3 direman kes bunuh Jong-nam




KUALA LUMPUR Tiga orang termasuk sepasang kekasih ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin lalu.

Kedua-dua wanita yang direman itu melibatkan warga Vietnam dan Indonesia. Wanita Vietnam itu ialah Doan Thi Huong, 29, manakala wanita Indonesia pula Siti Aishah, 25.

Seorang lagi yang direman ialah kekasih kepada Siti Aishah iaitu Muhammad Farid Jalaluddin, 26, seorang lelaki tempatan.

Perintah reman ke atas Thi Huong, Siti Aishah dan Muhammad Farid dikeluarkan oleh Majistret Sharifah Muhaymin Abd. Khalib di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sekitar pukul 10.30 pagi semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga individu berkenaan berkuat kuasa semalam.

Kematian Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara iaitu Kim Jong-un disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. Difahamkan ketiga-tiga mereka yang direman disiasat di IPD Sepang.

Sharifah Muhaymin yang selesai mengeluarkan perintah reman ke atas ketiga-tiga yang ditahan itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Sepang pada pukul 11.05 pagi namun beliau enggan memberikan sebarang kenyataan kepada kira-kira 100 pengamal media yang menunggunya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.