Surga Yang Tak Dirindukan 2 sarat mesej


Pelakon cilik Sandrina memegang watak sebagai Nadia.


DUA tahun lalu, filem Surga Yang Tak Dirindukan pernah mencipta sejarahnya tersendiri dalam industri perfileman di Indonesia. Karya arahan sutradara Hanung Bramantyo itu boleh dikatakan antara naskhah yang berjaya mendapat tempat di hati peminat industri perfileman di negara itu pada tahun 2015.

Buktinya, filem itu pernah diangkat sebagai Filem Terbaik Indonesia menerusi Festival Filem Indonesia selain menerima pengiktirafan sebagai Movie of The Year menerusi Indonesian Box Office Movie Awards pada tahun lalu.

Barangkali isi jalan cerita yang ditonjolkan iaitu kisah kehidupan poligami dan konflik wanita yang menjadikan naskhah tersebut berjaya mencuri tumpuan ramai.

Bagi yang mengikuti filem berkenaan, sudah pasti pengakhiran kisah perjalanan hidup yang mengangkat aktor Fedi Nuril, Raline Shah dan Laudya Cynthia Bella selaku pendokong utama dinanti-nantikan. Bahkan, sejak tahun lalu lagi, ramai yang sudah mula bercakap mengenai penerbitan sekuel filem itu apabila ia dijangka menemui penonton pada Disember lepas.

Bagaimanapun, apa yang direncanakan tidak dapat ditunaikan mengikut perancangan atas beberapa faktor demi penambahbaikan yang dilakukan. Selepas hampir dua bulan menunggu, kini Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2) sudah mula menemui penonton pada Khamis lepas di Indonesia. Menariknya, edisi kali ini tayangannya bukan sahaja di negara seberang, tetapi filem hasil kerja rumah produksi MD Pictures itu juga bakal menembusi pawagam-pawagam di seluruh tanah air bermula 16 Februari ini.

Watak baharu

Apa yang pasti, bagi penerbitnya sendiri, Manoj memberitahu, sekuel filem itu disifatkan sebagai sebuah karya yang cukup dramatik dan sarat dengan mesej yang berguna buat penonton. Jika filem pertamanya lebih menekankan konflik poligami, pada kali ini ia lebih memaparkan keikhlasan dan pengorbanan seorang isteri yang mula reda dengan ketentuan hidupnya.

Garapan jalan cerita itu juga menjadi lebih menarik apabila barisan pelakon utama bukan sahaja dikekalkan, bahkan ditambah dengan penampilan watak muka-muka baharu yang menjadi penyeri kepada keseluruhan plot filem tersebut.


Filem ini menemui penonton di Malaysia pada 16 Februari ini.


“Saya memang terlibat secara langsung daripada pemilihan artis, proses penggambaran, hasil gambar, lagu dan segala yang terkait menerusi filem ini. Sekuel ini bukanlah dibuat untuk sekadar mengulang kejayaan filem pertama sebelum ini tetapi banyak moral dan punya jalan cerita yang bagus.

“Sebab itu juga untuk SYTD2 ini, kita menampilkan pelakon Reza Rahadian dan Nora Danish dari Malaysia yang turut bersama-sama menjayakan filem ini. Menerusi sekuel ini juga penonton akan dapat melihat apa yang terjadi dengan kehidupan watak Pras, Arini dan Meirose yang sudah dikembangkan dengan baik menjadikan ia sebuah naskhah yang layak ditonton,” katanya.

Bagi Nora pembabitannya dalam naskhah ini sememangnya merupakan satu bentuk penghargaan buatnya apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan sebuah filem yang sudah mempunyai catatan kejayaannya tersendiri.

“Ia merupakan satu pengalaman baharu buat saya apabila dapat bekerjasama dengan produksi luar. Tambahan pula, saya memang sebelum ini teringin untuk bekerja di bawah pengarah filem yang cukup popular, Hanung yang banyak mengarahkan filem-filem pecah panggung seperti Ayat-Ayat Cinta.

“Lebih kurang 30 babak saya terlibat dalam filem itu yang memegang watak sebagai pengurus peribadi kepada Arini iaitu lakonan Laudya,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui sewaktu menghadiri Malam Gala SYTD2 di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Sememangnya, kehadiran Nora itu juga menjadikan filem itu lebih dekat dengan pengikut filem di negara ini yang menantikan kemunculannya buat pertama kali dalam sekuel tersebut. Apa yang pasti, Hanung juga boleh dikatakan bijak mengadunkan elemen sedih di tengah jalan cerita dengan unsur humor dengan memaparkan gelagat lucu Nora dalam filem itu bersama pelakon Muhadkly Acho, Tanta Ginting, dan Kemal Palevi.

Islam dan keikhlasan

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik, selain mengangkat kehidupan poligami, filem tersebut juga memaparkan kehidupan masyarakat Islam di Budapest, Hungary. Secara umum, boleh dikatakan hampir keseluruhan babak filem itu juga dilakonkan di negara tersebut.


Keikhlasan seorang wanita yang terpaksa berkorban demi suami tercinta dipaparkan dalam filem ini.


Di situlah digambarkan kehidupan Meirose lakonan aktres Raline Shah menjalani kehidupan baharu yang lebih dekat dengan ajaran Islam selepas pergi meninggalkan suami dan madunya sambungan daripada sekuel pertama, sekali gus memaparkan dirinya mengenakan hijab pada sekuel kedua ini.

“Dalam sekuel ini, karakter Mierose merupakan seorang yang punya jiwa yang kuat dan lebih alim. Bahkan, dengan watak itu juga mendekatkan lagi kita tentang Islam. Daripada filem ini, ia juga menyuntik rasa ingin tahu lebih dalam mengenai Islam.

“Pada masa sama, watak Mierose menjadi inspirasi buat saya untuk menjadi seorang yang lebih sempurna. Saya banyak belajar daripada Hanung yang meminta agar saya benar-benar boleh menjiwai watak sebagai seorang Muslimah sejati,” kongsinya.

Bagi Reza pula, biarpun filem itu memaparkan kehidupan poligami, itu tidak bermaksud naskhah tersebut mahu menggalakkan orang di luar sana untuk menjalani kehidupan seperti itu. Ini kerana, katanya, penonton perlu melihat daripada sudut berbeza yang lebih utama iaitu perihal keikhlasan seorang wanita dalam berdepan situasi itu.

“Saya sendiri tidak pernah menggambarkan untuk memilih hidup secara poligami. Bagaimanapun, ada yang lebih utama perlu dilihat bagaimana boleh timbulnya keikhlasan hati seorang wanita untuk menerima hakikat sebenar dirinya apabila menghadapi situasi tersebut,” katanya.

Begitu juga menurut Fedi yang memberitahu bahawa SYTD2 ini sebenarnya lebih kepada menguraikan keindahan Islam.

“Ia menceritakan bagaimana Islam boleh membuatkan kebahagiaan orang lain menjadi hal utama berbanding kebahagiaan kita sendiri. Pengorbanan isteri untuk memastikan kebahagiaan suaminya. Itu yang menarik,” tambahnya.

SYTD2 menceritakan kisah sepasang suami isteri Pras dan Arini yang kembali menjalani kehidupan baharu bersama anaknya, Nadia selepas Meirose pergi meninggalkan mereka bertiga. Bagaimanapun, mereka akhirnya bertemu semula di Budapest, Hungary yang kemudian menimbulkan pelbagai konflik berbangkit.