Kekejaman bak adegan di neraka

GAMBAR menyayat hati menunjukkan keadaan mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai di sebuah penjara di Damsyik.


WAJAH Samer Hammad, 25, bertukar sayu saat melihat gambar-gambar mangsa pembunuhan beramai-beramai di penjara Damsyik, Syria yang diuruskan oleh tentera rejim di Facebook miliknya.

Pemuda itu tampak sedih apabila mengenangkan nasib saudara Islamnya diseksa dengan kejam sebelum dibunuh kerana berani bangkit menentang jenayah perang Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

“Gambar-gambar itu tidak ubah seperti pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi atau Holocaust, ia mengingatkan kembali kepada kekejaman rejim Nazi Jerman di kem tahanan Auschwitz, Poland suatu masa dahulu.

“Saya berharap pada satu hari nanti mereka semua terutamanya tentera rejim Bashar akan menerima balasan atas perbuatan kejam ini, saya harap mereka akan tumbang,” katanya yang terkesan dengan kehilangan seluruh anggota keluarganya.

Seludup

Menurut laporan portal Daily Mail, kekejaman rejim Bashar semakin terbukti selepas gambar mang­sa pembunuhan beramai-ramai di penjara berdekatan Damsyik menjadi tular baru-baru ini.

Lebih 53,000 keping gambar yang telah diseludup keluar dari Syria oleh seorang jurugambar polis tentera, yang dikenali sebagai Caeser.

Gambar-gambar berkenaan menunjukkan keadaan mangsa di dalam penjara yang dikatakan telah mendapat makanan, air dan ubat-ubatan daripada rejim Bashar tetapi sebaliknya tidak.

Lantas, portal tersebut kembali menyiarkan gambar menyayat hati yang mendedahkan mayat-mayat kurus ke­ring kerana kekurangan air dan kebuluran selain mempunyai kesan lebam akibat dipukul.

Sebahagian gambar itu pula memaparkan mayat yang mempunyai kesan kelaran pada tubuh mereka akibat ditoreh dengan pisau, disimbah asid, terkena arus elektrik atau dicucuh api rokok.

Bagi menutup kekejamannya, rejim Bashar memaksa doktor di tiga buah hospital di Damsyik menandatangani sijil kematian yang mengesahkan mangsa-mangsa itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung atau masalah pernafasan.

“Kali pertama, saya enggan menandatangani sijil kematian itu, orang risikan rejim Bashar mengacukan senapang AK-47 ke kepala saya dan berkata, ‘Lakukan atau saya akan mati’.

“Ia seperti adegan dari ne­raka. Kami tidak dibenarkan memeriksa mayat-mayat tersebut untuk mengesahkan jika mereka benar-benar sudah mati. Saya melihat begitu banyak perkara dahsyat,” kata seorang doktor dikenali sebagai Nemer Hassan.

Nemer yang kini menetap di Jerman menceritakan

pe­ngalamannya itu kepada Daily Mail minggu lalu. Katanya, dia terpaksa berkhidmat untuk melindungi keluarganya.

Setiap hari mayat-mayat yang dibaluti dengan kepingan plastik dihantar ke hospital Damsyik dari penjara. Menurut Nemer, mayat-mayat tahanan itu kemudian dibawa di sebuah kubur besar berhampiran dan ditanam tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

Jajah


RAKYAT Syria tidak akan berputus asa pertahankan hak mereka.


Beribu-ribu mangsa kekejaman rejim Bashar dipercayai ditanam di dalam kubur besar itu bagi menyembunyikan bukti jenayah perang.

Dalam pada itu, Nemer mendedahkan, pada April tahun lalu, terdapat dua bas, trak dan ambulans yang dipenuhi dengan ratusan rakyat Syria yang cedera ditembak ketika mengambil bahagian dalam protes tidak bersenjata.

“Ia sangat dahsyat. Ada dalam kalangan mereka mempunyai kesan tembakan di kaki dan punggung, namun pihak polis dan tentera menendang mereka pada bahagian yang cedera ketika mereka turun dari kenderaan,” ujarnya.

Dia juga mendakwa, salah seorang pengawal keselamatan mematikan alat bantuan pernafasan seorang lelaki warga emas yang bergantung kepada alat tersebut. Bakinya dibawa ke bilik kecemasan di bawah tanah. Mereka digari antara satu sama lain dan bersesak di dalam hospital yang hanya mempunyai 200 katil.

Syria merdeka daripada penjajahan Perancis pada tahun 1945. Negara tersebut diperintah oleh warga Syria sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad. Hafez telah memerintah selama 32 tahun. Pemerintahan beliau diwarisi oleh anaknya, Bashar sehingga sekarang. Kini, Syria telah menjadi sebuah negara yang diperintah oleh diktator.

Kesan daripada kebangkitan negara-negara Arab di sekitar Syria iaitu Tunisia, Mesir, Yemen dan Libya telah membakar semangat rakyat Syria yang sejak sekian lama ditindas dan dinafikan hak bersuara. Punca kebangkitan rakyat bermula selepas sekumpulan kanak-kanak seramai 28 orang telah menulis di dinding sekolah, Rakyat Mahu Jatuhkan Kerajaan.

Slogan ini telah dilaungkan di negara-negara Arab yang berlaku kebangkitan rakyat. Pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah diseksa kejam dengan mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka.

Salah seorang kanak-kanak itu telah meninggal dunia dan keluarganya meminta mayat kanak-kanak itu serta kanak-kanak lain dilepaskan.

Bagaimanapun, pihak pemerintah hanya akan melepaskan kanak-kanak itu jika mereka memberi wanita-wanita dalam kalangan mereka untuk diperkosa oleh puak-puak pemerintah Syria.

Dibunuh

Sehubungan itu, keluarga kanak-kanak tersebut telah mengadakan tunjuk perasaan bantahan. Malangnya, pihak tentera telah membunuh mereka yang mengadakan bantahan tersebut, sekali gus lahirlah kebangkitan rakyat di Syria.

Kekejaman rejim Bashar semakin terbukti apabila media antarabangsa mendedahkan, mereka menggunakan renjatan elektrik untuk menyeksa tahanan. Bom tong dan senjata kimia pula digunakan untuk mensasarkan hospital serta serangan udara pada konvoi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga orang awam.

“Pada setiap peringkat, anda akan mendapati bahawa peringkat sebelumnya sebenarnya lebih baik, dan anda mula bimbang tentang peringkat seterusnya,” kata salah seorang bekas tahanan di penjara Saydnaya.

Pada minggu lalu, pertubuhan hak asasi Amnesty Internatio­nal melaporkan bahawa 13,000 orang dibunuh di penjara-penjara Bashar dalam tempoh lima tahun pertama akibat perang saudara.

Malah, menurut seorang lagi bekas tahanan, dia menyifatkan penyeksaan dan beribu-ribu kematian di penjara berkenaan sebagai ‘kawasan yang paling teruk di bumi’.

Lebih empat juta rakyat Syria telah meninggalkan negara, mereka melarikan diri dari perang sedang berlaku dan kekejaman rejim Bashar.

Sehingga kini, tidak ada laluan perbicaraan untuk Presiden Syria kerana negara itu tidak pernah didaftarkan untuk dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Malah, China dan Rusia juga telah menggunakan kuasa veto mereka menghentikan resolusi Syria yang dibawa ke ICC.