanggani situasi tersebut?

Paling utama, saya perlu ingat ialah setiap manusia biasa tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Biar sehebat manapun saya mencuba, pasti ada pihak yang berasa kurang berpuas hati.

Justeru, saya mengambil pendekatan untuk kekal bersikap positif dan mengambil segalanya yang berlaku sebagai pengajaran dan pengalaman dalam mematangkan diri.

Tidakkah kontroversi selama ini mendatangkan persepsi negatif peminat terhadap anda?

Ya, benar kontroversi secara tidak langsung akan merosak dan mencemarkan nama seseorang tetapi hidup tetap perlu diteruskan. Individu ini sememangnya mengajar saya bersikap positif sepanjang masa.

Paling utama, saya perlu bijak mengatur langkah semakin tinggi pun berada pasti ada tangan-tangan yang mahu menarik kita ke bawah. Tambahan pula, siapa saya untuk mengharapkan semua orang suka dengan apa yang telah dilakukan.

Bercerita mengenai kerjaya, apa aktiviti seni ada ketika ini?

Saya kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama rantaian bertajuk Dia yang berjumlah 60 episod unttik siaran slot Akasia TV3. Naskhah tersebt menyaksikan gandingan saya dengan Irwansyah selain membariskan pelakon seperti Adi Putra dan Izara Aishah.

Bergandingan dengan pelakon Indonesia, bagaimanakah reaksi anda mengenai perkara tersebut?

Apabila diberitahu bahawa tersebut melibatkan gabungan pelakon dua negara, Malaysia dan Indonesia pastinya ia menjadi tarikan utama untuk menerima tawaran tersebut.

Secara tidak langsung ia membuka ruang buat saya dikenali di seberang. Bekerja dengan Irwansyah juga sungguh mudah kerana dia seorang yang profesional dan mudah mesra.

Selain lakonan, bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya nyanyian anda?

Sekarang saya masih dalam peringkat memilih material terbaik untuk single kedua nanti. Memang tidak dinafikan hampir setahun saya tidak tanpil dengan lagu baharu selepas Mungkin Saja.

Secara peribadi saya sendiri sedang mencuri masa untuk menghasilkan single kedua selain berasa sedikit tekanan kerana pastinya peminat akan mengharapkan sesuatu yang lebih baik berbanding lagu sebelum ini. Diharapkan peminat bersabar menantikan kemunculan lagu baharu daripada saya kelak.