Aku Haus Darah Mu uji kemampuan Deanna




Lenggok lakonannya dalam Selubung, Ringgit Kassorga dan Abang 92 masih terbayang-bayang di kotak fikiran peminat setia Deanna Yusoff. Meskipun jarang muncul di kaca televisyen dan layar perak saat ini, aktres berusia 50 tahun itu masih disimbahi kerdipan bintang dan mampu membuatkan penonton terpesona melihat lakonannya.

Usia lakonannya sudah mencecah 25 dekad, namun bahang seorang Deanna masih belum kurang hangatnya, bahkan masih didahagakan peminat-peminat yang tidak lelah menyayanginya.

Sebagai bingkisan jiwa, sebuah filem lakonannya, Aku Haus Darah Mu menjadi buah tangan terbaharu Deanna untuk santapan peminatnya.

Pernah muncul menerusi filem seram berjudul Chermin pada 2007, Deanna sekali lagi memilih genre serupa untuk melampiaskan rindu dan jiwa seninya.

Menari

Membawakan watak misteri bernama Cik Cempaka Sulastri dalam filem terbaharunya itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-10(FFM), menerusi filem Selubung berdepan cabaran apabila terpaksa menterjemahkan watak wanita misteri itu menerusi gerak tari badan.

“Watak Cik Cempaka perlu pandai menari. Ironinya, saya bukan sekadar belajar tarian-tarian biasa tetapi turut mempelajari tarian gerakan haiwan. Maka, saya mencabar diri untuk menyediakan badan mempelajari tarian tersebut,” ujarnya yang mengaku aspek tarian paling sukar dilakukannya memandangkan dia bukan seorang penari.

Bagaimanapun, Deanna lega kerana pengarahnya, Aidilfitri Mohamed Yunos menyediakan khidmat koreografer, Suhaili Micheline, untuk merealisasikan watak Cik Cempaka.


Babak yang menunjukkan Cik Cempaka, lakonan Deanna Yusoff yang memukau manusia dengan lenggok tariannya.


“Kami berbincang apa asal usul karakter tersebut. Kenapa watak itu begitu. Dengan perbincangan itu, Suhaili hasilkan tarian yang sesuai dengan karakter tersebut. Saya ada belajar beberapa jenis tarian termasuk Makyung dan tarian India tetapi ia tidak nampak dalam filem itu kerana saya cuma mempelajarinya sebagai asas sahaja,” jelas Deanna yang belajar menari selama sebulan di bawah tunjuk ajar Suhaili.

Menurut Deanna, filem yang bertemakan seram klasik itu turut menggunakan aspek visual dan bunyi yang direka khas bagi membawa penonton mengimbas kembali era 1980-an.

“Saya harap penonton akan hargai set yang dibikin ala-ala 80-an dalam filem ini.

“Walaupun tidak banyak pelakon yang terlibat dalam filem ini, tetapi plot penceritaan Aku Haus Darah Mu memang sangat menarik,” katanya mengenai filem yang turut dibintangi oleh Nad Zainal, Zoey Rahman dan Sweet Farhanna itu.

Puji Nad

Digandingkan dengan pelakon muda dan baharu, ia sedikitpun tidak mendatangkan masalah kepada aktres cantik itu.

Malah, Deanna turut memuji semangat dan bakat yang dimiliki pelakon Nad Zainal.


Antara babak-babak cemas dalam filem Aku Haus Darah Mu


“Sudah 25 tahun saya berlakon. Setiap masa kita akan didatangi oleh pelakon baharu. Bagi saya kalau mereka tahu berlakon dan memahami watak, saya tiada masalah.

“Dalam filem Aku Haus Darah Mu, saya banyak babak dengan Nad. Tiada masalah berlakon di sampingnya kerana dia seorang yang profesional dan berbakat. Dia juga bersungguh-sungguh menghidupkan wataknya,” ulas Deanna.

Selektif dalam memilih karya, bagaimanapun saat ditawarkan untuk membintangi filem ini Deanna tanpa ragu-ragu menerimanya.

“Apa yang menarik saya pada watak Cik Cempaka ialah bahagian tariannya. Saya tidak pernah menjayakan watak yang memerlukan saya menari,” ujarnya mengenai watak Cik Cempaka yang terpaksa mencari mangsa dengan mengumpan manusia melalui tariannya.

Filem terbitan Tsar Asia Sdn. Bhd. yang sedang ditayangkan di pawagam itu berkisar pada tahun pertengahan 1980-an. Seorang ahli antropologi muda (Nad) dan dua rakannya (Zoey dan Sweet) mengembara ke kawasan pedalaman Malaysia untuk membuat kajian mengenai sebuah tarian suku kaum. Apabila mereka tiba di sebuah perkampungan kecil yang diuruskan oleh seorang wanita dan pembantunya, perkara aneh dan menyeramkan mula berlaku kepada mereka.