Hairuddin umum bersara daripada bola sepak


HAI-O mahu berehat panjang dan masih belum memutuskan untuk menyertai kursus kejurulatihan selepas mengumumkan persaraannya daripada bola sepak.


LEGENDA bola sepak tempatan, Hairuddin Omar akhirnya membuat keputusan untuk bersara dari pentas domestik ketika berusia 37 tahun selepas menikmati pelbagai kejayaan bersama pasukan negeri dan kelab.

Memulakan karier pada tahun 2000 bersama negeri kelahiran, Terengganu, kehebatan Hairuddin yang lebih mesra disapa sebagai ‘Hai-O’ tidak perlu dipertikaikan lagi apabila beliau antara salah seorang penyerang yang disegani kawan mahupun lawan ketika beraksi di atas padang.

Hai-O yang kini menjawat tugas sebagai Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), pernah memenangi trofi Liga Super ketika bersama Pahang pada 2004 dan tiga kali menjulang Piala Malaysia ketika bersama Negeri Sembilan dan Kelantan.

Antara detik diingati Hai-O ketika mewa­kili pasukan kebangsaan adalah jaringannya membolosi gawang Chelsea menerusi tandukan yang berjaya melepasi benteng yang diketuai John Terry ketika itu biarpun skuad negara tewas 1-4 kepada wakil Liga Perdana England itu pada 2003.

Ketika ditanya adakah beliau akan melanjutkan kariernya menjadi jurulatih, Hai-O tanpa berselindung mengakui bahawa mahu berehat panjang dan masih belum memutuskan untuk menyertai kursus kejurulatihan dalam tempoh terdekat.

“Biarlah saya berehat dahulu. Saya telah lama fikir mengenai keputusan ini (bersara) daripada bola sepak Malaysia. Keputusan ini bukan mudah tetapi selepas lama saya merenung masa depan, saya fikir ini adalah waktu terbaik.

“(Menjadi Presiden PFAM) bukanlah kekangan atau menjadi salah satu faktor mengapa saya bersara. Bagi saya, tidak kisah sesiapa menjadi presiden (PFAM) ketika masih bergelar pemain atau bersara, ia tidak menjadi masalah.

“Saya berminat untuk menjadi jurulatih tetapi seperti saya katakan tadi, saya mahu berehat sebentar daripada dunia bola sepak.

“Saya juga memiliki beberapa perniagaan sendiri dan mungkin saya masih dalam dilema untuk menentukan fokus bidang untuk diceburi nanti tetapi bola sepak sentiasa menjadi sukan nombor satu dalam hati saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Hai-0 telah meledak 146 gol sepanjang 409 penampilan dalam Liga Super ketika bersama Pahang, T-Team, Negeri Sembilan, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum kembali ke pangkuan pasukan negeri kelahiran, Terengganu dua tahun lalu.