Impian Azizulhasni musnah di India


AZIZULHASNI sekadar menamatkan perlumbaan acara keirin di tempat kesembilan pada ACC 2017 di New Delhi, India semalam.


JAGUH pecut negara, Mohd. Azizulhasni Awang gagal menepati ramalan untuk mara ke final acara keirin lelaki elit selepas tumpas pada aksi separuh akhir kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2017 yang berlangsung di New Delhi, India semalam.

Hasrat pelumba keirin No. 1 dunia itu untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketujuh turut berkecai apabila dipintas oleh dua pelumba China pada saat-saat akhir ketika aksi penentuan tempat ketujuh hingga ke-11, sekali gus menyaksikan Azizulhasni, 29, sekadar menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan.

Dia yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman menjelaskan, selepas gagal melayakkan diri ke final, motivasi untuk memperbaiki kedudukan pada perlumbaan tempat ketujuh dan ke-11 terus hilang.

“Perlumbaan hari ini (semalam) agak malang bagi saya kerana sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan kesembilan. Saya memenangi perlumbaan pusingan pertama dengan begitu mudah serta berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

“Malah, kaki saya juga berada dalam keadaan terbaik, namun segala rancangan yang direncanakan gagal disempurnakan dengan baik. Ini kerana pada perlumbaan tersebut (separuh akhir), saya sudah berada pada kedudukan kedua di belakang Kazunari Watanabe (pelumba Jepun) dan saya jangkakan mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bagi membolehkan saya mara ke pentas final.

“Malangnya dua pelumba Taiwan berjaya mengejar serta menghimpit ruang kiri dan kanan saya sebelum menuju ke garisan penamat, menyebabkan saya menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

“Kami sudah cuba untuk me­lakukan bantahan supaya pelumba Taiwan itu disingkirkan, namun komisar perlumbaan tetap berkeras dengan keputusannya.

“Justeru, saya hanya tersenarai untuk mengharungi perlumbaan akhir B (tempat ketujuh dan ke-11) dan ketika itu semangat saya sudah luntur,” kata Azizulhasni kepada Kosmo! semalam.

Esok, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu akan beraksi dalam acara pecut individu lelaki.

Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Terengganu itu kekal positif sambil menganggap perkara yang berlaku satu pe­ngajaran berguna buat dirinya.

Pada perlumbaan akhir acara keirin, tempat pertama dan ke­dua masing-masing dimenangi pelumba Jepun menerusi Yuta Wakimoto dan Kazunari Watanabe.

Kekecewaan yang menyelubungi kem negara bagaima­napun terlerai apabila seorang lagi pelumba elit negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya menghadirkan kilauan pingat gangsa yang juga pingat pertama negara di pentas ACC 2017.